Namun, ia sebenarnya mengiring maksud tersurat bahawa si gadis bersetuju untuk menerima pinangan tetapi malu untuk menyatakan persetujuannya secara terang-terangan.

Analoginya, walaupun menuju alam perkahwinan itu sesuatu yang baik, wanita dididik untuk tidak bercakap mengenai hal tersebut secara langsung.

Apatah lagi jika berbicara mengenai sesuatu yang memalukan seperti perkara sensitif dan hal sulit berlainan jantina.

Malangnya, perkembangan teknologi dengan zaman serba moden seakan-akan mengikis sifat malu itu daripada wanita.

Baru-baru ini, terpampang di dada akhbar dan media sosial mengenai seorang artis lelaki yang didakwa memuat naik video menunjukkan kemaluan di Instagram miliknya.

Sudah tentu ramai yang memberi respons terhadap tularnya video berkenaan lebih-lebih lagi di Facebook.

Apa yang dikesalkan ialah kebanyakan yang meninggalkan komen dan memberi reaksi terhadap video terbabit ialah golongan wanita beragama Islam.

Antara komen yang ditinggalkan termasuklah meminta supaya kenalan lain mengkongsi semula video yang dipadam, serta memohon agar si artis melakonkan semula aksi terbabit.

Tidak kurang juga yang tanpa segan silu menunjukkan keterujaan dapat melihat video selain turut membuat penilaian mengenai anggota sulit artis berkenaan.

Penceramah merangkap Pensyarah Akademi Islam, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Asmak Husin, menyifatkan tindakan mengeluarkan perkataan sebegitu sebagai menjatuhkan maruah wanita di sisi agama dan masyarakat.

“Meskipun ia tidak diungkapkan dengan kata-kata secara hakiki dan hanya ditulis, ia memberi gambaran bahawa banyak yang kita tidak tahu mengenai tuntutan agama sendiri.

“Ia juga menunjukkan bahawa kita tidak memahami sifat malu itu dituntut kerana ia berupaya melindungi diri sendiri daripada dilihat ‘murah’ dari segi maruah dan dipandang hina oleh mereka yang berniat jahat,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Asmak, sebaiknya, mereka yang ingin berbincang mengenai hal sulit sebegitu perlu berbincang secara matang dan penuh adab.

“Dibenarkan berbincang, tetapi ada batas yang ditetapkan. Lakukanlah perbincangan di tempat yang tertutup, dihadiri oleh wanita sahaja serta dengan niat untuk menuntut ilmu.

Media sosial

“Jangan sesekali bercakap tentang perkara erotik di tempat terbuka kerana ia bakal membuka aib dan menyebabkan pelbagai perkara yang sepatutnya menjadi rahsia terbuka terutamanya di antara suami dan isteri,” kongsinya panjang lebar.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan (Psikologi Sosial), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Azlina Mohd. Khir berpendapat, hilangnya nilai pegangan tatasusila wanita kini adalah ekoran kewujudan jaringan interaksi media sosial itu sendiri.

“Keberanian yang diperoleh untuk melontarkan perkataan tidak seharusnya itu sebenarnya dibina daripada rasa selesa menulis di sebalik papan kekunci komputer dan peranti canggih seperti telefon pintar.

“Ia dijadikan medium untuk meluahkan apa sahaja yang dirasakan dengan bebas kononnya sebagai hak kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat. Saya percaya, jika secara berhadapan, mereka (wanita) juga tidak mungkin sebegitu lantang bersuara,” katanya.

Selain itu, Azlina juga menyifatkan tindakan memberikan respons jelik sebegitu sebagai salah satu cara memperoleh perhatian di media sosial.

“Mengutuk, mengeluarkan pendapat dan perkataan tidak sepatutnya serta bercakap lucah ‘diiktiraf’ oleh masyarakat siber.

“Pengguna media sosial gemar berkongsi dan menyukai respons yang dianggap berani dan lucu sekali gus menggalakkan wujudnya golongan termasuk wanita yang sanggup menepis perasaan malu asalkan dapat menghasilkan komen yang popular dan berpotensi untuk tular,” ujarnya.

Untuk itu, Azlina menasihatkan ibu dan bapa untuk memainkan peranan dalam mendidik anak mengenai adab dan perlakuan sejak kecil.

“Tunjukkan contoh yang baik dan didik mereka untuk bertanya dalam diri apakah persepsi masyarakat jika perbuatan itu dilakukan.

“Berikan pendedahan kepada anak tentang penggunaan media sosial tetapi tekankan juga mengenai bahayanya mengekspresikan diri tanpa batasan di ruang maya itu agar mereka lebih matang dalam menggunakan teknologi dengan baik,” katanya.