“Itulah, kerana nafsu remaja, badan binasa.

“Bukan sahaja masa depan gelap, peristiwa itu juga menyebabkan saya terpaksa menikahi Elly, 24, dan kini memegang status duda pada usia yang sangat muda,” jelasnya.

Menceritakan kembali peristiwa yang berlaku tiga tahun lalu, menurut pemuda yang berumur 24 tahun ini lagi, ketika kejadian, dia berada di tahun terakhir dan bakal menamatkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan.

“Biasalah di menara gading, setiap pelajar akan berpasangan. Saya juga tidak terkecuali.

“Rupa yang tampan menyebabkan ramai pelajar wanita tergila-gilakan saya.

“Sebagai seorang lelaki yang masih lagi muda, sudah pasti saya mahukan gadis yang seksi, bijak dan cantik sebagai teman wanita.

“Ciri-ciri yang ada pada Elly menyebabkan saya tidak teragak-agak untuk berpasangan dengannya,” jelasnya jujur.

Menurut pemuda yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini, ketika berada di tahun pertama, dia dan Elly sering menjadi buah mulut rakan-rakan universiti.

Masing-masing mencemburui pasangan merpati dua sejoli ini kerana biarpun sibuk bermadu kasih, namun mereka masih lagi tidak mengabaikan pelajaran.

Lebih membanggakan apabila mereka sering mendapat pingat Anugerah Dekan atas kecemerlangan nilai purata gred yang diperoleh.

Bagaimanapun, Elly dan Remy mulai terbabas dari landasan ketika mereka memasuki tahun kedua.

Disebabkan pada waktu itu kedua-duanya gagal mendapatkan penempatan di kolej, mereka lantas mengambil keputusan untuk menyewa bersama-sama di sebuah apartmen tidak jauh daripada universiti tersebut.

Suami isteri

“Masing-masing sudah terlalu taksub bercinta sehingga tidak nampak keburukan yang bakal menjengah apabila mereka berkongsi apartment.

“Wang bukanlah masalah utama kerana Elly merupakan anak orang berada, sementara saya pula mendapat biasiswa dari sebuah syarikat besar,” jelasnya.

Menurut Remy lagi, di situ, bermulalah episod kehidupan yang menyeronokkan sebagai pasangan ‘suami isteri’.

“Tipulah jika saya kata kami tidak melakukan apa-apa hubungan seks sepanjang setahun lebih bersekedudukan. Lebih-lebih lagi apabila berdua dengan Elly yang sentiasa berketrampilan seksi dan menggoda.

“Dalam usia yang sangat mentah, kami sudah mahir dengan pelbagai posisi. Elly juga pernah menggugurkan kandungan disebabkan keterlanjuran yang dilakukan,” ceritanya.

Menurut Remy lagi, rahsia mereka bersekedudukan tidak bertahan lama apabila beberapa orang rakannya berjaya menghidu kelakuan sumbang itu.

“Pada satu malam, sedang kami sibuk menyiapkan tugasan, pintu rumah diketuk dengan begitu kuat.

“Saya sangka itu merupakan lelaki Nigeria yang mabuk dan tersalah rumah. Bagaimanapun, hampir gugur jantung saya apabila mendapati ketukan tersebut datang daripada sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam.

“Rumah kami digeledah dan kami disoal siasat oleh mereka. Mahu menipu pun tidak boleh kerana memang secara terang-terangan hanya pakaian dan barangan kami berdua sahaja berada di rumah tersebut,” jelasnya.

Pada malam itu juga, Remy dan Elly diheret ke pejabat agama berdekatan dan kedua-dua ibu bapa mereka dipanggil.

Atas nasihat dan rundingan daripada pegawai tersebut, mereka dikahwinkan selepas pelbagai bahan bukti ditemui.

Selang dua minggu kemudian, Remy dan Elly sekali lagi diuji. Kedua-dua mereka dibuang dari universiti selepas pejabat dekan dimaklumkan mengenai berita tersebut.

Bercerai

“Saya dapat bayangkan betapa remuk dan malunya hati kedua-dua ibu bapa. Belum reda kes saya ditangkap khalwat dan segera dinikahkan, kini, mereka dikejutkan dengan berita dibuang dari universiti pula.

“Pada waktu itu saya terasa bodoh kerana godaan nafsu membuatkan masa depan saya hancur. Tambahan pula apabila mengenangkan peperiksaan tahun akhir yang tinggal beberapa bulan sahaja lagi,” jelasnya.

Disebabkan mahu menanggung Elly serta akibat biasiswanya ditarik serta-merta, Remy terpaksa bekerja di restoran makanan segera.

Bagaimanapun, gaji yang diterimanya tidak cukup untuk menampung kehidupan di kota metropolitan.

“Elly sudah biasa hidup senang. Selepas dibuang universiti, dia menyambung pengajian di sebuah kolej swasta.

“Mahu mengharapkan gaji saya sebanyak RM1,500 sahaja sudah tentu tidak mencukupi. Perangainya juga sudah banyak berubah.

“Kami sering bergaduh biarpun perkara yang remeh. Disebabkan itu, dia sering pulang bermalam di rumah orang tuanya.

“Tidak sampai setahun bergelar suami isteri, Elly menuntut cerai. Kerana campur tangan keluarga mertua, saya terpaksa melepaskan dia pergi,” jelasnya.

Menurut Remy lagi, biarpun bergelar duda pada usia muda, namun dia kini mahu bangkit dan mengejar cita-citanya.

“Saya harap remaja-remaja di luar sana janganlah melakukan perkara-perkara yang boleh menghancurkan masa depan mereka.

“Jadikan kisah ini sebagai iktibar,” ungkapnya.

Remy dipaksa menikahi Elly selepas ditangkap bersekedudukan di sebuah apartmen ketika berada di tahun akhir pengajian di sebuah universiti.