Selain rasanya yang enak, juadah berasaskan tepung, daging dan sayur-sayuran itu mudah didapati di mana-mana negara pun di dunia ini.

Seorang lelaki dari New Jersey, Amerika Syarikat baru-baru ini menjadi tular di media sosial selepas membuat pendedahan bahawa dia hanya makan piza setiap malam sejak 37 tahun yang lalu.

Mike Roman, 41, mendedahkan, dia hanya makan piza sebagai juadah makan malamnya setiap hari sejak berusia empat tahun.

Ujar Roman, kegilaannya terhadap piza bermula selepas ibunya menjamu dirinya dengan piza ketika dia berusia tiga tahun.

“Ketika itu, saya masih kecil dan baru berusia tiga tahun. Sebaik sahaja saya makan piza, saya terus sukakannya dan sering meminta untuk makan piza pada setiap hari.

“Pada mulanya, ibu melarang saya makan piza pada setiap hari, namun kerana saya tidak berselera untuk makan makanan lain, ibu akhirnya mengalah dan saya diberi makan piza setiap hari,” jelasnya memetik laporan laman web www.NorthJersey.com.

Margarita

Jelas Roman lagi, dia pernah makan piza sahaja untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan juga makan malam selama bertahun-tahun, namun mula memilih untuk makan piza hanya pada waktu malam.

Lelaki yang bekerja sebagai seorang guru itu kemudian mula menukar menu tengah harinya kepada sandwic mentega kacang.

“Untuk menu sarapan pagi dan makan tengah hari, saya akan menukar-nukar menu mengikut mood, namun masih makan piza pada setiap malam,” katanya.

Piza pilihan Roman selalunya hanya ditaburi keju atau juga dikenali sebagai Margarita.

Selepas tular, ramai individu yang bertanya kepada Roman adakah dia tidak bosan hanya makan piza pada setiap malam selama berpuluh-puluh tahun.

Jelasnya, piza mempunyai rasa yang berbeza-beza dan dia tidak akan pernah bosan dengan makanan yang berasal dari Itali itu.

“Biarpun saya makan piza setiap malam, saya akan membelinya dari pelbagai kedai yang berbeza.

“Rasa piza juga berbeza-beza, menjadikan saya sebenarnya mempunyai banyak pilihan biarpun hanya makan makanan yang sama pada setiap malam,” jelasnya.

Tambah Roman, dia juga makan piza semasa majlis perkahwinannya dua tahun lalu dan masih lagi mengekalkan menu tersebut semasa sedang berbulan madu.

Isteri Roman yang tidak didedahkan identitinya itu juga tidak kisah dengan tabiat aneh suaminya itu dan turut sama makan piza setiap hari sepanjang tempoh bulan madu mereka.

Kolestrol

Hal ini kerana, sebelum mula berpacaran, Roman akan memberitahu kekasihnya tentang kegilaannya terhadap piza dan hanya akan membawa wanita tersebut makan di restoran yang menyajikan menu tersebut.

“Biarpun kami tidak ke kedai yang hanya menjual piza, namun kedai yang saya kunjungi itu haruslah menyajikan piza,” jelas Roman.

Biarpun memakan makanan yang berkolesterol tinggi pada setiap malam selama 37 tahun, Roman mengakui dia sehingga kini tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan.

Jelas lelaki itu, paras kolesterolnya pernah naik beberapa tahun sebelum ini, namun ia turun semula dan dia disahkan sihat biarpun makan makanan berminyak setiap hari.

Roman berkata, dia tidak kisah jika ketagihannya itu berterusan untuk beberapa tahun lagi ia sudah sebati dengan dirinya.