Olahan idea yang ditonjolkan oleh pengkarya dalam eksperimen seni yang ditonjolkan selalunya mendapat hasil yang begitu menga­gumkan.

Seorang artis seni dari Jepun yang dikenali sebagai Mai Hirashima telah menghasilkan satu teknik lukisan yang indah hanya dengan menggunakan air garam sebagai bahan utama.

Selain digunakan sebagai penambah rasa di dalam makanan, garam juga sebenarnya boleh digunakan untuk menghasilkan lukisan dengan hasil yang begitu me­ngagumkan.

Untuk menghasilkan lukisan unik itu, Hirashima hanya menggunakan garam biasa yang dilarutkan di dalam air.

Selepas campuran itu sebati, Hirashima akan menggunakan berus kecil yang dicelup ke dalam larutan air garam itu dan melakar lukisan yang diinginkan di atas sehelai kertas berwarna hitam dan dibiarkan sehingga menjadi ke­ring.

Bagi menghasilkan hasil seni yang kecil atau memerlukan tumpuan yang lebih, sebatang buluh halus akan digunakan terutamanya bagi membentuk perincian yang sukar untuk dilukis di atas kertas hitam.

Idea

Selepas kering, air larutan ga­ram itu akan menghasilkan butiran seperti kristal mengikut bentuk lakaran yang dilukis.

“Ia merupakan satu proses yang agak rumit dan membosankan, namun hasilnya begitu indah untuk dinilai,” ujar Hirashima di dalam laman blog miliknya, Hirashimy.

Menurut gadis muda itu, dia mendapat idea untuk berkarya menggunakan air garam ketika termenung dan memikirkan cara bagaimana untuk mengelakkan pembaziran sewaktu memasak terutama ketika menggunakan larutan air garam.

Cerita Hirashima, dia banyak menggunakan air garam untuk mengawet sesuatu makanan dan akan membuang air garam yang tidak digunakan begitu sahaja.

Sedar ia merupakan satu bentuk pembaziran, Hirashima mendapat idea untuk membuat lukisan menggunakan air garam selepas mengetahui sifat air garam yang akan berubah menjadi butiran kristal selepas dijemur.

“Selain digunakan sebagai rencah di dalam makanan, ternyata garam sebenarnya juga boleh menjadi hasil seni menarik dan cantik,” katanya.

Hasil lukisan air garam pertama yang dihasilkan oleh Hirashima adalah lukisan yang memaparkan bentuk terumbu karang.

Bagaimanapun, hasil yang diperoleh kurang menjadi kerana larutan air garam yang digunakan didakwa terlalu cair.

Dalam satu sesi temu bual dengan portal terkenal Jepun, Irorio, Hirashima memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan lukisan itu tercetus ketika dia sedang memasak ikan yang direndam di dalam air garam dan mendapati terdapat ketulan kristal terbentuk di atas permukaan ikan tersebut.

Pada mulanya, Hirashima telah menzahirkan karyanya di atas beberapa jenis permukaan seperti kertas lukisan biasa, kayu, kain dan kaca.

Bagaimanapun, dia mendapati, lukisan yang dibuat di atas kertas berwarna hitam lebih menonjolkan hasil yang lebih menarik dan berkilauan.

Bagi memperoleh hasil yang lebih memberangsangkan, lakaran yang dilukis di atas kertas itu perlu diulang menjadi beberapa lapisan agar butiran kristal garam yang terhasil lebih banyak dan kelihatan ketara.

Mudah rosak

Bagaimanapun, terdapat kekurangan pada hasil seni yang dihasilkan itu. Menurut Hirashima, lukisan air garam yang dibuat itu selalunya tidak dapat bertahan lama kerana sifatnya yang rapuh dan mudah rosak jika keadaan persekitaran lembap.

“Lukisan ini paling mudah rosak jika terdedah pada kelembapan. Sebab itulah saya tidak akan berkarya semasa musim hujan kerana ia akan merosakkan lukisan saya,” tutur Hirashima.

Semasa proses pengeringan juga adakalanya memberi masalah kepada Hirashima jika suhu terlalu tinggi kerana butiran kristal garam yang terhasil akan menjadi terlalu rapuh dan mudah berta­buran.

Untuk menghasilkan sesebuah lukisan, Hirashima akan mengambil masa antara 12 jam hingga se­bu­­lan bergantung pada bentuk dan kesukaran sesuatu lukisan itu.

Pada masa sama, Hirashima juga memberitahu, lukisan air garam yang dia hasilkan juga telah menarik minat beberapa orang pembeli yang terdiri daripada rakan-rakannya sendiri.

Bagaimanapun, dia kini bercadang untuk membuka jualan kepada orang ramai yang berminat untuk membeli lukisan unik yang dihasilkan itu dengan harga bermula daripada 4,500 yen (RM163.80) bergantung pada saiz dan bentuk lukisan tersebut.

Namun, kata Hirashima, sifat lukisan itu yang sukar untuk dijaga membuatkan dia berasa agak sukar untuk menjualnya kepada orang ramai.

Orang ramai yang ingin melihat kerja seni yang dihasilkan oleh Hirashima boleh berkunjung ke laman Instagram miliknya iaitu mai_hirashima.

Seorang artis dari Jepun hasilkan lukisan indah daripada larutan air garam yang dilukis pada kertas hitam dengan hasil mempesonakan.