Bagaimanapun, sebaik memasuki kawasan tertera Kebun Komuniti Seksyen 8, dapat dilihat deretan batas sayur-sayuran tersusun cantik siap mempunyai label.

Pada label-label itu tertulis nombor plot atau batas menandakan siapa pemilik batas itu serta jenis sayuran yang ditanam. Pemandangan itu tidak ubah laksana kebun sayur yang terdapat di Cameron Highlands, Pahang. Bezanya, suhu di kawasan ini tidak sejuk seperti di tanah tinggi tersebut.

Melibatkan kira-kira 40 peserta, menariknya, kebun komuniti di kawasan kediaman itu kebanyakannya diusahakan oleh golongan pesara. Rata-rata mereka yang sedang duduk mencabut rumput, menggembur tanah serta menabur benih terdiri daripada golongan warga emas yang berusia sekitar 60 tahun sehingga 74 tahun. Salah seorang daripadanya ialah Habsah Ismail, 60, yang merupakan pesara kerajaan.

Habsah sebenarnya tinggal di Seksyen 9, Shah Alam tetapi disebabkan minat untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti itu, dia sanggup datang seawal pukul 8 pagi setiap hari ke kawasan tempat kediaman adiknya dan menjadi ahli komuniti di situ bagi membolehkannya bersama-sama bercucuk tanam.

Organik

Kata Habsah, duduk menghabiskan masa di rumah tanpa membuat apa-apa itu lebih memenatkan berbanding berkebun.

Hobi baharunya itu dilihat sebagai satu aktiviti berfaedah yang bukan sahaja dapat menambah kenalan tetapi dalam masa sama, badannya juga berasa sihat kerana dapat mengeluarkan peluh.

“Sejak tiga tahun lalu, saya sendiri secara sukarela datang ke sini untuk sama-sama bercucuk tanam. Antara tanaman yang diusahakan termasuk bayam Brazil, cili api, keladi, pegaga, bayam Malabar dan banyak lagi.

“Di sini, sayur-sayuran semuanya menggunakan baja organik. Selain dijual, kami turut membahagikannya sesama sendiri selain bersedekah kepada jiran-jiran,” katanya kepada K2 ketika ditemui di kebun komuniti itu baru-baru ini.

Menurutnya, tanah hanya dibiarkan ‘berehat’ selama dua minggu selepas mengutip hasil.

Perkara sama turut diakui oleh seorang warga emas, Sachie Hashimoto, 60, yang berasal dari Jepun. Wanita yang berkahwin dengan warga tempatan itu merupakan penduduk di kawasan Seksyen 8.

Menurut Sachie, aktiviti itu juga menjadi peluang terbaik untuknya mengenali jiran-jiran antaranya melalui pemberian hasil tanamannya.

Sachie yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa memperuntukkan masa sebelah pagi bermula pukul 8 pagi untuk menanam sayur kubis daun, ubi bit merah (dibuat kimchi), jagung, nanas dan banyak lagi.

“Saya tidak boleh berbahasa Melayu dan setiap kali berbual dengan jiran, mereka juga tidak faham apa yang saya cakap. Sebab itu, ketika cadangan untuk membuat kebun komuniti ini, saya tertarik dan mahu turut serta.

“Suami memberikan dorongan dan sejak mula bergaul dengan masyarakat setempat menerusi aktiviti berkebun, sedikit sebanyak saya boleh bertutur bahasa Melayu dan sudah boleh berbual dengan jiran-jiran. Saya juga sudah tidak lagi berasa kekok atau malu dengan mereka,” ujarnya yang bertutur dalam bahasa Melayu ketika ditemui.

Perintis

Sementara itu, Penasihat Kebun Komuniti, Daud Yusof memberitahu, kawasan seluas 0.97 hektar yang menempatkan 63 batas atau plot itu diusahakan secara beramai-ramai bersama pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Persatuan Penduduk Seksyen 8 Timur sejak bulan Julai 2014.

Katanya, sejak kebun itu dijadikan sebagai projek perintis kebun komuniti MBSA, ia telah menarik minat ramai ahli terutama penduduk setempat untuk datang ke kebun itu dan menjadikan ia sebagai hobi bagi mengisi masa lapang.

“Sejak mula berkebun, kami dapati ia dapat menjimatkan belanja dapur kira-kira RM100 sebulan iaitu penjimatan dari segi pembelian sayur.

“Sayur yang ditanam di sini akan dijual di surau atau ketika program anjuran MBSA dan wang hasil jualan akan digunakan semula untuk penambahbaikan di kebun termasuk bagi pembelian peralatan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Daud memberitahu, pada peringkat awal, pihaknya berhadapan dengan masalah serangga perosak dan bekalan air namun mereka cukup bertuah apabila pihak MBSA membantu menyediakan pembelian benih tanaman, baja, pemasangan saliran air, penyediaan peralatan tanaman seperti cangkul dan sebagainya.

“Dari segi tenaga kerja, kami tidak berhadapan dengan masalah kerana peserta-peserta turut saling membantu sesama mereka. Sebagai contoh, sekiranya batas satu dan dua sudah sampai tempoh untuk memetik hasil tanaman, kita akan membantu bersama-sama dan begitu juga bagi proses menggembur, membaja, mencabut rumput dan sebagainya.

“Kami tidak akan membiarkan mana-mana batas terabai dan untuk mewujudkan semangat persaudaraan, kami turut menganjurkan program makan-makan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri selain mengajak tetamu dan juga rakan-rakan baharu untuk turut sama melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini bagi menyihatkan tubuh badan.

“Paling bertuah, sehingga kini, kebun komuniti di sini bukan sahaja menjadi medan pertemuan golongan pesara tetapi orang muda juga sudah mula menunjukkan minat yang sama,” katanya lagi.

Golongan pesara terutama yang mendiami Seksyen 8, Shah Alam, Selangor kini tidak lagi bosan menghabiskan waktu seharian dengan adanya kebun komuniti. Mereka bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh dengan aktiviti sihat tetapi juga dapat menambah kenalan dan penguasaan bahasa.