Keunikan rasa miang kham yang disajikan sebagai menu pembuka selera terutamanya di restoran masakan Thailand telah menambat hati banyak penggemarnya di negara ini.

Makanan itu diperbuat menggunakan bahan-bahan utama iaitu daun kaduk berserta beberapa bahan lain yang dipotong halus iaitu kelapa goreng, halia muda, bawang merah, cili padi, kacang tanah, limau nipis dan udang kering (geragau) terpilih.

Trend meminati miang kham juga dilihat semakin berkembang di ibu negeri Kelantan, Kota Bharu dengan kemunculan pengusaha-pengusaha makanan unik itu di bandar itu. Di Kelantan, miang kham dikenali sebagai colek daun kaduk.

Ironinya, walaupun Kelantan berjiran dengan negara Gajah Putih itu, namun ia selama ini bukanlah sajian yang begitu popular di negeri itu melainkan di kawasan-kawasan bersempadan dengan Thailand seperti Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Salah seorang pengusaha miang kham di negeri itu, Habsah Ismail, 39, yang mengusahakan perniagaan tersebut sejak awal tahun ini berkata, tidak ramai yang tahu mengenai makanan itu pada mulanya.

“Saya meniaga miang kham secara kecil-kecilan sejak awal Januari lalu di sekitar Kota Bharu.

“Setelah mengiklankannya di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp, rata-rata orang kampung dan bandar, baik di negeri ini atau luar Kelantan, boleh dikatakan hampir 80 peratus mengakui tidak biasa dengan makanan ini.

Pelik

“Mereka pelik tetapi ramai yang teruja ingin mencuba dan terus membuat tempahan dan ada yang mengulangi tempahan. Biasanya pelanggan beli lebih daripada satu bekas dan dimakan bersama seisi keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kota Bharu baru-baru ini.

Habsah memberitahu, miang kham yang segar lazimnya hanya boleh didapati di pekan Sungai Golok, Thailand.

Colek daun kaduk itu sebelum ini juga boleh didapati di sekitar pekan Rantau Panjang dan Pasir Mas.

“Memandangkan Kelantan negeri bersempadan dengan Thailand, maka sajian ini berpotensi mendapat sambutan, namun makanan ini boleh dikatakan sukar didapati di sekitar negeri ini.

“Tidak banyak gerai yang menjual miang kham seperti colek buah-buahan yang lain,” katanya.

Habsah berkata, cara makannya amat mudah iaitu dengan membentuk daun kaduk seperti kelongsong dan isikan bahan-bahan utamanya. Kemudian curahkan sos miang kham yang diperbuat daripada gula Melaka atau manisan coklat dan putih yang dimasak sehingga pekat.

“Apabila mengunyah satu per satu bahan-bahannya, rasanya akan sekata di dalam mulut merangkumi rasa manis, masin dan pedas,” katanya.

Habsah berkata, memandangkan bekalan ramuan terutamanya sos diperoleh dari pekan Sungai Golok, harganya apabila memasuki pasaran di daerah Kota Bharu dan daerah-daerah lain menjadi agak tinggi kerana mengambil kira kos pengangkutan dan sebagainya. Sebekas miang kham yang mengandungi 20 helai daun kaduk dijual dengan harga RM10.

Ulam

Kata Habsah, makanan ini enak dimakan beramai-ramai termasuk semasa kenduri, majlis keraian atau menonton televisyen memandangkan masyarakat di negeri ini gemar menikmati makan colek selain colek daun kaduk ini yang sangat unik.

“Pada pandangan saya, masyarakat Kelantan sepatutnya mengkomersialkan miang kham kerana pokok kaduk mudah tumbuh jika ditanam di negeri ini.

“Cuma bahan-bahan lain seperti kelapa goreng agak rumit dibuat kerana perlu memilih kelapa yang segar, kemudian perlu disangai atau dibakar.

Di samping itu, katanya, daun kaduk mengandungi khasiat yang sangat baik untuk kesihatan.

“Daunnya yang menghijau seakan-akan sireh juga sesuai dijadikan ulam selain menambah selera makan,” jelasnya.

Bagi penggemar miang kham di Kota Bharu, Fadhil Muhammad, 39, berkata, dia menyukai makanan ini kerana rasanya yang enak dan sesuai dimakan seisi keluarga.

“Biasanya saya tempah miang kham seminggu dua atau tiga kali sebab saya dan isteri, Alfizaini amat meminati makanan ini.

“Kadang-kadang kami makan bersama keluarga. Pada masa sama kami turut mengajak ahli keluarga lain yang tidak biasa makan dan menikmatinya. Apabila mereka mencuba, mereka terus suka,” katanya.

Tambahnya lagi, potensi penjualan makanan ini akan terus meningkat memandangkan miang kham semakin mendapat tempat di hati masyarakat Kelantan.

“Miang kham menjadi pilihan di negeri ini kerana keunikannya sendiri selain rasanya yang lazat dan kini ia mudah didapati,” katanya.

Olah

Restoran FizoMawar Kitchen (FMK) di Tambatan Diraja, Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan yang berkonsepkan makanan ala Thai turut tidak melepaskan peluang memperkenalkan menu istimewa Thailand itu.

Menariknya, restoran tersebut juga memperkenalkan ikan siakap miang kham sejak dibuka secara rasmi kepada orang ramai bermula 1 September lalu.

Pemilik restoran yang merupakan pelakon popular, Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizul Wan Omar, 33, berkata, cawangan kedua itu dibuka di negeri Cik Siti Wan Kembang selepas kejayaan FMK yang pertama di Bangi, Selangor.

“Setiap menu yang ditawarkan di restoran ini juga hasil pengalaman saya mencuba pelbagai jenis makanan di Thailand sebelum ini,” jelasnya.

Menurut cef di FMK, Shaiful Hisham Abd. Rashid, setiap menu yang terdapat di restoran itu merupakan idea daripada Fizo sendiri dan akan diolah mengikut cita rasa masyarakat tempatan.

Jelasnya, bahan-bahan utama menghasilkan miang kham daun kaduk adalah sama seperti kebanyakan yang dijual di tempat lain, namun keistimewaannya terletak pada sos yang 100 peratus dibuat sendiri dengan menggunakan gula padi, serai, halia dan udang kering dimasak atas api sederhana.

“Rasa manis sos ini akan membangkitkan selera selain ia tidak rasa pedas kerana cili padi yang dipotong telah disumbat ke dalam daun kaduk tadi bagi menambahkan keenakannya.

“Pemilihan daun kaduk juga amat penting kerana jika menggunakan daun yang agak tua akan membuatkan ia kelat. Oleh itu, kita akan memetik daun yang betul-betul boleh dimakan dan ditanam sendiri,” kata cef yang berasal dari Tanah Merah itu.