Pada tahun 2017, Malaysia mengeksport 25.3 juta tan metrik minyak sawit ke seluruh dunia dengan India, Kesatuan Eropah dan China menjadi negara pengimport terbesar minyak sawit Malaysia sekali gus menjana pendapatan sebanyak RM78 bilion pada 2017.

Kelapa sawit umumnya dikenali sebagai bahan yang diproses untuk dijadikan minyak masak (pecahan minyak masak olein) khususnya di negara-negara bahagian Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Minyak sawit dara atau virgin sangat kaya dengan karotena (800 hingga 1,000 miligram/kilogram) dan kandungan vitamin E (800 hingga 1,200 mg/kg) selain beberapa lagi sumber mikronutrien lain.

Namun begitu, hasil kajian berterusan oleh para penyelidik telah merungkai manfaat pada minyak kelapa sawit yang memiliki sejumlah kebaikan pada kesihatan tubuh manusia.

Buktinya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam kajian yang dijalankan oleh Pegawai penyelidik Prinsipal, Unit Protein dan Teknologi Makanan, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Produk, Dr. Noor Lida Habi Mat Dian telah membangunkan formula biskut berfungsi (functional cookies) yang diperkaya dengan vitamin E dan karotena sawit.

Biskut merupakan antara makanan ringan atau snek yang biasa dimakan orang ramai dan boleh dibeli di pasaran dengan pelbagai jenama dan bentuk.

Menurut Noor Lida, kualiti dan nilai nutrisi biskut yang terdapat di pasaran bergantung pada bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut.

“Perkara yang menjadikan biskut itu istimewa dan lain daripada yang lain adalah dengan menambah nilai pada biskut tersebut,” ujarnya.

Kualiti dan mutu

Nilai dan kualiti pada sesuatu biskut biasanya diukur pada rasa yang sedap dan disukai semua orang tanpa mengira peringkat usia.

Bagaimanapun, pada masa yang sama juga, ia juga sepatutnya dapat memberi manfaat kesihatan kepada pengguna. Biskut berfungsi yang dicipta Noor Lida pada pandangan mata kasar tidak jauh berbeza dengan kebanyakan biskut yang ada di pasaran.

Bahan-bahan asas untuk menghasilkan biskut berfungsi sama seperti penyediaan membuat biskut seperti tepung, telur dan marjerin.

“Bezanya ialah, kami di MPOB telah memberi tambah nilai kepada biskut dengan menambah kandungan vitamin E dan karotena kelapa sawit bagi meningkatkan nutrien dan zat yang dapat memberi manfaat kesihatan kepada mereka yang memakan biskut tersebut,” jelasnya.

Bercerita lebih lanjut, Noor Lida menjelaskan bahawa, buah sawit adalah buah yang sangat istimewa. Minyak sawit mentah (CPO) dihasilkan daripada mesokarp buah sawit.

CPO adalah minyak yang sangat kaya dengan karotena yang merupakan provitamin A. CPO mengandungi 500 hingga 800 ppm karotena dan ia akan ditukar kepada vitamin A di dalam badan.

Khasiat utama karotena ialah menjaga kesihatan mata, agen antikanser, melawan pertumbuhan sel kanser, antioksidan, membantu tumbesaran, menjaga kesihatan jantung, meningkatkan kapasiti paru-paru dan meredakan masalah pernafasan (asma, bronkitis dan emfisema).

Minyak sawit juga kaya dengan vitamin E yang sebahagian besarnya terdiri daripada kandungan tokotrienol (70 peratus hingga 80 peratus) dan selebihnya tokoferol (20 peratus hingga 30 peratus).

Vitamin E adalah vitamin yang penting untuk kesihatan manusia kerana mempunyai sifat antioksidan, antikanser, antidiabetik dan anti pembekuan darah.

Vitamin E juga sangat baik untuk kesihatan jantung, sistem saraf, sistem usus, buah pinggang dan hati selain memainkan peranan penting dalam menjaga sistem saraf serta fungsi kognitif.

Menambah lebih lanjut, dalam membangunkan formulasi biskut berfungsi yang diperkaya dengan vitamin E dan karotena sawit itu, aspek yang paling penting diberikan perhatian ialah melihat kestabilan vitamin E dan karotena yang dimasukkan ke dalam biskut tersebut selepas dibakar pada suhu 180 darjah Celsius selama 20 minit.

Adalah penting bagi memastikan bahawa, sebahagian besar vitamin E dan karotena yang telah ditambah ke dalam adunan biskut masih kekal dan dapat memberi manfaat kesihatan kepada tubuh selepas dimakan walaupun setelah disimpan selama beberapa bulan.

“Sebagai contoh, kita memasukkan 10mg vitamin E dan karotena pada biskut berfungsi seberat 10 gram dan selepas beberapa bulan kemudian, adakah kandungannya masih kekal sama atau tidak dan berapa peratus jumlah zatnya hilang,” kata Noor Lida.

Teknologi

Selepas mendapat formula sehingga terhasilnya biskut berfungsi itu, Noor Lida kini dalam peringkat untuk melihat kestabilan vitamin E dan karotena yang diperkayakan di dalam biskut berfungsi dalam tempoh penyimpanan selama enam bulan.

Selain itu, kajian juga telah mendapatkan beberapa formulasi yang boleh dimanfaatkan oleh golongan yang mempunyai keperluan berbeza seperti penghidap diabetes apabila satu formula istimewa biskut berfungsi yang mempunyai nilai glisemik yang rendah telah dibangunkan.

Pada masa sama, penyelidik dalam rangka untuk melakukan sedikit kajian bioavailabiliti untuk mengetahui sebanyak mana vitamin E dan karotena yang diperkaya pada biskut berfungsi mampu diserap oleh badan.

Setiap formulasi serta teknologi yang dibangunkan oleh para penyelidik MPOB adalah bertujuan untuk dikomersialkan bagi menggalakkan penggunaan bahan-bahan berasaskan minyak sawit di dalam pelbagai produk terutamanya makanan.

Formulasi dan teknologi biskut berfungsi yang dibangunkan oleh Noor Lida juga telah sedia untuk dimanfaatkan oleh pihak industri.

“Saya meletakkan harapan besar agar ada pihak pengeluar produk makanan dapat memanfaatkan hasil kajian yang telah dijalankan MPOB supaya biskut berfungsi yang diperkaya dengan vitamin E dan karotena minyak sawit ini dapat dipasarkan kepada orang ramai dan memberi manfaat kesihatan baik kepada pengguna,” kata Noor Lida.