Kosmo! pada 20 April lalu melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai berkata, perkara tersebut dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa e-Kedaulatan yang dipengerusikannya di Putrajaya baru-baru ini.

Mesyuarat itu merangka dan menggariskan tindakan proaktif mengenai Strategi Keselamatan Siber Negara secara menyeluruh,

Jelas beliau, strategi yang bakal dilancarkan Julai nanti akan melibatkan pelaksa­naan 37 pelan tindakan, bagi memperkasakan keselamatan alam siber negara.

Jelasnya, sebuah mekanisme perlu dikenal pasti menghentikan pos­tings atau hantaran melalui rangkaian media sosial yang berunsur jenayah.

Selain itu, kerjasama dengan penyedia perkhidmatan platform media sosial seperti Facebook dan Twitter perlu ditingkatkan untuk memastikan hantaran yang berunsur jenayah akan diturunkan serta-merta.

Kerajaan juga akan meningkatkan keberkesanan tadbir urus pengurusan keselamatan siber negara melalui penstrukturan semula dan meningkatkan keupayaan agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) sebagai agensi pusat keselamatan siber.

Pengamal Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Mior Roslan Mior Mohd. Jaafar menyambut baik inisiatif kerajaan itu dalam memastikan ekosistem siber lebih terpelihara.

Katanya, ia merupakan perkara yang wajar dilaksanakan secepat mungkin kerana masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak menyedari perihal keselamatan siber.

“Masyarakat tidak menyedari ledakan teknologi dan informasi kini sedikit sebanyak menjadikan keselamatan peribadi mereka lebih mudah diancam.

“Hal ini kerana ia sukar untuk dikenal pasti dan dikesan sehinggalah sesuatu jenayah siber itu telah berlaku kepada mangsa,” ujarnya.

Malah, Mior Roslan turut menjelaskan, perkongsian sewenang-wenangnya yang dilakukan oleh masyarakat turut mengancam keselamatan pengguna.

Kempen kesedaran

Justeru itu, Mior Roslan menyarankan, selain memperketatkan mekanisme pelan tindakan dalam alam siber, pihak kerajaan perlu melaksanakan kempen kesedaran yang menyeluruh kepada masyarakat.

“Ancaman siber ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja malah lebih teruk lagi, ia mampu melumpuhkan sesebuah negara.

“Oleh itu, kesedaran dalam masyarakat sedikit sebanyak mampu mengurangkan risiko ancaman tersebut sekali gus menangkis sebarang anasir yang mengundang bahaya,” ujarnya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Negeri Sembilan, Afizan Amer berkata, usaha tersebut disifatkan sebagai perancangan jangka masa pendek yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan.

Pada hematnya, perancangan masa panjang yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu ancaman dan keselamatan siber ialah dengan memberi fokus terhadap pendidikan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia bagi melahirkan masyarakat yang menggunakan teknologi dengan lebih bertanggungjawab dan beretika.

“Teknologi semakin pesat berkembang dan kewujudan akta dalam menangani isu keselamatan siber dikhuatiri sukar untuk diatasi.

“Bagaimanapun, sikap manusia itu sendiri boleh dikawal sekiranya masyarakat diberi pendidikan khusus berkaitan keselamatan siber bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan teknologi,” tegasnya.

Kongsi Afizan, Malaysia merupakan sebuah negara maju dari segi perkakasan teknologi yang dimiliki.

Bagaimanapun, mentaliti masyarakat di negara ini disifatkan masih lagi mundur dan cenderung untuk menyalahgunakan teknologi.

Tambah Afizan, sekiranya teknologi itu semakin berkembang maju sekali pun, isu keselamatan siber akan tetap wujud disebabkan penyalahgunaan serta etika yang dilanggar oleh masyarakat

“Dengan pendidikan berterusan khususnya dari peringkat akar umbi seperti sekolah dan institusi pengajian, kesedaran berkenaan keselamatan siber dapat diwujudkan,” jelasnya.