Pada 15 Januari lalu Kosmo! melaporkan, gara-gara mengesyaki isteri menjalin hubungan dengan lelaki lain, seorang buruh berusia 40 tahun tergamak membelasah isterinya hingga mati dalam kejadian di Matang, Perak.

Mangsa yang berusia 39 tahun itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainum, Ipoh akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan. Sebelum kejadian itu, buruh berkenaan dikatakan berkelakuan pelik apabila menghilangkan diri selama tiga bulan dan berjalan kaki seorang diri pada pukul 4 pagi.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhsin Ahmad Zahari, perasaan marah, risau, sedih, kecewa dan gembira merupakan perkara biasa dalam diri manusia tetapi jika ia berlebihan akan mengundang kecelaruan emosi.

“Mereka yang berada dalam keadaan tersebut akan bertindak di luar kawalan, mengikut emosi, nafsu serta ego sehingga merasakan dirinya sahaja yang betul.

“Sehubungan itu, adalah penting mengawal tekanan perasaan seperti berkongsi masalah dengan orang yang dipercayai, amalan spiritual dan ketika marah jangan melakukan apa jua tindakan sehinggalah ia reda,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Gangguan mental

Tambahnya, sikap panas baran yang dianggap normal dalam masyarakat sebenarnya boleh mencetus kepada penyakit psikiatri sekiranya tabiat itu tidak dibendung peringkat awal.

Mengulas mengenai perasaan cemburu yang melampau, Muhsin memberitahu, dalam bidang psikiatri ia dikenali sebagai morbid jealousy.

Dalam keadaan tersebut, individu itu berasa yakin pasangannya melakukan kecurangan sehingga sanggup melakukan perbuatan jenayah dan pembunuhan.

Beliau turut menerangkan tanda-tanda seseorang itu mengalami masalah mental seperti berlaku perubahan kelakuan secara tiba-tiba, sering bercakap seorang diri, berprasangka buruk, merasa diri tidak selamat dan memberi tindak balas keterlaluan.

Sementara itu, Konsultan Syariah Telaga Biru, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, kita perlu sedar risiko sikap marah sekiranya ia tidak dikawal dengan baik.

“Perasaan marah tidak pernah menguntungkan sesiapa pun sebaliknya membawa kemudaratan.

“Justeru, kita perlu ada ilmu dan pengetahuan dalam mengawal sikap amarah ini.

“Banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan sifat lemah lembut,” tuturnya.

Ujarnya, sabda Rasulullah: “Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud).

Sikap Rasulullah

Beliau turut mengajak orang ramai agar mencontohi Baginda ketika berada di dalam situasi yang mencetuskan kemarahan.

“Rasulullah tidak pernah menunjukkan kemarahan terhadap golongan kafir Quraisy yang sentiasa bertindak di luar batasan terhadap kaum Muslimin.

“Sebaliknya, Baginda sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan penuh hikmah.

“Baginda ingin menunjukkan kepada kita bahawa kesabaran dan berlapang dada mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah SWT,” terangnya.

Selain itu, Ahmad Fauwaz turut menasihatkan orang ramai agar menteladani orang-orang soleh dengan membaca kisah hidup mereka.

Mengupas mengenai cara terbaik untuk membina rumah tangga yang harmoni, Ahmad Fauwaz berkata, sikap hormat menghormati dan berbincang sekiranya mempunyai perselisihan adalah perkara utama yang perlu ditekankan.