Rasa buah durian yang lemak manis bukan sahaja memikat selera Hartini tetapi juga tiga orang anaknya.

“Keenakan durian itu membuatkan saya mampu makan sehingga tiga biji durian dalam satu-satu masa.

“Pernah juga akibat terlalu banyak makan durian saya mengalami sakit kepala dan badan berangin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, dia juga mengamalkan petua orang tua seperti minum air dalam pangsa durian untuk menyejukkan badan.

Begitu pun, perkhabaran yang dibaca menerusi WhatsApp membuatkan hatinya agak resah apabila pelbagai larangan ketika menikmati durian seperti tidak boleh makan manggis bersama buah itu.

Dia berasa agak pelik kerana selama ini makan buah manggis dan durian tidak mendatangkan apa-apa keburukan pada dirinya.

Ekoran itu, dia sangat berhati-hati untuk mengambil apa jua makanan atau minuman ketika makan durian bagi mengelakkan perkara tidak diingini terutamanya minuman bergas.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Zubaidi Ahmad berkata, durian mempunyai kandungan karbohidrat (gula) yang tinggi.

Dua ulas biji durian mengandungi 60 hingga 80 kcal kalori yang bersamaan dengan setengah cawan nasi putih.

Kalori tersebut bergantung kepada jenis baka durian itu.

Baka berkualiti tinggi seperti D24 dan Musang King lebih sedap, rasa berlemak dan kandungan karbohidratnya juga tinggi.

“Durian mengandungi vitamin C dan B serta mineral potassium.

“Kadar kesemua vitamin dan mineral ini berbeza mengikut berapa lama disimpan, adakah ia masak di pokok atau dipetik lebih awal, tempat ditanam serta baja yang digunakan,” jelasnya.

Jika buah durian tersebut dipetik lebih awal dan disimpan, ia akan mengurangkan vitamin serta mineral berbanding masak secara semula jadi di atas pokok.

Beliau menasihatkan agar durian diambil secara bersederhana iaitu dua hingga tiga ulas.

Karbohidrat

Tambahnya, pengambilan melebihi lima ulas sudah dikira terlalu banyak jika pada masa yang sama kita mengambil sumber karbohidrat lain.

Disebabkan kandungan karbohidrat (gula) serta potassium yang tinggi, durian tidak sesuai untuk dimakan oleh pesakit kronik seperti masalah jantung dan ginjal.

“Sekiranya ingin merasa keenakan buah tersebut, pesakit disarankan agar mengambil dalam satu atau dua sudu kecil.

“Ini kerana, kandungan mineral potassium boleh mengganggu fungsi jantung dan ginjal sehingga menyebabkan pesakit pengsan,” terangnya.

Begitu juga pesakit diabetes dan wanita hamil dinasihatkan agar makan durian dalam kuantiti yang sedikit.

Mengulas mengenai larangan dan mitos makan durian bersama beberapa makanan yang dikatakan bakal mengundang masalah kesihatan, Zubaidi berkata, ia adalah berdasarkan pengalaman orang lama.

Sebagai contoh makan durian bersama alkohol atau air berkarbonat boleh menyebabkan seseorang itu pengsan.

“Durian mempunyai karbohidrat yang tinggi, selalunya seseorang itu mengambil beberapa ulas untuk sekali makan.

“Oleh itu, pengambilan minuman atau makanan yang tinggi karbohidrat akan menyebabkan gula terlalu tinggi,” ujarnya.

Apatah lagi jika tidak disertai dengan pengambilan air kosong sehingga menyebabkan dehidrasi.

Tuturnya lagi, pesakit kronik lebih berisiko untuk mengalami masalah kesihatan apabila makan durian yang banyak dan diambil bersama dengan alkohol, air bergas, kopi atau apa-apa minuman serta makanan merangsangkan degupan jantung untuk lebih bertenaga.

Sehubungan itu, orang dulu-dulu menggalakkan seseorang yang makan durian meminum air dalam pangsa durian bagi mengelakkan panas badan (akibat metabolisme gula yang tinggi).

Sebenarnya ia lebih kepada mengelakkan dehidrasi selepas makan durian dan mengelakkan kesan sampingan ketika dehidrasi.