Seramai 41 orang peserta yang mengikuti kelas kaunseling tersebut kelihatan tekun, seolah-olah sedang berada dalam dunia mereka sendiri apabila diberi aktiviti untuk menyiapkan tugasan menghasilkan apa sahaja lukisan yang menggunakan sekeping kertas putih dan juga pensel warna.

Hasil lukisan yang diterjemahkan golongan ibu tunggal di Sabak Bernam, Selangor itu mungkin kelihatan biasa pada mata kasar, namun ia sebenarnya sarat dengan penceritaan sendiri yang mungkin hanya difahami oleh pelukis tersebut.

Lukisan tersebut yang juga merupakan satu bentuk terapi buat golongan ibu tunggal merupakan sebahagian daripada modul dalam Projek Pemerkasaan Ibu Tunggal (PKIT) antara Fakulti Pendidikan, UM dan Majlis Agama Islam Selangor.

Selaku ketua projek yang juga merangkap ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Kaunseling Malaysia, Rafidah memberitahu, penghasilan sesuatu hasil seni merupakan medium yang digunakan kaunselor untuk menyelami isi hati seseorang.

“Projek ini terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama melibatkan golongan remaja bermasalah, manakala fasa melibatkan komuniti ibu tunggal ini pula merupakan fasa kedua. Bagi fasa ketiga pula, ia akan melibatkan golongan kelainan upaya di sekitar Bangi.

“Bagi fasa kedua, kami memilih ibu tunggal kerana golongan wanita sebegini kebanyakannya berdepan tekanan emosi atas pelbagai sebab contohnya perkahwinan yang tidak membahagiakan dan sukar untuk meluah cerita melalui sesi kaunseling biasa.

“Oleh itu, pendekatan dengan mengajak mereka menghasilkan sesuatu hasil seni secara berkelompok sebenarnya lebih mudah. Ia secara tidak langsung lebih berkesan sebagai salah satu bentuk sesi kaunseling,” jelas beliau ketika ditemui kru Panorama.

Sarat mesej

Tambah Rafidah, jika dilihat, lukisan yang dihasilkan nampak biasa namun sarat dengan ekspresi emosi yang cuba ditonjolkan oleh seseorang.

Emosi seseorang sama ada positif atau negatif boleh dibaca menerusi pemilihan imej yang dilukis dan juga warna lukisan tersebut.

Tambah beliau, medium menghasilkan sesuatu hasil seni sebagai terapi kaunseling tidak hanya terhad kepada lukisan.

Ia juga melibatkan hasil seni yang lain seperti tanah liat dan kolaj.

Terapi seni mempunyai banyak kelebihan, antaranya bersifat lebih santai dan juga mengubah satu emosi menyakitkan itu kepada sesuatu yang menarik dan kreatif.

“Contohnya, pemilihan warna terang seperti merah mungkin merupakan emosi marah yang sedang dirasakan oleh seseorang, lalu ia diterjemahkan dalam bentuk lukisan,” jelas Dr. Rafidah.

Menurut seorang ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Ira, 34, semasa kelas modul PKIT yang dijalankan, dia memilih untuk melukis gambar sebuah rumah.

Cerminan harapan

“Rumah ini membawa maksud sebuah keluarga bahagia. Ia juga membawa maksud tentang harapan dan impian saya yang mahu memiliki sebuah keluarga bahagia,” jelasnya.

Tidak lokek berkongsi, Ira juga memberitahu, modul terapi seni yang digunakan pihak UM sememangnya bersifat santai, justeru membuatkan dia sudi berkongsi masalah yang dihadapi.

Dalam pada itu, Rafidah berkata, jangan sesekali ambil mudah luahan artistik golongan yang mempunyai masalah emosi kerana ia merupakan medium mereka meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Selepas mereka diberi kebebasan melukis, dekati individu ini dan tanya mereka tentang lukisan tersebut.

“Pendekatan yang sering dibuat oleh pakar kaunseling adalah dengan memulakan komunikasi tentang hasil seni tersebut dan menunggu respons klien.

“Melalui respons yang diberikan, pakar kaunseling boleh mengagak atau membuat tafsiran apa yang terbuku dalam hati seseorang, seterusnya masalah tersebut akan dikupas secara berperingkat,” tutur Rafidah.

Hasil seni seperti lukisan digunakan sebagai alat perantaraan bagi proses pemuliharaan tingkah laku dan emosi seseorang.

Lebih berkesan

Jelas Rafidah lagi, terapi seni yang dijalankan secara berperingkat juga semestinya akan menjadikan seseorang individu itu memberikan komitmen yang berterusan sepanjang tempoh kaunseling pemulihan.

Sama seperti muzik, seni juga merupakan satu medium lebih santai, seolah-olah menjadi ‘pelekat’ membolehkan peserta terus memberikan kerjasama.

“Aktiviti yang santai dan menyeronokkan sudah tentu menjadikan seseorang mahu menyertainya dengan lebih kerap. Justeru, tidak keterlaluan jika saya katakan terapi seni sebegini lebih berkesan dalam pemulihan emosi seseorang.

Bagi sesetengah individu, trauma psikologi amat sukar untuk diungkapkan dan individu yang terkesan dengan satu pengalaman menyakitkan sukar untuk mengikuti satu sesi kaunseling biasa dan menceritakan apa yang terbuku di hati.

Bagi Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad Awal, setiap individu perlu lebih berterus terang sekiranya sedang berdepan dengan tekanan emosi.

“Mana-mana individu tidak kiralah ibu tunggal atau sesiapa pun perlu sedar dan mengaku sekiranya berdepan masalah tekanan emosi. Selepas itu, mereka perlulah berjumpa serta mendapatkan khidmat kaunseling bagi proses pemulihan.

“Hal ini bagi membolehkan tekanan tersebut dihadapi dan diselesaikan dengan cara yang lebih rasional,” ujarnya.

Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor menggunakan modul terapi seni untuk mengurangkan tekanan emosi yang dihadapi golongan ibu tunggal.