Walaupun bergelar anak yatim piatu sejak berusia 11 tahun, beliau sempat menyaksikan kesungguhan bapanya mengajar agama selepas mendapat tauliah daripada Pejabat Kadi Seremban.

Darah sebagai seorang pendidik mengalir dalam diri sehingga membuatkan beliau bercita-cita untuk menjadi seorang ustazah dan guru al-Quran.

“Setelah lulus peperiksaan tahun enam, saya tidak berpeluang menyambung pengajian dalam bidang keagamaan di sekolah agama kerana sistem pendidikan pada ketika itu memerlukan seseorang menyambung persekolahan ke peringkat sekolah menengah manakala mereka yang gagal pula disalurkan ke aliran agama,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Raub, Pahang baru-baru ini.

Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu belajar dalam aliran sekular sebelum menyambung pengajian Diploma Pendidikan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1969.

Selepas tamat pengajian dan mendirikan rumah tangga pada 1972, anak kedua daripada tiga adik-beradik tersebut menetap di Raub sebelum mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Kudin, Raub pada 1973.

Walaupun bergelar seorang guru Bahasa Melayu dan Geografi, minatnya untuk belajar al-Quran tidak pernah terpadam.

Susulan itu, Siti Zainab mula mendalami al-Quran, Qiraat dan tafsir bersama seorang ustaz dari Rembau, Negeri Sembilan, Allahyarham Ustaz Kamaruddin Amri di Masjid Durian Sebatang, Raub pada tahun 1996.

“Selepas tamat talaqqi Musyafahah 30 juzuk al-Quran bagi Imam Asim Riwayat Hafs bersama ustaz berkenaan, saya kemudiannya diamanahkan untuk meneruskan usahanya mengajar al-Quran di masjid tersebut,” ujar ibu kepada enam cahaya mata itu.

Tidak bernoktah di situ, Siti Zainab seterusnya menyambung pengajian Sijil Qiraat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak tahun 2008 hingga kini. Beliau telah lulus pengajian ilmu Qiraat 10 di bawah bimbingan Pensyarah al-Quran dan Qiraat UIAM, Ustaz Mohd. Rahim Jusoh.

Usaha beliau sentiasa mendapat sokongan daripada suami dan anak-anak. Wanita bertubuh kecil namun berperwatakan tegas itu pernah berkata kepada anaknya bahawa beliau mahu menghabiskan masanya dengan berada di pusat pengajian al-Quran walaupun sebagai seorang tukang sapu.

Terdetik di sudut hati beliau untuk berkhidmat dalam bidang agama walaupun sekadar menjadi tukang sapu di tempat belajar dan mengajar al-Quran kerana pada waktu itu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sahaja menyediakan kelas pengajian agama di Raub.

Selepas bersara sebagai Pengetua Kanan SMK Mahmud, Raub pada 2005, beliau yang tidak pernah jemu menyebarkan ilmu telah beralih arah menjadi pengetua pertama Akademi Pengajian Raudhatul Quran (APRQ), Raub sejak penubuhan institusi tersebut pada tahun 2007.

APRQ yang terletak di deretan rumah kedai di Taman Amalina Lestari, Raub adalah cetusan idea tokoh korporat ternama di Raub iaitu Datuk Abdul Salim Abdul Majid dan Siti Zainab sendiri sebagai salah seorang pengasas.

Visi

Dengan visi bersama membina generasi bertakwa ke arah mencapai keredaan Allah di dunia dan akhirat, akademi tersebut berbeza dengan sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) kerana satu-satunya pusat pengajian yang menggabungkan kurikulum Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan asas mengenal al-Quran dan Qiraat.

Kini, akademi yang mempunyai seramai 20 orang guru dan beroperasi melalui tiga sesi pembelajaran iaitu pada waktu pagi, petang dan malam telah mempunyai seramai 419 orang pelajar.

Pendaftaran pelajar akademi berkenaan dibuka sepanjang tahun dan terbuka kepada semua peringkat usia seawal umur 4 hingga 75 tahun.

“APRQ beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat dan memberi pendedahan kepada pembelajaran al-Quran bertajwid serta pendedahan Qiraat 10 kepada pelajar dewasa dengan didokong oleh Persatuan Qiraat Malaysia (PQM).

“Akademi yang bekerjasama dengan Kolej Komuniti, Tabung Haji dan Masjid Tengku Abu Bakar tersebut turut menyediakan kelas percuma kepada bakal haji, guru KAFA dan sesiapa sahaja yang memerlukan bimbingan al-Quran,” jelas beliau.

Beliau yang juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa PQM juga memberitahu, APRQ turut menjalankan tanggungjawab sosial menerusi penganjuran program bermanfaat kepada warga Raub dalam membangunkan modal insan dengan kerjasama agensi awam dan swasta.

Cabaran

Sepanjang mengendalikan APRQ, Siti Zainab tidak menafikan beliau menghadapi beberapa cabaran seperti kos operasi dan lokasi yang terhad selain kekangan dalam menyediakan latihan kepada tenaga pengajar akademi tersebut.

Kekangan tersebut bukan halangan yang mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang kepada masyarakat yang dahagakan ilmu.

Beliau sebaliknya bersyukur kerana dikurniakan kakitangan yang setia dan berkemahiran dan setiap usahanya sentiasa dimudahkan.

Selain sumbangannya sebagai guru al-Quran dan Qiraat, Siti Zainab turut diberi kepercayaan untuk menyemak buku Dabt al-Quran Inovasi Rasm al-Quran bersama guru Qiraatnya, Mohd. Rahim. Beliau juga terlibat dalam penganjuran bengkel, seminar dan penulisan buku anjuran PQM yang mula disertainya sejak tahun 2012.

Menurut wanita yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola itu, al-Quran perlu dimartabatkan kerana mempunyai banyak manfaat termasuk pemberi syafaat, pembela di alam barzakh dan ayat-ayatnya berfungsi sebagai syifa atau penyembuh.

Justeru, beliau yang gemar membaca, melakukan perbincangan dan bermuzakarah berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pengajar al-Quran.

“Seseorang perlu belajar sehingga mendapat keizinan untuk mengajar. Niat yang ikhlas, cara belajar yang sistematik, teknik pembelajaran yang berkesan adalah faktor penting untuk terus menguasai dan menyebar luas ilmu al-Quran kepada masyarakat,” tambahnya.

Bercerita tentang pengalaman manisnya sepanjang berkecimpung dalam bidang pengajian al-Quran, Siti Zainab berkata, dia tidak menyangka berpeluang mengajar al-Quran di Masjidil Haram, Mekah semasa menunaikan ibadah haji pada tahun 1997.

“Saya seorang guru, darah sebagai seorang pendidik itu sentiasa mengalir dalam diri. Jadi, saya tidak boleh melihat jemaah bersembang atau tidak memanfaatkan masa ketika berada di dalam masjid.

“Susulan itu, saya mengambil inisiatif mendekati jemaah dari pelbagai negara termasuk Arab Saudi, China dan Pakistan sebelum mengajar dan membetulkan bacaan al-Quran mereka,” kongsinya.

Tambah Siti Zainab, pengajian al-Quran tiada noktah dan perlu diteruskan sehingga akhir hayat.

Katanya, setiap Muslim mesti menjadikan al-Quran sebagai sumber motivasi kehidupan yang hakiki kerana hanya panduan dan petunjuk daripada al-Quran sahajalah dapat menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Kerjaya sebagai guru aliran sekular bukan halangan kepada Siti Zainab untuk mendalami ilmu al-Quran dan Qiraat sebelum bergelar guru al-Quran.