Taman yang terletak di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kuala Kangsar, Perak itu umpama ‘syurga’ bagi penggemar durian.

Melangkah masuk ke dalam ladang ini, pengunjung dihidangkan dengan pokok-pokok yang merendang dan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.

“Menikmati durian di sini sangat istimewa kerana kita dapat makan raja buah tersebut di bawah pokok durian atau di pondok yang disediakan.

“Suasana tersebut jarang dirasai apatah lagi kalau kita dibesarkan di bandar.

“Lebih menarik, harga yang ditawarkan sangat berpatutan dan pengunjung dapat merasai pelbagai jenis durian hasil penyelidikan pihak MARDI,” katanya ketika ditemui pada program Road To Agro Tourism Siri 2 anjuran Majlis Pelancongan Malaysia di taman tersebut baru-baru ini.

Cerita anak kelahiran Kuala Lumpur itu, di samping menikmati durian, dia juga mendapat ilmu baharu mengenai tanaman di ladang tersebut.

Misalnya, ramai yang keliru antara buah manggis dan mesta kerana sekilas pandang ia kelihatan sama sahaja.

“Kini baru saya tahu perbezaan kedua-dua buah tersebut, mesta bentuknya sedikit lonjong, kurang berair dan lebih rangup.

“Manggis pula berbentuk bulat, manis dan berair,” tutur anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Duriotourism merupakan tempat pelancongan yang bertemakan dusun kampung dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung.

Taman Duriotourism dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Bakar pada 9 Disember tahun lalu.

Duriotourism diambil sempena nama saintifik durian iaitu Durio zibethinus.

Sementara itu, Penolong Penyelidik MARDI Kuala Kangsar, Mohammad Ammaruddin Mohamed Amin, 30, berkata, di taman tersebut terdapat lebih 20 jenis buah durian.

“Sejajar dengan status taman ini sebagai tempat kajian buah-buahan, kami mempunyai beberapa durian klon yang dihasilkan oleh para penyelidik MARDI, antaranya ialah MDUR 79, MDUR 78 dan MDUR 88.

“Ketiga-ketiga jenis durian klon itu memberikan rasa berbeza contohnya, MDUR 79 rasanya manis dan lemak manakala MDUR88 pahit serta lemak.

Penjagaan

“Di samping itu, pengunjung turut berpeluang menikmati durian D24, D2, D16, jerangau dan lebih 10 durian hibrid,” ujarnya yang telah bertugas di MARDI Kuala Kangsar sejak tiga tahun lalu.

MDUR merupakan nama durian klon yang dihasilkan oleh penyelidik MARDI.

Beliau yang bertanggungjawab menjaga dan mengurus ladang serta pekerja akan memastikan pokok-pokok di ladang tersebut di pantau setiap hari dengan bantuan 19 orang kakitangan.

Mereka menjalankan kerja-kerja penjagaan pokok dari segi penggunaan racun dan kebersihan ladang.

Terang bapa kepada empat orang cahaya mata itu, menjaga tanaman durian tidak sukar tetapi perlu berwaspada dengan penyakit kanker iaitu pangkal pokok menjadi berair.

“Bagi penyakit kanker ini, kami akan membuat beberapa rawatan seperti mengikis bahagian yang terkena jangkitan dan menyembur racun.

“Jika penyakit sudah berada pada tahap tiga atau empat, kami akan memberi suntikan pada batang pokok.

“Penyakit sebegini kebiasaannya berlaku pada pokok dewasa sebaliknya, pokok kecil pula mempunyai masalah serangga serta ulat yang memakan daun,” tuturnya.

Tambah Mohammad Ammaruddin, pokok durian mempunyai jangka hayat yang lama iaitu 20 hingga 30 tahun tetapi apabila usianya tua maka, pengeluaran juga semakin berkurangan.

Selain itu, ladang tersebut turut mempunyai buah-buahan tropika lain seperti rambutan, limau bali, manggis dan mesta.

Pasaran

Lebih menarik, terdapat beberapa pokok durian hutan di ladang tersebut dan sekiranya ia berbuah pada musim itu, pengunjung berpeluang merasainya.

Jelasnya lagi, durian akan mengeluarkan hasil dalam tempoh lima tahun dan ia merupakan cabaran kerana memakan masa yang agak lama untuk mendapat kembali pulangan modal.

Harus diingat, tidak semua pokok durian akan berbuah serentak.

Hasil tuaian tersebut tidak dijual ke pasaran-pasaran luar tetapi pihak MARDI Kuala Kangsar membuka peluang kepada orang ramai untuk menikmati buah-buahan di dalam ladang tersebut.

Mengulas mengenai kemasukan pengunjung ke ladang tersebut, Mohammad Ammaruddin berkata, pihaknya memperuntukkan empat sesi sehari.

“Setiap satu sesi mengambil masa kira-kira dua jam dengan jumlah pengunjung seramai 120 hingga 140 orang.

“Antara aktiviti yang disediakan ialah melawat ladang, makan durian dan buah-buahan, mengait rambutan serta manggis.

“Bayaran yang dikenakan bagi seorang dewasa ialah RM50 dan kanak-kanak pula sebanyak RM30,” katanya sambil memberitahu terdapat 930 pokok durian pelbagai jenis yang ditanam di situ.

Jika di luar musim buah, pihak MARDI Kuala Kangsar menawarkan pakej pembelajaran kepada orang ramai seperti lawatan sambil belajar di ladang itu.

Pada perkembangan yang sama, Pengarah Pusat Pembangunan & Pengurusan Harta, Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Selangor, Azman Mohd. Saad berkata, idea mewujudkan Taman Duriotourism merupakan kesinambungan daripada 32 stesen MARDI di seluruh Malaysia yang mempunyai potensi untuk menjadi tarikan pelancongan.

“Taman Duriotourism merupakan pusat agropelancongan kelima di bawah MARDI termasuk Taman Agroteknologi di Cameron Highlands dan Cherating, Pahang; Langkawi, Kedah serta Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Pihak kami akan membangunkan taman seluas 39.5 hektar ini secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

“Sebanyak enam tarikan bakal dibangunkan iaitu Duriotour, Duriofestival, Durio Produk, Durio Muzium, Durio Chalet dan Friends of Durio,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai projek agropelancongan itu, Azman berkata, MARDI pada awalnya ditubuhkan bagi tujuan menjana dan mempromosi teknologi baharu untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan asas tani.

Justeru, pihaknya berusaha mencari cara terbaik untuk menarik perhatian orang awam mengenali teknologi yang dibangunkan MARDI.

“Disebabkan itu, tercetuslah idea untuk mewujudkan pusat agropelancongan ini. Projek seumpama ini turut bertujuan untuk membantu penduduk sekitar menjual produk-produk mereka kepada pelancong bagi menambah pendapatan.

“Sebagai contoh, Durio Produk akan menjual pelbagai produk berasaskan durian seperti makanan dan cenderamata yang dihasilkan oleh penduduk sekitar,” jelasnya.

Pihaknya turut merancang untuk membangunkan tasik di ladang tersebut untuk dijadikan sebagai tempat rekreasi dan berkayak.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis durian dan mempelajari ilmu buah-buahan sepanjang berada di Taman Duriotourism MARDI, Kuala Kangsar, Perak.