Marcos Rodríguez Pantoja ­dibela oleh serigala selepas dia terkandas di kawasan pergunungan Sierra Morena di Sepanyol semasa berusia tujuh tahun.

Dia ditemui ketika berusia 19 tahun berlari-lari dalam keadaan separuh bogel serta berkaki ayam dan hanya dapat berkomunikasi dengan cara menderam seperti serigala sebelum dibawa kembali ke tamadun manusia.

Lelaki itu yang kini berusia 72 tahun menetap di sebuah rumah kecil di Rante, Galicia, Sepanyol dan menyara hidupnya dengan wang pencen yang kecil.

Menurut Pantoja, sejak diheret keluar dari gua yang dipanggilnya rumah, hidupnya merudum setelah dia tidak dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan cara hidup manusia.

Dia mendakwa, telah diperdaya, didera serta dieksploitasi oleh para majikan di industri perhotelan dan pembinaan selain tidak diberi sebarang upah.

Dibela serigala

Pantoja yang dikenali sebagai Mowgli Sepanyol, berkata, hari-hari paling bahagianya ialah semasa menetap bersama kelawar, ular dan rusa di dalam gua.

Pantoja dihantar ke kawasan pergunungan itu untuk menjadi penggembala kambing setelah ibunya meninggal dunia ketika melahirkannya. Ayah lelaki itu melarikan diri bersama wanita lain ketika dia berusia tiga tahun.

Seorang lelaki tua kemudian melatih Pantoja untuk menggantikannya sebagai penggembala kambing dengan mengajarnya cara-cara menghidupkan api dan membuat perkakasan. Lelaki itu bagaimanapun sama ada meninggal dunia atau pergi secara tiba-tiba dari situ meninggalkan kanak-kanak kecil itu sendirian.

Dia kemudiannya meneruskan hidup dengan memerhati jenis buah beri dan tumbuh-tumbuhan yang dimakan haiwan sebelum akhirnya dibela oleh seekor ibu serigala.

Menceritakan semula detik berkenaan, Pantoja berkata, dia cuba mencuri daging yang diberi ibu serigala itu pada anak-anaknya, namun haiwan berkenaan mende­ram menyebabkan dia mengundurkan diri.

“Selepas memberi anaknya makan, ibu serigala itu melemparkan saya daging. Saya tidak mahu menyentuhnya kerana fikir dia akan menyerang saya, tetapi dia menolak daging itu dengan hidungnya.

“Saya mengambil daging berke­naan dan memakannya. Ibu serigala itu kemudian menjilat saya dan sejak itu saya jadi sebahagian daripada keluarganya,” cerita Pantoja.

Tidak diterima serigala

Menurut Pantoja, kembali ke tamadun manusia adalah pengalaman paling menakutkan dalam hidupnya apabila ditempatkan di sebuah rumah anak yatim dan di­ajar cara-cara berjalan lurus dan makan di atas meja.

Perkara yang paling ditakutinya ialah bunyi bising suara orang ramai, bayang-bayang orang berjalan berhampiran tingkapnya serta menyeberangi jalan raya.

Dia juga enggan tidur di atas katil sebaliknya tidur di atas lantai.

Pantoja juga cuba untuk kembali ke kawasan pergunungan itu, namun mendapati ia adalah tempat yang sangat berbeza daripada apa yang diingatinya.

Gua tempat tinggalnya dahulu telah bertukar menjadi kabin yang dikelilingi pagar elektrik.

Serigala-serigala di situ juga tidak menerimanya semula seperti adik-beradik mereka dan menghindarinya.

“Terdapat serigala yang apabila saya panggil memberikan tindak balas, tetapi mereka tidak akan mendekati saya. Saya berbau se­perti manusia,” katanya.

Pantoja yang dibesarkan oleh serigala selama 
12 tahun tidak gembira berada bersama manusia.