Undangan untuk mengintai dekorasi restoran The Ame Soeur yang diterima minggu lalu disambut baik memandangkan premis tersebut mempunyai dekorasi yang cukup memukau.

Hiasan dalamannya yang berkonsepkan sebuah istana mewah pada era Victoria sememangnya cukup cantik dan bergaya.

Pintu gerbang restoran yang dilatari rona emas dan diserikan dengan pokok-pokok menjalar itu, sudah cukup membuatkan pengunjung te­ruja untuk melihat dekorasi dalamannya.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke premis seluas 300 meter persegi itu, mata kru Panorama terpukau melihat dekorasi penuh mewah diketengahkan premis tersebut.

Keseluruhan ruang restoran dilatari dengan dinding berkerawang mewah daripada rona emas.

Alunan muzik klasik dari era Victoria menerjah masuk ke gegendang telinga kru Panorama dan jurugambar ketika masing-ma­sing mengambil tempat duduk di ruangan kenamaan (VIP) dalam restoran tersebut.

Era Victoria

Mengambil inspirasi dekorasi dari sebuah restoran di New York, Amerika Syarikat, idea tersebut lantas diterjemahkan pemilik restoran itu.

Menurut cef eksekutif yang juga ketua cef The Ame Soeur, Fairise Abdullah, dekorasi serba mewah itu merupakan ilham dan idea pemilik sepenuhnya.

“Dekorasi serba mewah restoran ini ialah daripada dekorasi istana lama di Perancis.

“Pemilik gemar melancong ke luar negara dan melihat dekorasi restoran-restoran mewah yang ada di negara-negara seperti Perancis, Amerika Syarikat dan England.

“Ia kemudian dibawa masuk ke premis ini memandangkan pemilik mahu orang ramai berpeluang merasai suasana makan ala istana apabila berada di The Ame Soeur,” jelasnya.

Dibuka secara rasmi pada tanggal 16 Disember tahun lalu, The Ame Souer memang mudah mencuri tumpuan pengunjung kerana dekorasinya lain daripada yang lain.

Kerusi kulit

Bagi membangkitkan lagi aura mewah pada premis itu, The Ame Soeur dipenuhi dengan lampu-lampu candelier hampir di setiap ruang makannya.

Biarpun dipenuhi lampu mewah itu, ruang restoran tidak langsung kelihatan sarat.

Bahkan, untuk menjadikan ruang tampak lebih luas, pemilik dilihat meletakkan beberapa cermin besar di ruang restoran.

Pemilihan kerusi makan daripada material kulit dengan limpahan rona hitam ternyata cukup bersesuaian apabila dipadankan dengan konsep yang dipertaruhkan.

Dipadankan pula dengan meja segi empat sama daripada rona krim dan emas, pengunjung betul-betul boleh merasai pengalaman sedang menjamu selera di dalam sebuah istana mewah.

Tambah Fairuse, pemilik premis itu tidak kisah berbelanja besar untuk merealisasikan konsep dekorasi impian.

“Ukiran pada dinding dan siling restoran ini menelan belanja yang besar, namun pemilik tidak kisah untuk berbelanja besar memandangkan dia mahu pengunjung seronok setiap kali menjamu selera di The Ame Soeur.

“Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika setiap sudut di dalam restoran ini dijadikan port bergambar oleh pengunjung,” selorohnya.

Kedatangan kru Panorama menjelang perayaan Hari Natal juga menjadikan ruang restoran tampak lebih cantik kerana dihiasi dengan dekorasi serba merah.

Di sudut tengah restoran, pemilik meletakkan dekorasi berupa pokok Krismas dan juga bunga mawar merah.

Hasilnya, sudut tersebut kelihatan cukup menonjol dan menarik.

Bercerita tentang nama restoran, Fairuse memberitahu Ame Soeur bermaksud soulmate dalam bahasa Perancis.

“Ame Soeur dipilih sendiri oleh pemilik,” jelasnya.

Premis itu menyajikan menu masakan Perancis pada harga berpatutan. Antara menu yang menjadi pilihan adalah roasted stuffed chicken leg, fresh herb seafood shell spaghetti dan Norwegian salmon trout.

Premis tersebut juga turut menempatkan ruang kenamaan buat pengunjung yang mahu makan dalam kumpulan besar.

Bagi dekorasi ruang VIP, ia dilatari sofa rona hijau pekat dan menghadap tingkap kaca menjadikan suasana terang tanpa perlu pencahayaan.

Dindingnya pula diletakkan bingkai gambar era Victoria supaya kelihatan selari dengan konsep keseluruhan restoran.

Ruang tersebut yang boleh memuatkan antara lapan hingga 12 orang pada satu-satu masa dan ia perlu ditempah terlebih dahulu.

The Ame Soeur dibuka setiap hari dari pukul 9.30 pagi hingga 11 malam.

Fairuse memberitahu, pihaknya menerima sebarang tempahan untuk mengadakan sebarang majlis.

“Keseluruhan restoran boleh memuatkan 150 orang pada satu-satu masa dan sebarang tempahan bagi majlis sama hari lahir atau sambutan ulang tahun perkahwinan boleh dibuat dengan menelefon kami di talian 03-2715 3285,” ujarnya.