Mengungkap semula kesilapannya, Izzati mengakui perkahwinan yang dibina selama lima tahun itu adalah atas dasar cinta, namun gara-gara tewas mengawal hawa nafsu, dia akhirnya terjebak dengan pujukan lelaki lain dengan hanya bermodalkan janji-janji manis.

Selama tempoh lima tahun perkahwinannya dengan Adam (bukan nama sebenar), 35, kehidupan rumah tangga mereka bahagia sama seperti mana-mana pasangan suami isteri yang lain.

Kehadiran seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia empat tahun dalam keluarga menjadi pelengkap dalam kehidupannya walaupun mereka hidup dalam keadaan sederhana.

Disenangi

Menurut Izzati, selepas anak tunggalnya itu memasuki usia tiga tahun, dia mengambil keputusan untuk kembali bekerja dengan alasan bagi membantu membaiki taraf ekonomi keluarga.

Izzati sebelum ini pernah bekerja sebagai perunding kewangan selama empat tahun di salah sebuah bank di Kuala Lumpur sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas disahkan hamil.

Tanpa halangan, Izzati telah mendapat restu daripada Adam untuk bekerja dan menghantar anaknya untuk dijaga pengasuh yang tinggal berhampiran dengan tempat tinggal mereka.

“Pada awalnya saya berbelah bahagi untuk bekerja kerana memikirkan anak yang masih kecil, namun memikirkan peluang yang ada, rasanya tidak salah untuk saya sama-sama membantu suami menambah pendapatan keluarga,” ujar wanita berasal dari selatan tanah air itu.

Berbekalkan pengalaman dan kelulusan peringkat ijazah dalam bidang kewangan, Izzati telah mendapat tawaran kerja sebagai juruaudit di salah sebuah syarikat swasta.

Menurut Izzati, dia begitu selesa dengan suasana dan persekitaran di tempat kerjanya kerana dikelilingi rakan-rakan yang mesra dan peramah.

Di tempat kerja, Izzati juga sangat disenangi, malah dia tidak berasa kekok untuk bersosial walaupun telah lama meninggalkan dunia pekerjaan.

Pada masa yang sama, di tempat kerja Izzati, terdapat seorang lelaki yang merupakan seorang duda tanpa anak. Lelaki yang sebaya dengannya itu telah menaruh hati padanya.

Bermula dengan hubungan antara rakan sekerja, lelaki itu akhirnya berani meluahkan perasaan cintanya terhadap Izzati.

“Entah kenapa, saya seakan-akan seperti dipukau apabila turut mempunyai perasaan yang sama terhadap duda tersebut,” ujarnya.

Izzati mengakui, lelaki tersebut sangat baik dan sering mengambil berat tentang dirinya.

Sejak itu, Izzati mula berubah apabila sering pulang lewat ke rumah dengan memberi alasan sibuk dengan pelbagai tugasan di pejabat.

Semasa di rumah, wanita itu juga sibuk melayan kiriman mesej WhatsApp daripada lelaki itu sehingga akhirnya Adam sedar akan perkara tersebut.

“Bohong kalau saya katakan tidak timbul rasa bersalah memandangkan status saya sebagai isteri orang.

“Tapi entahlah, saya seperti buta mata dan hati sehingga tergamak menduakan suami hanya kerana lelaki duda itu,” kata Izzati.

Terbongkar

Entah bagaimana, kecurangan Izzati seperti dapat dihidu oleh Adam apabila dalam diam lelaki itu menyiasat sendiri kecurangan yang dilakukan oleh isterinya.

Menurut Izzati, Adam pernah melihat dia sedang menikmati makan tengah hari bersama-sama duda tersebut.

Tanpa banyak soal, Adam terus bertanyakan perkara itu ketika di rumah, namun Izzati memberitahu bahawa hubungan mereka cuma sekadar rakan sekerja.

Bagaimanapun, naluri seorang suami kuat. Selang beberapa minggu kemudian, segala kecurangan yang dilakukan terhadap suaminya terbongkar apabila duda itu sendiri menemui Adam dan menyatakan hubungan sebenar antara dia dengan Izzati.

Tidak cepat melatah dengan apa yang berlaku, Adam telah meminta Izzati untuk membuat pengakuan dan wanita itu akhirnya mengaku akan perkara sebenar.

Kesal dengan apa yang terjadi, Izzati akhirnya mengakui kesilapan yang dia lakukan dan telah memohon maaf kepada Adam atas kecurangan yang telah dia lakukan.

“Gara-gara perkara bodoh itu, rumah tangga saya hampir musnah, namun saya bersyukur kerana Adam sudi memaafkan saya meskipun saya tahu hatinya kecewa,” jelas Izzati.

Selepas apa yang berlaku, Izzati telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan berjanji tidak akan lagi menduakan suaminya demi keluarga yang disayangi.

Rumah tangga Izzati dan Adam hampir berantakan gara-gara kecurangan sang isteri terhadap suaminya.