Ia menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Walaupun pada peringkat awal penyakit tersebut seakan-akan tidak berbahaya, hakikatnya ia boleh mengundang maut jika tidak dibendung.

Seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah di Sarawak meninggal dunia dipercayai akibat dijangkiti penyakit tersebut pada 27 Julai lalu

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa Farhan Abdullah mula mengalami demam pada Selasa, 24 Julai lalu dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam pada tapak tangan, kaki serta ulser dalam mulut pada keesokan harinya.

Kanak-kanak tersebut dibawa ke Klinik Kesihatan Daro pada hari berikutnya sebelum dirujuk ke Hospital Daro.

Bagaimanapun, keadaan mangsa tidak stabil dan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2.08 pagi Sabtu lalu.

Difahamkan, kematian kanak-kanak itu disebabkan oleh jangkitan paru-paru yang teruk.

HFMD bukanlah penyakit yang boleh dipandang ringan.

Kuarantin

Penghidap penyakit tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak perlu dikuarantin di dalam rumah dengan pengawasan ibu bapa.

Ia seharusnya dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkannya daripada terus merebak kepada kanak-kanak lain.

Bagaimanapun, perkara tersebut pula dikhuatiri mengganggu aliran tugas pekerja bagi ibu bapa yang bekerjaya.

Menurut seorang kakitangan di salah sebuah sektor swasta, Burhan Karim, 37, dia perlu mengambil cuti yang panjang demi menjaga dua orang anaknya di rumah akibat jangkitan penyakit berkenaan.

“Kedua-dua anak saya disyaki mendapat penyakit ini daripada rakan di pusat asuhan mereka.

“Disebabkan itu, saya perlu mengambil cuti hampir dua minggu untuk kuarantin anak bagi memastikan penyakit ini tidak merebak.

“Saya sangat risau jika majikan tidak memahami keadaan yang saya lalui ini dan akhirnya menyebabkan kerja saya terganggu kelak,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Burhan berkata, pada awalnya, hanya anak bongsu dijangkiti penyakit berkenaan.

Seminggu selepas itu, anak sulungnya pula timbul kesan-kesan seperti ruam pada tapak tangan, kaki serta ulser dalam mulut.

Keadaan tersebut sememangnya merunsingkan Burhan kerana sebagai bapa, dia berusaha sedaya upaya melaksanakan amalan kebersihan terbaik ketika di rumah.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan menyarankan semua majikan termasuk sektor swasta supaya memberi kelonggaran kepada pekerja yang anaknya disahkan dijangkiti HFMD.

Katanya, ia merupakan langkah yang wajar dilakukan selagi mana tidak mengganggu aliran kerja dalam syarikat.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana majikan digalakkan mematuhi saranan doktor demi mengekang penyakit ini daripada terus merebak.

“Majikan seharusnya sedia maklum bahawa penyakit ini memerlukan tempoh masa yang panjang dan agak sukar untuk sembuh.

“Sekiranya majikan sukar untuk bertolak ansur dengan memberi kelonggaran itu, ia dikhuatiri akan merebak ke tempat lain dan akhirnya menjangkiti golongan dewasa pula,” katanya.

Peningkatan

Sebanyak 37,986 kes penyakit HFMD dilaporkan di seluruh negara dengan kebanyakan negeri merekodkan peningkatan berbanding tahun lalu kecuali Sarawak.

Selangor mencatatkan jumlah kes HFMD tertinggi iaitu sebanyak 11,349 kes diikuti Kuala Lumpur (4,428) dan Sarawak (4,412).

Akibat penularan wabak itu, 1,093 dengan 539 premis iaitu 241 pusat asuhan kanak-kanak atau taska, 259 tadika dan 39 sekolah, ditutup sementara di seluruh negara.

Tambah Shamsuddin, majikan perlu melihat penularan penyakit HFMD dari sudut pengawalan khususnya aspek kebersihan.

Katanya, galakan berkaitan amalan kebersihan perlu digiatkan kepada semua pekerja agar gaya hidup yang lebih sihat dapat diamalkan.