Sesekali, Zoe Lucas tunduk untuk mengambil sampah di atas pasir sebelum membeleknya selama beberapa minit.

Selepas itu, dia akan mencatat nota dalam buku kecilnya sebelum memasukkan sampah tersebut ke dalam beg plastik besar.

Itulah rutin harian Lucas selama lebih empat dekad tinggal di salah sebuah pulau terpencil di Lautan Atlantik Utara.

Menariknya, anak kelahiran Halifax, Kanada itu merupakan satu-satunya manusia yang tinggal secara tetap di pulau tersebut.

Pulau Sable adalah sebuah pulau kecil yang berbentuk bulan sabit dengan panjang 26 batu (4.2 kilometer).

Pulau tersebut merupakan habitat kepada lebih 400 ekor kuda, 300,000 ekor anjing laut dan 350 spesies burung.

Lucas yang merupakan seorang pencinta alam mendedahkan, dia telah menyesuaikan diri dengan kehidupan di pulau itu.

Jelasnya, sepanjang tinggal di Pulau Sable, dia tidak pernah berasa sunyi kerana hidupnya ditemani hidupan liar.

Katanya, keperluan utamanya di pulau tersebut hanyalah buku nota untuk mencatat dan teropong bagi melihat hidupan liar di tepi pantai.

“Kadang-kadang terdapat beberapa perkara aneh berjaya dirakam oleh lensa kamera saya.

Salah satunya ialah kaki palsu terdampar di tepi pantai,” katanya sambil ketawa.

Jatuh cinta

Mengimbau perjalanannya ke pulau itu, Lucas menjejakkan kakinya kali pertama di Pulau Sable pada tahun 1971 pada umurnya 21 tahun.

Ketika itu, dia masih menuntut di sebuah kolej dalam jurusan seni pembuatan emas. Sewaktu pertama kali melawat pulau tersebut dia telah jatuh cinta dengan kuda-kuda liar di situ.

“Saya datang ke sini secara tidak sengaja. Saya datang ke pulau ini semata-mata untuk melihat kuda.

“Pada masa sama saya bekerja sebagai tukang masak dan pembantu penyelidikan di pulau ini,” katanya.

Pulau yang hanya boleh diakses dengan bot dan kapal terbang itu merupakan habitat kepada beratus-ratus ekor kuda liar.

Kuda-kuda tersebut dipercayai dibawa ke Pulau Sable pada awal abad ke-18 bagi membantu kerja-kerja pertanian. Pada masa sama, kuda-kuda tersebut turut dilatih untuk membantu membawa pesakit ke stesen kesihatan bagi mendapatkan rawatan.

“Di sini, anda berpeluang melihat kuda liar secara lebih dekat. Salah satu perkara menarik yang saya lakukan di sini adalah memerhati pergerakan kuda.

“Jadi, saya dapat mengetahui keadaan kuda-kuda ini sama ada ia sakit, cedera atau bunting,” katanya.

Menurut Lucas, salah satu perkara yang paling menyeronokkan di Pulau Sable adalah berjalan di tepi pantai. Jelasnya, sewaktu berjalan di pantai, dia dapat melihat camar berterbangan, bangkai paus dan sampah-sampah.

Ada ketikanya dia akan naik ke atas bukit bagi mengumpul maklumat sebelum mencatatkannya dalam buku nota.

“Hampir semua kerja yang saya lakukan tidak dibayar. Ia dilakukan atas dasar sukarela disebabkan minat saya terhadap alam semula jadi,” katanya.

Kabus

Pulau Sable disifatkan sebagai berbahaya buat kapal kerana ia akan diselubungi kabus selama 125 hari dalam setahun.

Pulau itu juga menjadi kubur kepada lebih 300 kapal rosak. Lebih 36 tahun lalu, satu kemalangan antara kapal telah berlaku di situ.

Menurut Lucas, walaupun suasana di pulau itu dianggap tidak sesuai dihuni manusia, namun ia tidak menghalangnya untuk tinggal di situ.

Katanya, dia telah mendirikan kem di salah satu sudut pulau. Tapak kem tersebut menempatkan bangunan stesen penyelamat terbengkalai.

Hari ini, Lucas tinggal di sebuah rumah kayu yang terletak di kawasan bukit berpasir.

Rumah berkenaan dibina oleh Perkhidmatan Meteorologi Kanada pada tahun 1940-an.

“Di sini, tiada apa-apa termasuk sumber makanan. Jadi, semua barang keperluan saya dibawa dari tanah besar.

“Setiap dua minggu, sebuah pesawat akan terbang ke sini membawa barang keperluan bagi membolehkan saya meneruskan hidup,” katanya.

Pulau Sable diisytiharkan sebagai Rizab Taman Negara pada 20 Jun 2013. Ia hasil usaha dan rundingan oleh bekas Menteri Alam Sekitar Kanada, Jim Prentice.

Sepanjang tahun, sepasukan kakitangan akan menjelajah pulau itu. Ini sedikit sebanyak dapat mengubat kesunyian Lucas.

Salah seorang kakitangan Rizab Taman Negara, Greg Stroud memaklumkan, Lucas merupakan orang paling dihormati di pulau tersebut.

Luar biasa

Penyelaras operasi itu berkata, Lucas adalah seorang wanita luar biasa kerana mengabdikan hidupnya kepada Pulau Sable.

“Dia hanya kembali ke tempat kelahirannya di Halifax sekali-sekala. Tetapi, di sini adalah rumahnya yang sebenar.

“Dia bekerja rapat dengan Rizab Taman Negara. Jadi, kami sering bekerjasama dengannya untuk menjayakan sesuatu projek,” katanya.

Stroud turut memberitahu, suhu di pulau tersebut tidak terlalu ekstrem iaitu purata sekitar 18.6 darjah Celsius setahun.

Tambahnya, sifat Lucas yang pendiam membolehkannya tinggal secara berseorangan di pulau tersebut dalam tempoh lama.

Sewaktu lawatan syarikat Adventure Canada ke Pulau Sable baru-baru ini, Lucas ada menceritakan mengenai beberapa kajian sains yang dilakukannya.

Ujar Stroud, Lucas menjejaki populasi kuda liar, menerbitkan penyelidikan tentang anjing laut dan mengkaji sampah laut.

Katanya, wanita berambut putih itu juga bertanggungjawab mengumpul spesimen penyelidikan untuk Muzium Sejarah Alam Nova Scotia.

“Dia pernah bekerja kontrak selama 15 tahun dengan industri minyak dan gas di luar pesisir pantai bagi melihat kesan alam sekitar.

“Lucas merupakan seorang ahli Pertubuhan Sahabat Pulau Sable yang mengumpul dana bagi mendidik masyarakat mengenai alam semula jadi,” jelasnya.

Selama bertahun-tahun, Lucas mengumpul tengkorak kuda. Ia bagi membantu memudahkan para saintis memahami cara kuda menyesuaikan diri dengan landskap di situ.

Dia turut membantu petugas di stesen cuaca serta mengutip sampah setiap hari bagi mengesan kadar pencemaran lautan.