Mungkin apa yang dilakukan oleh pelajar tersebut yang dikenali sebagai Li Zheng amat menarik dan kreatif bagi sesetengah pihak yang menganggapnya sebagai seni mengagumkan.

Bagaimanapun, tidak bagi sebahagian besar masyarakat dunia yang mengecam tindakan gadis itu yang dianggap kejam.

Mana tidaknya, Li Zheng telah mencetuskan perdebatan hebat dalam laman sosial apabila menggunakan sayap lebih daripada 500 ekor kupu-kupu untuk menghasilkan sebuah karya lukisan yang melambangkan kelahiran semula.

Li Zheng merupakan pelajar tahun empat Jurusan Seni di Universiti Quanzhou Normal, Fujian, China telah mencipta beberapa karya seni terdiri daripada sayap kupu-kupu yang disusun dan membentuk lukisan dan dimasukkan ke dalam bingkai gambar.

Tindakan tersebut dilakukan sebagai tugasan projek untuk pelajar tahun akhir selepas dia diarahkan oleh pensyarah untuk mencipta karya seni yang hebat menggunakan bahan-bahan unik.

“Saya terfikir untuk menghasilkan lukisan karyawan seni terkenal, Vincent Van Gogh, namun tidak mempunyai idea untuk menjadikannya sebagai sebuah lukisan kreatif,” tutur Li Zheng.

Kelahiran semula

Selepas melakukan beberapa kajian, Li Zheng terbaca sebuah artikel tentang karya seorang artis menggunakan sayap kupu-kupu sebagai bahan untuk berkarya.

Pada masa sama, kajian yang dilakukannya turut mendapati bahawa terdapat sesetengah budaya masyarakat percaya tentang simbol kupu-kupu yang membawa maksud kelahiran semula.

Mengambil inspirasi tersebut, Li Zheng akhirnya bersetuju untuk menjadikan sayap kupu-kupu sebagai bahan utamanya untuk berkarya walaupun terpaksa mengorbankan lebih 500 ekor serangga itu semata-mata untuk mendapatkan sayapnya.

Hasilnya, Li Zheng berjaya menyiapkan sebuah lukisan potret Vincent Van Gogh serta sebuah lagi lukisan yang pernah dihasilkan oleh tokoh seni itu.

Gara-gara tindakan tersebut, Li Zheng telah dikecam teruk oleh banyak pihak kerana dianggap melakukan kezaliman terhadap serangga.

Gadis itu bagaimanapun tetap mempertahankan dirinya dan mendakwa apa yang dia lakukan itu tidak salah kerana menganggap kupu-kupu adalah serangga yang membawa simbol kelahiran semula.

“Dia (kupu-kupu) mungkin mati di tangan saya, tetapi sebenarnya telah dilahirkan semula sebagai sebuah karya seni yang hebat,” tutur Li Zheng mempertahankan dirinya.

Li Zheng bagaimanapun tidak hanya bergerak sendirian apabila dia turut mempunyai sekumpulan penyokong terutama dalam kalangan karyawan seni yang memuji dan mengagumi hasil lukisan yang telah dilakukannya.

Seorang pelajar seni dari China dikecam hebat apabila menggunakan sayap lebih 500 ekor kupu-kupu untuk menghasilkan karya lukisan unik sebagai tugasan projek tahun akhir di universitinya.