Masakan tidak, pelajar tahun ketiga jurusan Sains Forensik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu terpaksa melihat sendiri keadaan susuk yang sudah mati dibunuh sebagai salah satu latihan wajib bagi kursus itu.

“Memandangkan saya memang memilih untuk mengikuti jurusan ini, maka terpaksalah kuatkan semangat.

“Sebagai pelajar jurusan Sains Forensik, kami dikehendaki untuk pergi ke lokasi kejadian pembunuhan atau kemalangan bagi mengumpulkan bukti kejadian.

“Bukti-bukti ini seterusnya akan membantu pihak polis untuk mengesan punca kematian si mati,” ujarnya.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkongsi minat yang mendalam terhadap bidang Sains Forensik menjadikan dia berani untuk meneroka dunia itu.

“Bidang forensik ini merupakan satu bidang yang cukup luas. Salah satu latihan amali yang akan dilakukan ialah menjalankan bedah siasat ke atas mayat sebenar.

“Begitu pun, hanya individu yang memiliki sijil kedoktoran dibenarkan untuk mendekati serta menyentuh mayat di lokasi kejadian jenayah,” ujarnya.

Bantu siasatan

Bagi kes-kes kematian mengejut, pegawai forensik dikehendaki untuk berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan polis.

Mayat seterusnya akan dibawa ke hospital dan sekiranya tiada waris yang datang menuntut mayat tersebut selepas satu tempoh, ia seterusnya akan diklasifikasikan sebagai mayat tidak dituntut dan boleh digunakan atas tujuan penyelidikan perubatan.

Kadaver (jasad manusia) digunakan secara meluas untuk latihan anatomi dan perubatan di seluruh dunia.

Menurut Pengarah Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Datuk Dr. Mohd. Shah Mahmood, mayat yang digunakan bagi latihan anatomi tersebut terdiri daripada mayat yang tidak dituntut atau unclaimed bodies.

“Majoriti kes-kes melibatkan urusan polis dan mahkamah, ia perlu menjalani proses bedah siasat, namun hanya akan dijalankan jika surat arahan sudah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Di Hospital Kuala Lumpur (HKL) misalnya, sekiranya mayat yang tidak dituntut itu merupakan individu beragama Islam, mereka akan dihantar ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk proses dokumentasi serta pengurusan pengebumian si mati dalam tempoh dua minggu hingga sebulan,” ujarnya.

Bagi mayat bukan Islam pula, ia akan diserahkan ke Cheras Crematory untuk dikebumikan atau dibakar.

Bagaimanapun, jelas Mohd. Shah, ada juga mayat kategori tersebut yang sesuai akan diberikan ke universiti-universiti tempatan untuk digunakan atas tujuan kajian.

“Hanya mayat yang sihat dan bebas penyakit serta bebas daripada sebarang jangkitan kuman akan diserahkan ke universiti untuk tujuan penyelidikan perubatan.

Embalming

“Jasad manusia akan direndam dalam larutan bahan kimia formaldehida untuk diawet dan proses ini dipanggil embalming.

“Ia bertujuan untuk mengelak mayat daripada menjadi busuk bagi membolehkan ia digunakan untuk satu tempoh yang lama,” jelasnya.

Kadaver boleh disimpan dan diulang pakai sehingga 10 tahun lamanya. Proses penyimpanan yang betul serta suhu yang sesuai membantu untuk memanjangkan jangka hayat mayat tersebut.

Ia perlu disimpan dalam peti sejuk dengan suhu antara 4 hingga 8 darjah Celsius. Kadaver tidak boleh disimpan pada suhu beku kerana ia akan menyukarkan proses kajian.

Ditanya tentang bagaimana mahu mengenal pasti sekiranya mayat tersebut sudah tidak lagi boleh digunakan, Mohd. Shah yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang forensik menjelaskan, ia boleh dikenal pasti daripada keadaan organ mayat itu sendiri.

“Sekiranya organ dalaman pada jasad yang sedang dikaji itu sudah berubah bentuk dan tidak lagi boleh difahami, ia bermakna mayat tersebut sudah tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi tujuan penyelidikan dan akan dilupuskan dengan cara ditanam atau pun dibakar,” jelasnya.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar berada di bilik mayat, Mohd. Shah kemudian membawa kru Panorama untuk melihat sendiri bilik penyimpanan mayat yang ada di IPFN.

Suhu sejuk dan suasana suram menjadikan kru Panorama sedikit berdebar, namun teruja memandangkan ia merupakan kunjungan pertama ke bilik mayat.

Pengalaman yang luas menjadi­kan Mohd. Shah sudah begitu lali dengan suasana tersebut.

“Saya pernah mengendalikan banyak kes berprofil tinggi memandangkan semasa kejadian tersebut berlaku, saya sedang on call. Di HKL, pakar yang sedang on call harus mengendalikan kes kematian yang berlaku pada waktu itu.

“Antara kes yang dikendalikan termasuklah kes kematian Altantuya Shaariibuu pada tahun 2009 dan arwah Nurin Jazlin Jazimin pada tahun 2007,” ujarnya.

Bekalan kurang

Sementara itu, Mohd. Shah turut menjelaskan bahawa negara kini kekurangan bekalan mayat yang sesuai untuk digunakan sebagai kajian dan pembelajaran pelajar perubatan.

“Jika dahulu, negara mendapatkan bekalan mayat dari India, namun selepas kewujudan Akta Tisu Manusia, kebanyakan negara luar tidak membenarkan proses mengimport mayat atas apa tujuan sekalipun,” tegasnya.

Oleh itu, negara hanya bergan­tung kepada bekalan mayat tidak dituntut yang ada di hospital.

Selain menerima permintaan daripada fakulti perubatan di universiti-universiti, HKL juga membekalkan mayat untuk kegunaan doktor yang mahu menjadi doktor pakar.

Ini kerana, sebelum bergelar pakar, pegawai perubatan perlu menjalankan prosedur pembedahan ke atas mayat sebenar.

“Pegawai perubatan khususnya yang mahu menjadi pakar otak mendapatkan bekalan mayat daripada HKL dan ini menjadikan bekalan mayat semakin berkurangan.

Secara purata, HKL menerima 800 kematian yang melibatkan kes polis dan daripada jumlah itu, banyak mayat yang tidak sesuai digunakan sebagai kajian antaranya termasuklah mayat yang menghidap penyakit HIV atau sebarang jangkitan kuman.

“Dalam setahun, HKL menerima kurang daripada 100 mayat yang sesuai dan hanya lima yang diserahkan ke fakulti-fakulti perubatan.

“Tahun lalu pula, tiada satu mayat pun yang sesuai dihantar ke universiti-universiti atas pelbagai sebab,” jelasnya.

Bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya membangun­kan model pengimejan berkom­puter sebagai pilihan untuk pembelajaran praktikal anatomi menerusi teknologi digital.

“Begitu pun, ia masih tidak dapat menggantikan pembedahan mayat kerana hakikatnya mayat sebenar memberikan gambaran jelas mengenai tubuh manusia, tekstur sebenar tisu manusia dan patologi,” jelasnya.

Mayat tidak dituntut akan diserahkan ke pusat-pusat perubatan atas tujuan kajian dan penyelidikan.