Bagaimanapun, berbeza pula dengan seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dari Tangerang, wilayah Banten, Indonesia apabila menjadikan seekor buaya sebagai mainan harian.

Malah menerusi sebuah rakaman video yang tular baru-baru ini menunjukkan Dilan Maharani atau lebih dikenali sebagai Rani, menyeret seekor buaya dengan menarik bahagian ekornya ke tandas tanpa perasaan takut.

Lebih mengujakan apabila si cilik itu tanpa rasa takut terus memandikan haiwan dalam kelompok karnivor itu menggunakan kedua-dua tangannya.

Menurut bapanya, Synhrul Effendi, buaya katak berusia lapan bulan yang diberi nama Ndut dipeliharanya ketika reptilia air masin itu berkepanjangan 15 sentimeter.

Bagaimanapun, reptilia yang menggerunkan itu kini dilihat semakin membesar iaitu sepanjang 137 sentimeter, manakala berat badannya pula mencecah 30 kilogram, lebih berat daripada Rani.

“Sebelum ini saya lihat Rani langsung tidak menunjukkan sebarang minat terhadap mana-mana reptilia.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati Rani langsung tidak menunjukkan perasaan takut apabila pertama kali melihat haiwan tersebut. Malah, dia mula menjinak-jinakkan diri terhadap reptilia tersebut,” jelasnya.

Pencinta haiwan

Menurut Synhrul lagi, apa yang membuatkan dia terkejut apabila anak-anaknya yang lain langsung tidak menunjukkan minat terhadap Ndut.

“Anak-anak lain tidak berani menyentuh Ndut. Tetapi Rani tanpa takut mengusap tangan dari kepala hingga ke bahagian ekor.

“Bukan itu sahaja, Rani malah meletakkan Ndut di sisinya ketika tidur,” jelasnya.

Cerita Synhrul lagi, melihatkan reaksi anaknya itu, dia dapat menggambarkan bahawa Rani merupakan seorang pencinta haiwan.

“Selain buaya, Rani juga mesra dengan haiwan lain. Malah Rani juga ditugaskan untuk berkomunikasi dengan haiwan-haiwan liar lain peliharaan kami sekeluarga.

“Selain buaya, kami turut membela tiga jenis ular, burung nuri dan monyet yang kesemuanya diberikan jiran serta kenalan,” jelasnya.

Bercerita lebih lanjut, menurut Synhrul lagi, Ndut diberikan kepadanya oleh seorang kenalan.

“Pada mulanya saya enggan membela haiwan-haiwan tersebut. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan haiwan tersebut akan mendatangkan bahaya kepada anak.

“Bagaimanapun, selepas mereka mendakwa buaya ini sama seperti haiwan belaan yang lain, saya bersetuju. Percaturan tersebut tidak salah apabila Rani begitu gembira.

“Malah setiap dua minggu sekali, dia akan memberi makanan kepada buaya tersebut setengah kilogram kepala ayam,” jelasnya.

Menurut Synhrul lagi, dia berharap Rani akan terus berani dan sayang terhadap haiwan-haiwan liar tersebut.

Penjaga zoo

Disebabkan itu juga, ibu bapa Rani berharap agar anak perempuan mereka akan menjadi penjaga zoo apabila besar kelak.

Sementara itu wartawan Indonesia, Eko Siswono Toyudho, 37, yang meninjau sendiri di kediaman Rani menyifatkan kanak-kanak tersebut sebagai seorang yang amat berani.

“Rakan-rakannya yang pada mulanya datang bermain dengan Rani mula menjauhkan diri apabila melihat kelibat haiwan tersebut.

Bagaimanapun, Rani tetap setia duduk bermain dengan haiwan kesayangannya itu.

“Rani bermain dengan buaya sama seperti kanak-kanak perempuan lain bermain dengan anak patung.

“Kami berasa agak takut apabila melihat sendiri cara Rani bermain dengan buaya tersebut. Lebih-lebih lagi apabila buaya adalah haiwan yang berbahaya dan lebih berat daripada Rani,” jelasnya.

Rani, kanak-kanak perempuan dari Banten, Indonesia menjadikan reptilia air masin peliharaan bapanya, Ndut, sebagai teman bermain tanpa rasa takut.