Tidak terhenti di situ, mentor pelaburan saham yang juga ikon Bursa Malaysia (Social Influencer Bursa MarketPlace) itu membuka tetingkap baharu lantas memeriksa sejenak kedudukan saham terkini untuk akaun milik bapanya pula.

“Meskipun sudah lama bersara dalam sektor kerajaan, ayah saya masih aktif dalam urus niaga saham. Ia sudah sebati dengan dirinya sejak usia muda.

“Beliau sendiri mendorong saya menceburi bidang pelaburan. Disebabkan itu, saya menyambung pengajian dalam Diploma Analisa Pelaburan di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) di kampus cawangan Johor pada tahun 1997.

“Dua tahun kemudian, saya memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam diikuti Ijazah Sarjana Kewangan di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2002,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Berbekalkan kelulusan tersebut, Mohd. Asri, 41, berkhidmat sebagai wakil yang membeli dan menjual saham di firma broker untuk pelabur ataupun dikenali sebagai remisier.

Begitupun, sejak tujuh tahun lalu, beliau giat mengadakan program perkongsian dan seminar berkaitan pelaburan menerusi Asri Ahmad Academy (AAA).

Sehingga akhir tahun lalu, kira-kira 60,000 peserta telah mengikuti kelas pelaburan beliau dengan 5,000 daripadanya aktif sebagai pelabur.

Selain itu, Labur Saham Mega 2017 anjuran pihaknya menjadi program saham terbesar di Malaysia yang diadakan dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melibatkan kehadiran 1,500 peserta.

Menurut statistik, kira-kira 240,000 bumiputera mempunyai akaun di Bursa Malaysia dengan peratusan keseluruhan sekitar 22 peratus.

Menurutnya, mereka yang terlibat dalam saham boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu pelabur yang membeli saham dan menyimpannya dalam tempoh tertentu.

Kategori kedua ialah pedagang saham melakukan urusan jual beli saham dalam jangka masa pendek secara kerap dan agresif. Mereka menyusun strategi tersendiri, mempunyai taktik dan melakukan analisis mendalam.

Dalam hal ini, pelabur saham berpeluang mendapat keuntungan sekurang-kurangnya melalui dua cara iaitu keuntungan modal. Dalam erti kata mudah, ia bermaksud beli murah jual mahal.

Cara kedua pula melalui keuntungan dividen. Ia merujuk kepada pembahagian sebahagian keuntungan syarikat kepada pemegang saham. Dividen diagihkan berdasarkan prestasi operasi syarikat dan bukannya turun naik harga saham

Hari ini, proses jual beli dapat dibuat melalui platform dagangan online dengan Bursa Malaysia menetapkan jumlah minimum pembelian 100 unit yang bersamaan dengan satu lot.

Bertakwa

Katanya, pelaburan saham merupakan satu daripada platform pendapatan yang mampu memberi pulangan yang baik seterusnya dikembalikan kepada ummah melalui agihan zakat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan.

Dalam hal ini, menurutnya, perkongsian ilmu pelaburan itu bukan sahaja bertujuan melahirkan pelabur yang berjaya tetapi juga menjadikan mereka insan bertakwa.

“Keterujaan saya ialah berkongsi ilmu pelaburan patuh syariah. Di Bursa Malaysia terdapat lebih 900 syarikat tersenarai dengan 686 daripadanya merupakan syarikat patuh syariah.

“Ia dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mengeluarkan senarai kemas kini sekuriti patuh Syariah dari semasa ke semasa seperti diluluskan Majlis Penasihat Syariah.

“Tapi orang kita tidak mahu rugi langsung, sebab itu mereka terjebak dengan skim cepat kaya kerana skim cepat kaya menjanjikan pulangan tanpa risiko. Itu bukan pelaburan tetapi peleburan,” katanya.

Beliau menyarankan, mereka yang baru berjinak-jinak dengan pelaburan saham dinasihatkan supaya menggunakan wang lebihan untuk berbuat demikian supaya tidak mengganggu kedudukan kewangan masing-masing.

“Sekurang-kurangnya jika berlaku kejatuhan ia tidak menjejaskan kewangan kita. Pada saya, jika belum mahir melabur tidak sesuai melabur saham menggunakan wang pinjaman, hutang kad kredit atau mengambil wang yang diperuntukkan untuk komitmen lain seperti sewa rumah dan sebagainya,” katanya.

Pelaburan tidak memerlukan tempoh matang dengan urusan jual beli saham boleh berlaku bila-bila masa. Katanya, melabur saham tidak semestinya memerlukan modal yang banyak kerana ada saham bernilai di bawah seringgit dan boleh dibeli pada kadar paling minimum satu lot iaitu 100 unit sahaja.

Tokoh Alumni UiTM Johor 2016 itu berkata, mereka yang berminat boleh membuat rujukan menerusi pembacaan atau menghadiri kelas atau seminar berkaitan ilmu saham.

Buka akaun

Katanya, sebagai permulaan menjejak kaki ke dunia saham, seseorang itu perlu membuka akaun Central Depository Service (CDS) di mana-mana bank pelaburan yang terdapat di Malaysia.

Antara bank pelaburan yang disenaraikan oleh Bank Negara ialah Alliance Investment Bank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kenanga Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad

Akaun CDS diperlukan bagi segala urusan transaksi jual beli saham. Ia boleh dibuka oleh mereka yang berusia 18 tahun ke atas dengan menyertakan beberapa dokumen seperti penyata bank dan slip gaji.

Katanya, konsep akademi yang diasaskan menyediakan program intensif selama tiga hari diikuti sesi sokongan dan bimbingan lanjutan yang dianjurkan secara berkala supaya peserta tidak berasa ketinggalan atau ditinggalkan terkontang-kanting tanpa dipandu.

“Saya turut berpendapat, kita boleh diibaratkan seperti berjudi jika kita melakukannya secara ikut-ikutan atau membuat pelaburan hanya kerana mendengar khabar angin atau cakap-cakap orang tanpa melakukan kajian sebelum membuat pelaburan.

“Sebagai contoh, apabila menyebut pelaburan di Bursa Malaysia, terdapat pelbagai instrumen pelaburan yang terdapat di dalamnya antaranya bon, sukuk, waran, pelaburan harta tanah amanah selain saham sendiri.

“Seseorang itu memerlukan strategi untuk meminimumkan kerugian sekali gus mengelakkan wang yang dilabur menjadi sia-sia. Adalah penting memahirkan diri menggunakan platform urus niaga serta memahami terma berkaitan saham,” katanya.

Rugi

Sementara itu, berkongsi pengalaman dalam saham, Mohd. Aidil Syukri Mohd. Arshad, 30, bercerita dia mengusahakan perniagaan air Milo di sekolah-sekolah sebelum tergerak hati mempelajari ilmu saham dengan mengikuti kelas anjuran AAA pada tahun 2015.

Enam bulan pertama penglibatannya dalam urus niaga saham, dia mengalami kerugian secara berterusan mencecah RM20,000.

“Saya berhenti seketika daripada urusan jual beli saham, tetapi saya tidak berputus asa. Selepas itu, saya berulang-alik dari Batu Gajah, Perak ke Shah Alam, Selangor setiap minggu selama setahun di akademi tersebut untuk mendalami selok-belok saham.

“Setelah fokus dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, saya mendapat kembali pulangan kerugian tersebut dalam tempoh tiga bulan. Kini, saya terlibat dengan saham secara sepenuh masa dan masih menguruskan perniagaan air Milo yang kian berkembang,” tuturnya.

Berbeza pula kisahnya dengan Nor Amani Shahruddin, 37, dari Shah Alam, Selangor yang menjadikan keuntungan saham sebagai pendapatan mingguan sejak tiga tahun lalu.

“Setiap orang mempunyai matlamat berbeza. Ada yang menjadikannya sebagai pendapatan harian ada juga yang menjadikannya sebagai pendapatan bulanan atau tahunan.

“Ia mungkin bukan sesuatu yang mudah pada peringkat awal. Bila kita belajar tetapi masih tidak faham mungkin kita akan berasa tertekan. Tetapi saya tanamkan dalam diri yang suatu hari nanti saya akan diberi kefahaman dalam bidang tersebut,” ujar suri rumah yang turut berniaga pakaian secara maya itu.

Pengasas Asri Ahmad Academy, Mohd. Asri Ahmad menasihatkan orang ramai supaya mendalami ilmu pelaburan, menyusun 
strategi serta tidak melabur kerana mendengar khabar angin.