Sampai bila hati seorang wanita harus bertahan tatkala lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung dalam keluarga mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua untuk memberi nafkah apatah lagi menyediakan keperluan yang sepatutnya.

Jauh di sudut hati, wanita berkulit cerah itu yang juga merupakan ibu kepada seorang cahaya mata ibarat sudah tawar hati untuk meneruskan kehidupan sebagai isteri kepada seorang lelaki kaki judi.

Menurut Lisa (bukan nama sebenar), 35, kehidupannya dalam melayari bahtera alam rumah tangga lebih banyak menelan pahit berbanding manis gara-gara sikap suaminya, Izad (bukan nama sebenar), 38.

Pasrah dengan kehidupan yang dialaminya kini, Lisa perlu kuat dan tabah melalui hari-harinya demi anak-anak yang kian membesar.

Tabiat buruk

Mahligai yang dibina atas dasar cinta tetap diteruskan walaupun Lisa mengetahui sikap buruk suaminya yang gemar bermain judi.

Walaupun begitu, Lisa tetap tekad menikahi lelaki itu kerana percaya setiap manusia pasti akan berubah ke arah yang lebih baik apabila sudah berkeluarga.

“Dia (Izad) pernah berjanji untuk berubah sewaktu mula-mula berkahwin dan meminta untuk diberikan waktu,” tutur Lisa.

Percaya dengan kata-kata lelaki tersebut, Lisa yakin Izad akan meninggalkan tabiat buruknya selepas mempunyai tanggungjawab dalam kehidupan.

Ternyata benar apa yang diharapkan apabila Izad perlahan-lahan mula berubah ke arah yang lebih baik dan menunjukkan kesungguhan untuk memperbaiki dirinya.

“Isteri mana yang tidak gembira apabila mendapat suami memiliki sifat bertanggungjawab dan baik, namun semuanya itu hanyalah sementara,” ceritanya.

Semasa dalam fasa pertama perkahwinan, Izad menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami seperti mana yang pernah dijanjikan sewaktu belum berkahwin.

Dalam tempoh tersebut, Lisa yakin bahawa Izad telah meninggalkan terus sifat buruknya yang gemar berjudi dan menjadi suami yang bertanggungjawab.

Namun, semua itu hanyalah sementara apabila Izad sering memberi alasan tidak cukup wang walaupun untuk membeli barangan dapur.

“Saya dan suami sama-sama bekerja dan saling bantu-membantu, namun saya hairan kerana wang gajinya selalu tidak mencukupi walaupun perbelanjaan keluarga tidaklah terlalu besar,” tutur Lisa.

Izad juga semakin kerap meminta wang daripada Lisa dengan pelbagai alasan.

Namun, sebagai isteri, Lisa tidak banyak bertanya kepada suaminya.

Sedikit demi sedikit, perangai Izad mula berubah. Lelaki itu jarang berada di rumah dan selalu naik angin walaupun hanya kerana perkara-perkara kecil.

Pajak gadai

Lisa pernah bertanyakan tentang kelakuan suaminya itu untuk mendapatkan kepastian, namun Izad menafikan bahawa dia telah kembali berjudi.

Suatu hari, Lisa telah menemui sehelai resit daripada kedai pajak gadai di dalam poket seluar suaminya ketika dia hendak mencuci pakaian.

Seperti ada suatu perasaan tidak sedap hati, Lisa telah memeriksa barangan kemas miliknya yang disimpan dan mendapati sebentuk cincin pemberian arwah ibunya telah hilang.

Bersama bukti yang ada, Lisa telah bertanyakan perkara tersebut kepada suaminya dan lelaki itu mengaku telah memajak cincin tersebut untuk membayar hutang kerana berjudi.

“Luluh hati saya ketika itu kerana sikap suami yang kembali dengan perangai lamanya,” kata Lisa.

Lisa juga pernah didatangi dua orang lelaki untuk menuntut hutang ketika Izad tiada di rumah sehingga membuatkan wanita itu bimbang jika dia diapa-apakan.

Keyakinan wanita itu terhadap suaminya juga semakin pudar dan menganggap bahawa lelaki itu tidak akan berubah daripada terus dibelenggu dengan sikapnya yang gemar berjudi.

Bukan tidak mahu memberi peluang kedua buat Izad, tetapi Lisa takut jikalau suaminya itu tidak akan berubah dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami.

Bagaimanapun, Lisa tidak sanggup untuk meminta supaya dilepaskan dan hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti pintu hati suaminya terbuka untuk meninggalkan perbuatan haram itu.

Perangai Izad yang sukar untuk berhenti berjudi membuatkan Lisa tawar hati dengan sikap suaminya yang berubah cuma sementara.