Foto bidikan pemenang Anugerah Pulitzer, Tyler Hicks yang disiarkan New York Times baru-baru ini meruntun hati khalayak pembaca.

Menerusi ruang komen, mereka menawarkan bantuan kewangan dan bertanya adakah keadaannya semakin pulih.

Tujuh hari selepas potret itu tersebar, New York Times melaporkan kanak-kanak perempuan tersebut meninggal dunia di kem pela­rian yang terletak 6.4 kilometer dari klinik bergerak Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) iaitu lokasi dia dirawat.

Amal dikatakan muntah dan cirit-birit ketika doktor memberikan susu setiap dua jam. Dia mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, tiga tahun selepas keluarganya melarikan diri dari rumah mereka bagi mengelak serangan udara tentera perikatan diketuai Arab Saudi.

“Hati saya hancur. Amal selalu tersenyum. Sekarang saya bimbang nasib anak-anak saya yang lain,” luah ibu Amal, Mariam Ali yang juga baru beransur sembuh daripada demam denggi.

New York Times turut menemu bual doktor tempatan, Mekkia Mahdi yang berkata, pihaknya menerima banyak kes serupa dan ia sukar dibendung.

“Lihat. Tiada daging. Hanya tulang,” ujar doktor wanita itu sambil mengusap rambut Amal.

Katanya, Amal terpaksa dikeluarkan dari hospital biarpun masih belum sihat sepenuhnya bagi memberi ruang kepada pesakit baharu yang turut memerlukan rawatan sementelah kemudahan perubatan agak terbatas.

“Doktor meminta saya membawanya ke hospital kemanusiaan antarabangsa, Doctors Without Borders di bandar Abs yang terletak kira-kira 24 kilometer dari kediaman kami.

“Memang ia tidak begitu jauh tetapi kos pengangkutan terlalu mahal. Saya tidak cukup wang. Jadi saya bawanya pulang kerana fikir dia boleh bertahan. Namun, dia meninggal dunia selepas tiga hari berada di rumah,” ucap bapa Amal, Hussain Ali.

Nama Amal bermaksud harapan. Keluarganya dahulu tinggal di kawasan pergunungan wilayah Saada yang bersempadan dengan Arab Saudi, namun serangan udara bertubi-tubi di kawasan pemberontak Houthi memaksa mereka berpindah ke kem perlindungan.

Foto penderitaan

Di sana, mereka mendiami pondok yang diperbuat daripada jerami dan plastik dengan terdapat agensi kemanusiaan memberi bantuan beras dan gula, namun ia tidak mencukupi.

Ramai mengharapkan foto penderitaannya dapat menarik perhatian masyarakat dunia terhadap impak perang yang menyaksikan puluhan ribu orang awam terkorban akibat kelaparan, keganasan dan serangan penyakit.

Di Hajjah yang terletak sejauh 127 kilometer di ibu kota Sanaa, Yemen, wartawan Declan Walsh melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun bertarung dengan ajal dalam keadaan tubuhnya tinggal tulang rangka.

Bapanya, Ali al-Hajaji baru kehilangan seorang anak bulan lalu juga akibat kebuluran. Baginya, ia bukan 100 peratus berpunca daripada kekurangan makanan di kawasan tersebut.

“Kedai di luar pintu masuk hospital dipenuhi barang dan pasar-pasar jualan masih ada yang dibuka tetapi harga terlampau mahal. Saya hampir tidak dapat membeli walaupun sekeping roti,” tuturnya.

Yemen antara negara Arab paling miskin terbabit dalam perang antara pemberontak Houthi dengan kerajaan yang disokong Arab Saudi serta sekutunya sejak tahun 2014.

Bimbang dengan ancaman Houthi yang dipercayai mendapat sokongan Iran, tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara besar-besaran serta menyekat laluan perdagangan menyebabkan bekalan makanan serta perubatan terputus.

Catuan makanan

Ia digelar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis terburuk di dunia. Menurut PBB, kira-kira 10,000 orang awam, termasuk kanak-kanak terbunuh akibat konflik itu, namun jumlah sebenar kematian dianggar lebih tinggi.

Tahun lalu, Yemen menderita wabak kolera yang disifatkan sebagai terbesar pada zaman moden merekodkan lebih daripada sejuta kes.

Selain itu, penyakit campak dan difteria turut meningkat. Dianggarkan 1,200 pesakit buah pinggang maut kerana tidak mendapat dialisis. Lebih 250,000 pesakit diabetes turut berada dalam keadaan bahaya kerana bekalan insulin semakin berkurangan.

Projek Lokasi Konflik Bersenjata (ACLED) serta agensi kebajikan menganggarkan sehingga 56,000 orang awam terbunuh. Buat masa ini kira-kira lapan juta penduduk bergantung kepada catuan bekalan makanan.

Minggu lalu, Ketua Agensi Kemanusiaan PBB, Mark Lowcock memberi amaran angka tersebut sehingga 14 juta penduduk Yemen kini diancam kebuluran dan kekurangan zat. Ia merupakan separuh daripada populasi penduduk negara itu. Sejumlah 1.8 juta daripadanya ialah kanak-kanak.

Lowcock berkata, masalah kebuluran di Yemen sangat parah dan sukar ditangani biarpun oleh kelompok profesional dan berpengalaman menghadapi kemelut kekurangan makanan dalam kajian kes terdahulu. Kos makanan telah meningkat sebanyak 35 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu.

“Kekurangan makanan, amalan pemakanan yang buruk, wabak penyakit dan kekurangan infrastruktur perubatan menjejaskan 1.1 juta wanita yang kekurangan zat makanan dan menyusukan anak.

“Jika ia berterusan, sehingga dua juta kaum ibu di kawasan terjejas berisiko terkorban,” jelasnya.

Menteri Kesihatan Yemen, Dr. Taha Mutawakel berkata menerusi temu bual eksklusif dengan wartawan Robert F. Worth mendedahkan, penyakit kanser turut meningkat dalam kalangan kanak-kanak. Kadar kelahiran yang cacat juga bertambah.

Ia dikaitkan dengan bahan toksik dalam tanah hasil daripada ribuan siri pengeboman.

“Orang fikir, kebuluran hanya berpunca daripada kekurangan makanan tetapi di Yemen ia mengenai perang ekonomi,” ungkap pakar penganalisis krisis manusia yang juga penulis buku Mass Starvation, Alex de Waal yang diterbitkan Disember tahun lalu.

Yemen terus dibadai krisis kebuluran rentetan konflik peperangan yang tercetus sejak empat tahun lalu.