KOSMO! AHAD: Apakah tugas dan peranan Datuk sebagai Pengarah Farmasi da­lam Angkatan Tentera Malaysia (ATM)?

A. HALIM: Sebagai Pengarah Farmasi ATM, saya bertanggungjawab terhadap kepimpinan secara keseluruhan bidang perkhidmatan kesihatan farmasi tentera, penggubalan dasar, pengurusan operasi dan pembangunan farmasi. Selain itu, saya juga memikul tanggungjawab terhadap pengurusan rantaian bekalan ubat-ubatan termasuk bekalan perubatan pakai buang, informasi ubat serta perkembangan penjagaan farmaseutikal. Kepakaran yang dimiliki juga melayakkan saya untuk menjadi perun­ding mewakili negara di forum kesihatan dan pembentangan di pe­ringkat antarabangsa se­perti membincangkan in­dustri farmaseutikal halal dan Amalan Farmasi Patuh Syariah (SCPP). Farma­si ATM merupakan far­masi ketentera­an yang mem­beri perkhid­matan dan menguruskan produk far­maseutikal sama seperti perkhid­matan farmasi di ba­wah Kementerian Kesihatan dalam memenuhi keperluan operasi termasuk misi ketente­raan dalam dan luar negara. ATM mempunyai tiga cabang per­khidmatan iaitu tentera darat, laut dan udara de­ngan masing-masing mempunyai keperluan yang unik. Secara tidak langsung, ke­perluan perubatan khusus untuk tentera perlu ada bagi memastikan mereka sentiasa mendapat perkhidmatan dan keperluan kesihatan terbaik jika berlaku sebarang kece­deraan atau jangkitan pe­nyakit.

Bagaimana Datuk me­lihat industri farmaseutikal di Malaysia pada hari ini?

Industri farmaseutikal di Malaysia pada hari ini telah menunjukkan prestasi ekonomi yang semakin berkembang. Negara telah mele­takkan kepen­tingan mereka dalam industri farmaseutikal halal lebih-lebih lagi Malaysia adalah perintis dalam industri ini sejak 1999. Secara tidak langsung, industri farmaseutikal halal telah membuka minat beberapa buah negara di Asia Tenggara dan Asia Tengah untuk mengimport ubat-ubatan halal yang dihasilkan di Malaysia. Bagaimanapun, Malaysia masih lagi bergantung 80 peratus import ubat-ubatan dari luar negara seperti Eropah, Amerika Syarikat dan India, manakala baki 20 peratus daripada syarikat tempatan. Bermula pada tahun 2009, kita te­lah bekerjasama secara strategik dengan syarikat CCM Bhd. iaitu syarikat farmaseutikal pertama di Malaysia yang dipersijilkan halal. Pada hari ini, terdapat 188 buah syarikat farmaseutikal telah diberi perakuan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Prospek farmaseutikal halal global menjelang 2021 adalah bernilai AS$132 bilion (RM549 bilion) dan hal ini memberi potensi pelaburan yang besar untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Apakah yang dimaksudkan dengan industri farmaseutikal halal?

Industri farmaseutikal halal bermaksud pembuatan ubat yang mengandungi bahan yang dibenarkan syariah iaitu tidak dicemari dengan najis atau bahan daripada haiwan diharamkan dalam Islam seperti babi dan anjing. Selain itu, bahan berasaskan haiwan perlulah disembelih mengikut hukum syarak yang ditetapkan. Proses pembuatan ubat-ubatan juga perlu diproses di kilang yang bebas dan tidak bercampur, berada dekat atau bersentuhan dengan apa-apa bahan yang tidak meme­nuhi hukum syarak. Bagaimanapun, kita tidak mahu timbul kekeliruan kepada pengguna jika terdapat sesetengah ubat-ubatan yang diterima oleh mereka tidak mempunyai logo halal walaupun ia selamat untuk digunakan. Dalam hal ini, pengguna sendiri perlu memainkan peranan mereka dengan bertanya kepada ahli farmasi tentang kan­dungan bahan yang digunakan untuk meyakinkan mereka bahawa ubat-ubatan yang diambil itu halal dan selamat. Ahli farmasi juga perlu memainkan peranan pen­ting dengan menerangkan secara teliti kandungan dan ke­san setiap bahan serta produk halal kepada pengguna.

Bagaimana ahli farmasi memainkan peranan dalam memberikan maklumat tentang status ubat yang diambil oleh pengguna?

Secara amnya, ini merupakan tanggungjawab profesional ahli farmasi untuk memberikan maklumat dan panduan tepat kepada pengguna tentang status dan asal-usul sesuatu ubat tersebut. Perkara ini telah menjadi tanggungjawab sosial ahli farmasi. Seperti di luar negara, misalnya di Australia, mereka telah menubuhkan gerakan Muslim Friendly Community Pharmacy dengan memberi kemudahan kepada pengguna dalam kalangan umat Islam di sana. Farmasi-farmasi di sana telah mengasingkan rak dan diletakkan label Muslim Friendly untuk memberitahu pengguna status ubat-ubat tersebut. Terkini, Farmasi Komuniti Berteraskan Halal dilancarkan di Malaysia semasa Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS 2017) oleh CCM berkonsepkan yang sama. Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman web e-fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan atau memuat turun aplikasi MyJakim pada telefon pintar untuk membuat semakan.

Sejauh manakah keseda­ran pengguna di Malaysia khususnya orang Islam tentang status halal ubat yang mereka ambil?

Saya percaya pengguna terutamanya orang Islam mempunyai kesedaran dan faham status ubat yang mereka ambil. Berdasarkan soal selidik di Hospital Angkatan Tentera, kita mendapati pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi. Sebanyak 70 peratus pesakit yang disoal mempunyai pengetahuan yang baik tentang ubat-ubatan halal, manakala 90 peratus daripada mereka bersikap positif terhadap ubat-ubatan halal. Bagaimanapun, cuma 40 peratus sahaja pengguna yang melaksanakan amalan farmaseutikal halal dalam kehidupan seharian mereka kerana tidak pasti bagaimana untuk mendapatkannya.

Apakah antara isu yang dibincangkan bersama Jakim berhubung industri farmaseutikal halal?

Terdapat garis panduan tentang pengambilan ubat yang dibangunkan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya berkaitan keperluan pesakit yang memerlukan mereka mengambil ubat-ubatan yang diragui dan kewajarannya. Garis panduan klinikal ini telah dimurnikan oleh Jakim berpandukan Maqasid Syariah. Prinsip umum Maqasid ialah pelaksanaan syariah dan ajaran Islam keseluruhannya yang bertujuan untuk menyelamatkan dan memelihara kemaslahatan kehidupan manusia. Ia merangkumi penjagaan agama (akidah), diri atau nyawa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu, apa-apa sahaja yang melibatkan kesihatan dan nyawa, ia patut dilaksanakan walaupun pilihan yang ada mungkin terdiri daripada ubat-ubatan bukan halal. Sebagai contoh kumpulan antivaksin yang menolak untuk menggunakannya kerana mendakwa ia meragukan. Sebenarnya, tidak semua vaksin itu mengandungi unsur tidak halal. Tambahan lagi kita boleh merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa vaksin itu hukum­nya harus kerana bertujuan untuk mencegah kemudaratan kepada diri dan juga negara.

Apakah harapan Datuk dalam melihat perkembangan industri farmaseutikal halal tempatan?

Saya berharap agar permintaan ubat-ubatan halal terutama dalam kalangan pengguna Islam mening­kat dan seterusnya oleh institusi kerajaan. Pada masa sama, saya juga ingin melihat pengeluaran ubat-ubatan halal tempatan meningkat di mana lebih banyak pengilang tempatan menceburi industri farmaseutikal halal ini. Saya yakin suatu hari nanti, Malaysia bakal mempelo­pori pembuatan vaksin dan ubat bioteknologi tinggi halal pada pe­ringkat dunia dan menjadi pengeluar utama dalam sektor ubat-ubatan halal. ATM akan te­rus mendokong agenda farmaseutikal halal kerajaan sebagai Lead Agency.