Ia merupakan satu keadaan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada penghidapnya kerana memakan sesuatu yang bukan makanan seperti besi dan kertas.

Salah seorang individu yang cukup terkenal kerana kegilaannya memakan besi ialah Michel Lotito.

Lotito menjadi fenomena sehinggalah kematiannya pada tahun 2007.

Terkenal dengan jolokan Mr. Eat All, lelaki yang dilahirkan di Grenoble, Perancis pada tahun 1950 itu telah makan semua baha­gian sebuah pesawat Cessna 150.

Memetik laporan laman web cerita-cerita pelik Ripleys, Lotito mula ketagih memakan besi sejak dia berusia sembilan tahun.

Ketika itu, Lotito sedang minum air dari sebiji gelas dan gelas tersebut tiba-tiba pecah.

Serpihan kaca dari gelas tersebut telah termasuk ke dalam mulut Lotito dan dia kemudian mengunyahnya sebelum menelan serpihan tersebut.

Perut tebal

Ahli keluarganya yang terkejut dengan kejadian tersebut terus membawa Lotito berjumpa dengan doktor kerana risau sekiranya serpihan kaca itu akan mencederakan perut Lotito.

“Bahagian perut saya langsung tidak berasa sakit selepas mene­lan serpihan kaca itu,” ujarnya.

Doktor kemudian mengesahkan bahawa lapisan pada usus Lotito amat tebal, menyebabkan perutnya tidak cedera biarpun selepas mengunyah dan menelan serpihan kaca tajam.

Bermula daripada insiden itu, Lotito kemudian menjadi ketagih untuk terus memakan benda-benda aneh seperti kaca dan besi.

Dia mula memakan besi basikal dan mendakwa rasanya enak.

Begitu pun, untuk memastikan basikal tersebut mudah untuk ditelan, Lotito terlebih dahulu akan menggigit besi-besi basikal kepada saiz yang lebih kecil bagi memudahkan ia dimasukkan ke dalam mulut.

Lotito mula menjadi terkenal apabila mendakwa telah memakan 18 buah basikal, tujuh biji televisyen, dua buah katil, 15 troli pasar raya, sebuah komputer, sebuah keranda, enam pasang batang ski dan enam buah lampu candelier.

Kegilaannya terhadap makanan-makanan pelik menjadi semakin teruk apabila dia meningkat dewasa.

Begitu pun, Lotito mula menjadi fenomena kerana telah menelan sebuah pesawat Cessna 150 pada tahun 1978.

Makanan pelik

Memandangkan bahagian pesawat tersebut besar-besar belaka, Lotito mengambil masa dua tahun untuk menghabiskan ‘makanannya’ itu.

Kegilaannya memakan besi dan kaca bagaimanapun langsung tidak menyebabkan kemudaratan pada Lotito kerana jangka hayat lelaki tersebut agak panjang.

Dia meninggal dunia pada tahun 2007 semasa berusia 57 tahun. Sebab kematiannya pula tiada kaitan dengan tabiat pemakanannya kerana Lotito meninggal dunia akibat serangan jantung.

Biarpun Lotito tidak mati akibat kegilaannya memakan kaca dan besi, objek-objek tersebut mempunyai keburukannya tersendiri dan boleh menjadi racun terhadap tubuh manusia.

Michel Lotito terkenal dengan jolokan Mr. Eat It All kerana makan semua bahagian yang ada pada sebuah pesawat Cessna 150.