Roseline Ong, 62, yang merupakan pengusaha rempah masakan segera menggunakan bahan-bahan semula jadi dilihat begitu sibuk melayan pelanggan-pelanggan yang berkunjung di kedai kecilnya.

Sambil membungkus barangan yang dipesan pelanggannya, wanita yang lebih mesra dipanggil Liza ini berkongsi resipi masakan kepada mereka.

Walaupun hampir tidak menang tangan, namun wanita yang telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak 29 tahun yang lalu itu langsung tidak kelihatan kekok. Malah, mulutnya begitu ramah berceloteh sementara bibirnya pula tidak putus-putus mengukir senyuman.

“Saya telah mengusahakan perniagaan yang dikenali sebagai Lizar Chilli Curry Spices ini sejak tahun 1985.

“Sebenarnya sebelum berkecimpung dalam bidang ini, saya melibatkan diri dalam dunia kecantikan dan dandanan rambut.

“Bagaimanapun, minat tersebut bertukar selepas mula melihat saudara terdekat menghasilkan rempah masakan segera di Pulau Pinang,” jelasnya.

Menurut anak kelahiran Pulau Tikus, Pulau Pinang itu lagi, atas minat tersebut dia kemudian mengambil inisia­tif untuk mempelajari ilmu penghasilan rempah masakan dengan neneknya.

Ternyata, bukan senang bagi Liza untuk memahirkan diri dalam dunia penghasilan rempah.

Buktinya, Liza mengambil masa selama lima tahun untuk mempelajari selok-belok penghasilan rempah masakan.

“Pada awal penglibatan, proses ini agak sukar. Ia kerana, saya perlu mengetahui teknik mencuci bawang-bawang dan barangan lain dengan betul bagi memastikan ia mampu tahan lebih lama selain menjaga kebersihan produk yang dihasilkan,” jelasnya.

Rempah ratus

Bagaimanapun, usaha tersebut ternyata berbaloi apabila dia kini berjaya menghasilkan le­bih 25 jenis rempah masakan segera untuk dijual kepada orang ramai sehingga ke hari ini.

Antara rempah-rempah yang dihasilkan ialah rempah masakan kari, rendang, masak lemak, sambal hijau, sambal tumis, kurma, ayam merah dan pelbagai lagi.

Kesemua rempah tersebut dijual dengan harga serendah RM5 setiap satu.

“Niat saya menjual rempah ratus masakan yang siap sedia untuk dimasak lebih kepada untuk membantu orang ramai dalam hal-hal memasak.

“Ini kerana, dengan hanya menggunakan rempah-rempah yang dihasilkan ini, mereka boleh memasak dan menikmati aneka makanan yang diinginkan dengan lebih mudah.

“Apa yang perlu mereka lakukan ialah mengikuti arahan memasak yang tertera pada pek pembungkus dan meletakkan jenis protein makanan yang diinginkan seperti ayam, daging serta udang sebelum dihidangkan,” jelasnya.

Kisar bawang

Cerita Liza lagi, biarpun kini terdapat lambakan rempah-ratus segera dijual di pasaran, namun produk yang dihasilkannya ternyata mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Selain menggunakan seratus peratus barangan semula jadi, rempah masakan yang dihasilkannya juga memenuhi cita rasa penduduk di negara ini.

“Selalunya rempah-rempah yang dijual oleh kebanyakan pengusaha lebih kepada kari dan tidak dipelbagaikan.

“Bagaimanapun, di sini kami menghasilkan variasi rempah menggunakan resipi khas turun-temurun keluarga.

“Lebih menarik apabila pengguna juga dibo­lehkan untuk memilih sendiri gabungan rempah yang mereka inginkan mengikut cita rasa ma­sing-masing.

“Setakat ini, rempah masakan rendang me­rupakan antara yang paling laris dan menjadi buruan orang ramai. Lebih-lebih lagi ketika musim perayaan,” jelasnya lagi.

Menurut Liza lagi, bagi memenuhi keperluan pelanggan, dia bersama enam orang pekerjanya akan mengisar lebih 20 kilogram bawang setiap hari selain bahan-bahan tambahan lain seperti serai, halia, cili padi serta bahan-bahan lain.

Biarpun kuantiti tersebut tampak banyak, namun akui wanita itu lagi, bahan-bahan tersebut habis dijual kepada pelanggannya setiap hari.

Wanita kelahiran Pulau Tikus, Pulau Pinang ambil inisiatif hasilkan rempah masakan menggunakan barang-barang semula jadi dan segar bagi memenuhi cita rasa rakyat Malaysia dengan 25 jenis rencah masakan.