Namun, berbeza dengan Amix Coffee kerana ia merupakan satu-satunya kafe di dunia ini yang memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman menikmati hidangan sambil ikan berenang-renang di kaki mereka.

Terletak di bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam, Amix Coffee terdiri daripada premis dua tingkat yang dipenuhi beratus-ratus ikan bersaiz kecil dan besar.

Kedua-dua tingkat berkenaan dilengkapi dengan dua lapisan kanvas plastik yang kalis air, manakala kaki perabot dialas dengan kain kapas untuk mengurangkan pergeseran dan kerosakan kepada kanvas tersebut.

Setiap lantai meliputi kawasan seluas 20 meter persegi, manakala paras air pula mempunyai kedalaman sehingga 25 sentimeter.

Sebelum memasuki kolam yang mengandungi pelbagai ikan berwarna-warni itu, pengunjung terlebih dahulu perlu membuka kasut dan membersihkan kaki mereka.

Tangkap ikan

Pengunjung seterusnya boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman sambil ikan koi Jepun serta pelbagai ikan kecil lain berenang-renang di kaki mereka.

Amix Coffee adalah idea daripada Nguyen Duoc Hoa berusia 23 tahun yang ingin membawa konsep kafe haiwan ke tahap yang baharu.

Bagaimanapun, menjadikan idea berkenaan menjadi satu realiti bukan sesuatu yang mudah bagi wanita berkenaan.

Memenuhi tingkat pertama dan kedua Amix Coffee dengan air berjumlah kira-kira 10,000 liter selain perlu memastikan air berkenaan sentiasa bersih merupakan cabaran terbesar, namun dia akhirnya menemui satu jalan penyelesaian yang sesuai.

Kafe ini menggunakan sistem tiga penapis serta pam yang menukar air antara 25 hingga 50 peratus pada setiap tingkat bagi mengekalkan keadaan optimum untuk ikan.

Bagaimanapun, tugas untuk menghalang para pengunjung daripada membuatkan ikan-ikan berkenaan tertekan adalah lebih sukar.

Jelas Hoa, keluarga yang mempunyai anak-anak kecil merupakan antara pelanggan utama kafe berkenaan.

“Kebanyakan daripada keluarga ini tidak menimbulkan sebarang masalah, namun terdapat segelintir ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka mengejar dan cuba menangkap ikan.

“Ibu bapa mereka pula hanya membiarkan anak-anak mereka berbuat demikian,” katanya.

Mudah mati

Jelas Hoa, perbuatan sebegitu tidak dibenarkan di dalam kafe berkenaan dan pihaknya terpaksa meminta keluarga berkenaan meninggalkan premis itu.

Tingkat bawah Amix Coffee merupakan rumah kepada ikan hiasan kecil sementara tingkat kedua menempatkan ikan koi Jepun yang mempunyai berat sekitar 300 gram seekor.

Hoa memberitahu, pada masa akan datang, dia merancang untuk membeli lebih banyak ikan koi Jepun untuk menggantikan spesies ikan yang lebih kecil.

“Ikan-ikan kecil ini lebih mudah mati akibat terkejut berbanding ikan koi Jepun,” tambahnya.

Walaupun mendapat maklum balas positif, Amix Coffee turut tidak terlepas daripada menerima pelbagai kritikan.

Sesetengah individu berpendapat membiarkan ikan berkenaan dalam keadaan tertekan selain menggunakan haiwan itu untuk menghiburkan pengunjung adalah satu penderaan terhadap haiwan.

Amix Coffee tawarkan pengalaman nikmati hidangan sambil ikan koi Jepun berenang-renang di sekeliling kaki.