Pelbagai jenis kemalangan yang berlaku di negara ini antaranya melibat kenderaan berat seperti lori, bas dan treler. Kemalangan yang melibatkan kenderaan berat di jalan raya pula kebanyakannya berpunca daripada titik buta.

Titik buta ialah kawasan di mana pemandu kenderaan terutama kereta tidak dapat melihat secara terus kenderaan di kawasan sisi dengan menggunakan cermin pandang sisi dan pandang belakang.

Situasi itu sentiasa terjadi kepada semua jenis kenderaan apabila pemandu hendak memotong dan secara tiba-tiba terdapat kenderaan benar-benar rapat di sebelah kenderaan anda. Situasi berkenaan juga antara punca kemalangan di jalan raya.

Kebiasaannya, jika sesebuah kenderaan berat bergerak, pengguna jalan raya boleh melihatnya dengan jelas. Namun, pemandu kenderaan berat belum tentu dapat melihat dengan jelas jika kenderaan berhampirannya berada di kawasan titik buta.

Mengulas lanjut mengenai hal itu, Pengerusi Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya Malaysia (RSMC), K. Balasupramaniam berkata, pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan ringan dan penunggang motosikal sebenarnya tidak boleh lari daripada berhadapan dengan kenderaan berat di jalan raya.

Oleh itu, pihaknya mengambil inisiatif dengan mengadakan kempen advokasi dan pelekat titik buta untuk kenderaan berat di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya, projek itu juga merupakan usaha dan kerjasama daripada The Summit Subang USJ dan Tyron Sales & Services (M) Sdn. Bhd. serta dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K. Devamany.

“Pelekat titik buta ini dilekatkan pada badan kenderaan berat di mana pemandunya tidak dapat melihat kenderaan yang lebih kecil di kawasan itu. Sementara itu, kenderaan yang lebih kecil pula tidak seharusnya memandu di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelas Balasupramaniam, beliau menyarankan pihak kerajaan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk mengkaji semula keberkesanan pelekat titik buta itu.

Amaran

“Malangnya kesilapan perihal titik buta tersembunyi daripada statistik. Apa yang biasanya dilaporkan kemalangan adalah akibat kecuaian pemandu itu sendiri, namun sebenarnya ia boleh dielakkan.

“Kita boleh menghalang kemalangan ini dengan memberi amaran kepada pemandu atau penunggang motosikal bahawa kenderaan berat mempunyai titik buta. Penyelesaiannya pengguna jalan raya yang lain akan sedar bahawa mereka sebenarnya berada dalam kawasan berbahaya jika pelekat itu dapat dilihat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pelekat titik buta ini tidak diwajibkan untuk dipasangkan kepada kenderaan berat, tetapi pihak JPJ dan Puspakom diharapkan boleh memberikannya secara percuma.

“Pelekat titik buta ini secara tidak langsung dapat mengurangkan lagi risiko kemalangan yang berlaku khususnya di antara kenderaan berat dan ringan ketika berada di atas jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Psikologi Trafik Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail pula berkata, beliau turut bersetuju dengan pelaksanaan pemasangan pelekat titik buta yang dilakukan oleh pihak RSMC.

Katanya, pelaksanaan itu sekali gus dapat memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya lain dengan mengetahui mereka sebenarnya dalam kawasan titik buta dan di zon berisiko tinggi.

“Penggunaan pelekat titik buta ini banyak memberikan kebaikan kepada kita khususnya kepada pengguna jalan raya kerana ia secara tidak langsung mengingatkan mereka supaya lebih berhati-hati, jadi kempen kesedaran penggunaan pelekat titik buta ini juga perlu diperluas ke seluruh negara,” katanya.

Bagaimanapun, Rozmi menasihatkan kepada pengguna jalan raya lain ketika berhadapan kenderaan berat, mereka perlu menjarakkan kenderaan dengan sekurang-kurangnya dua buah kereta jika berada di belakang kenderaan berat.

“Hal ini kerana impak dan tekanan yang dibawa oleh kenderaan berat ketika bergerak laju di atas jalan raya menghasilkan angin yang kuat dan ia berbahaya jika dihampiri dekat oleh pengguna jalan raya lain terutamanya penunggang motosikal.

“Oleh itu, mereka harus mengambil langkah berhati-hati ketika memotong kenderaan berat ini, pastikan anda memberikan isyarat memotong atau membunyikan hon sedikit supaya kehadiran anda turut disedari oleh pemandu kenderaan berat tersebut,” ujarnya.