Hal ini disebabkan ancaman jenayah seksual dan samun antara perkara yang membuatkan wanita berasa tidak selamat khususnya ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Begitulah yang dirasai oleh Siti Hasimah Karimin, 62, ketika menggunakan pengangkutan awam seorang diri.

“Saya perlu mendapatkan rawatan secara berkala di hospital. Ia menyebabkan saya perlu menggunakan pengangkutan awam kerana pada waktu temu janji anak-anak sedang bekerja,” katanya ketika ditemui K2 di ibu negara baru-baru ini.

Dia yang menetap Wangsa Maju, Kuala Lumpur kini mampu menarik nafas lega apabila terdapat perkhidmatan MakCik Travels yang pemandunya adalah wanita.

Perkhidmatan teksi e-hailing terbaharu hanya untuk kaum wanita itu sebagai langkah menjaga keselamatan mereka ketika menaiki pengangkutan awam.

Pensyarah Perubatan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Sazlina Kamaralzaman, 47, berkata, perkhidmatan tersebut diperkenalkan oleh anaknya Siti Sarah Anuar, 19, yang sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang Diploma Perakaunan di Kolej Vokasional Kajang, Selangor.

“Anak saya membawa kereta ke tempat pengajiannya dan kawan-kawan sering memintanya untuk dihantar ke stesen Transit Aliran Massa (MRT), pusat beli-belah dan kawasan sekitar. Ini kerana mereka bimbang untuk menaiki perkhidmatan seperti teksi, Grab, Ezcab dan MyCar.

“Ia menimbulkan idea kepada kami untuk menawarkan perkhidmatan teksi e-hailing khas untuk wanita.

“Akhirnya, tertubuh syarikat, Auntie Wanders Enterprise atau lebih dikenali sebagai MakCik Travels pada bulan November tahun lepas,” katanya yang ditemui K2 di Pandah Indah, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Sazlina memberitahu, MakCik Travels menawarkan pemandu wanita khusus untuk keselesaan penumpang wanita sahaja yang ingin bergerak ke mana-mana dan pada bila-bila masa.

“Pelanggan perlu membuat tempahan awal supaya proses mencari pemandu, destinasi dan kiraan kos perjalanan dapat dilakukan selain proses mengenal pasti identiti pelanggan sendiri.

Tempahan perkhidmatan tersebut juga mudah iaitu melalui WhatsApp ataupun Facebook.

Bercerita mengenai pemilihan nama tersebut, Sazlina berkata, ia bermula di laman sosial, Instagramnya yang menggunakan nama Travelling MakCik. Di laman sosial itu, dia, ahli keluarga dan kawan-kawannya berkongsi pengalaman ketika melancong ke luar negara.

“Perkataan makcik itu sendiri merujuk kepada watak seorang ibu dan seseorang yang kita percayai,” katanya.

Sazlina memberitahu, semua pemandu yang berdaftar dengan syarikatnya wajib menjalani saringan dan semakan latar belakang bagi memastikan tiada rekod jenayah lampau.

Mengenai sambutan pula, kita menerima tempahan yang amat memberangsangkan termasuk daripada golongan warga emas, kanak-kanak istimewa dan pelajar.

Mengulas lanjut, dia berkata, sehingga kini terdapat empat kakitangan yang akan membantunya melakukan kerja-kerja bagi mengendalikan tempahan, pengambilan pemandu, latihan dan pengendali platform.

Cara tempahan

Sementara itu, Siti Sarah menjelaskan, ia menggunakan pendekatan pratempahan yang memerlukan penumpang membuat tempahan setengah jam lebih awal.

“Buat masa ini, kami tiada aplikasi khusus untuk mengira jarak dan mencari pemandu. Semua itu dilakukan secara manual. Saya sendiri akan mencari pemandu dan mengira jarak mengikut standard harga e-hailing lain.

Menariknya MakCik Travels, tidak mengenakan komisen yang terlalu tinggi kepada pemandu. Sudah tentu mereka (pemandu) akan mendapat lebih.

“Misalnya, penumpang ingin kita menjemputnya dari Sentral Kuala Lumpur ke Bandar Permaisuri, Cheras, tambang yang dikenakan adalah sebanyak RM20, tetapi pada waktu puncak caj dikenakan lebih sedikit.

“Kami lebih kepada perunding dan sekiranya penumpang dan pemandu kami sudah bersetuju dengan harga yang diberi, saya akan beritahu penumpang bahawa sudah menemui pemandu dan akan memberikan pengenalan diri pemandu itu kepada penumpang,” tuturnya.

Tambahnya, komisen juga ditentukan sebanyak 80 peratus diberikan kepada pemandu, ejen (15 peratus) dan syarikat hanya mengambil lima peratus.

Membantu wanita lain

MakCik Travels turut menawarkan pekerjaan sebagai pemandu buat wanita yang ingin menjana pendapatan dengan waktu bekerja yang lebih fleksibel.

Kata Sazlina, sehingga kini sebanyak 90 pemandu sekitar Kuala Lumpur mendaftar di bawah MakCik Travels dan beberapa bandar di negeri lain seperti Taiping, Perak (15); Kota Bharu, Kelantan (5) dan Johor Bahru, Johor (5).

“Salah satu tujuan saya menubuhkan syarikat ini adalah untuk membantu wanita yang ingin mencari duit lebih.

Jelasnya lagi, selain memberi kemudahan kepada penumpang wanita, perkhidmatan seperti ini juga telah membantu golongan ibu tunggal yang terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.

Dalam pada itu, Sazlina berkata, dia juga merancang untuk menawarkan pelbagai lagi perkhidmatan lain pada masa hadapan dan salah satunya adalah perkhidmatan pengiring khusus dikenali sebagai Chaperone.

“Chaperone akan menemani pelanggan di pelanggan lokasi pilihan. Tugas mereka adalah memastikan pelanggan mempunyai syarikat pada setiap masa dan pengiring akan membantu berdasarkan atas keupayaan mereka.

“Perkhidmatan ini disediakan mulai pada pukul 12 malam hingga 11 malam setiap hari,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Salah seorang pemandu, Salamiah Habib, 56, berkata, dia gembira menjadi sebahagian keluarga Makcik Travels kerana dapat membantu golongan wanita lain yang ingin pergi ke sesuatu lokasi dengan lebih selamat.

“Saya memahami kesulitan dan kesukaran golongan wanita untuk bergerak ke suatu destinasi.

“Selain itu, saya juga dapat saya menambah pendapatan,” katanya yang bekerja secara sambilan dengan pendapatan hampir RM2,000 sebulan.

Tambah Salamiah lagi, dia bekerja dua kali seminggu.

“Saya amat berpuas hati kerana kebanyakan penumpang sangat ramah.

“Mereka juga berasa lebih selesa dan selamat sepanjang perjalanan menuju ke destinasi yang diminta,” katanya yang merupakan seorang pesara kerajaan.

MakCik Travels yang ditubuhkan November tahun lalu menawarkan pilihan perkhidmatan e-hailing dengan pemandu wanita khusus untuk golongan wanita.