Jika dilihat gerai makanan yang dikendalikan oleh warga asing, mereka seakan-akan tidak ambil peduli mengenai kebersihan terutamanya di dapur.

Apa tidaknya, terdapat kes perkakasan dapur dibasuh di lopak air, bahan mentah diletakkan di atas lantai berlumut dan keadaan dapur kelihatan menjijikkan.

Malah baru-baru ini pula tular di laman sosial mengenai sebuah restoran sate tulang terkenal di Seremban, Negeri Sembilan didapati telah melakukan beberapa kesalahan seperti pengendali makanan tiada suntikan tifoid, peralatan masakan yang kotor dan amalan penyediaan makanan yang tidak bersih.

Operasi di restoran berkenaan dikendalikan oleh beberapa pekerja warga Indonesia.

Menurut Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah, Datuk Dr. Mohd. Rushdan Md. Noor, isu terbabit berlaku kerana pengusaha tidak menjalankan tanggungjawab menyelia dan memantau pekerja.

Selain itu, kemungkinan pengusaha sendiri tidak mematuhi peraturan mengendalikan makanan seperti yang termaktub di dalam Akta Makanan 1983.

“Pengusaha boleh menggajikan mana-mana warga asing jika mendapat permit untuk bekerja di kedai makanan tetapi ia juga dikategorikan sebagai pengendali makanan dan perlu mematuhi peraturan.

“Di antara peraturan pengendali makanan adalah mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan mengambil vaksin tifoid,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Di samping itu, katanya, sikap pengotor dan tidak prihatin tentang kebersihan sudah biasa diamalkan oleh pekerja asing, sebab itu walaupun ada peraturan mereka tidak mematuhinya.

Mohd. Rushdan beranggapan, kemungkinan pekerja-pekerja asing tidak didedahkan kepada kaedah pengendalian makanan yang betul.

“Setiap pengusaha yang mengusahakan kedai makan sepatutnya bertanggungjawab ke atas pekerjanya.

Garis panduan

“Jika mengambil pekerja warga asing, pengusaha hendaklah mematuhi peraturan yang sama iaitu mendapatkan pemeriksaan kesihatan, perlu bebas daripada penyakit berjangkit, menerima vaksin tifoid dan menghadiri kursus pengendalian makanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pengusaha makanan sedar tentang wujudnya akta makanan itu, tetapi tidak mengambil berat hal tersebut.

Sebaliknya, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia sudah mempunyai garis panduan yang cukup lengkap untuk diamalkan oleh pengusaha kedai makan, cuma terpulang kepada mereka untuk mematuhinya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad berkata, menjaga kebersihan merupakan perkara yang dituntut dalam Islam.

Katanya, dalam konteks Islam sesebuah perniagaan itu seperti sebuah amanah yang perlu dijaga kerana mereka menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.

“Para peniaga di premis makanan harus menyediakan makanan yang berkualiti dan bersih serta halal jika untuk Muslim.

“Jika mereka membuat sambil lewa seperti proses penyediaan makanan tidak dijaga dan bahan mentah kotor, itu akan memberi kemudaratan pada kesihatan pelanggan,” katanya.

Jelasnya lagi, sifat mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira kepuasan pelanggan ialah perbuatan tidak wajar dari segi undang-undang Malaysia dan agama Islam.