Tujuannya pada hari itu adalah untuk memancing udang di Pulau Aman.

"Sebelum ini, saya pernah datang ke Pulau Aman untuk memancing ikan jenahak dan senangin. Ia satu pengalaman yang menyeronokkan kerana pulau ini merupakan lubuk spesies ikan-ikan berkenaan.

"Kali ini, saya teruja untuk memancing udang kerana rakan-rakan memaklumkan pulau ini juga kaya dengan hidupan laut itu," ujarnya yang menetap di Padang Serai, Kulim, Kedah.

Soi Seng memandu selama hampir satu jam untuk tiba ke Jeti Batu Musang, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan yang menempatkan bot untuk ke Kampung Pulau Aman atau lebih dikenali sebagai Pulau Aman dalam kalangan penduduk setempat.

Ternyata, selepas beberapa jam mempertaruhkan umpan, Soi Seng terpaksa akur bahawa rezeki tidak berpihak kepadanya.

"Saya percaya sekarang bukan musim memancing udang kerana hari panas terik. Selalunya udang lebih banyak pada musim hujan iaitu sekitar bulan September dan Oktober kerana air laut tidak begitu masin," katanya.

Dahulu Pulau Aman terkenal sebagai lubuk tangkapan udang geragau dan lipan sebelum ekosistem laut terjejas teruk selepas bencana tsunami pada tahun 2004.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Pulau Aman, Sanusi Ismail, selain terkenal sebagai lokasi memancing, kampung berkenaan mempunyai pelbagai tarikan pelancongan, lokasi bersejarah dan makanan seperti mi udang serta kuih tradisional.

"Pulau Aman juga sinonim dengan tarikan pokok sukun tertua yang ditanam pada tahun 1890 dan ternakan ikan sangkar dan kerang," katanya yang memberitahu majoriti penduduk bekerja sebagai nelayan dan sebahagian kecil adalah peniaga dan pengusaha bot.

"Bilangan penduduk di Pulau Aman ketika ini ialah kira-kira 260 orang merangkumi 50 buah keluarga," jelasnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sejarah


Mardi telah mengiktiraf pokok sukun ini yang ditanam oleh seorang guru agama pada tahun 1890 sebagai pokok sukun tertua di Malaysia.

Menyingkap lanjut, Pulau Aman merupakan sebuah kepulauan kecil di Pulau Pinang selain Pulau Jerejak dan Pulau Gedung. Pulau Aman satu-satunya pulau yang mempunyai penghuni walaupun 95 peratus daripada keluasan keseluruhan pulau masih diselaputi hutan.

Kampung berkeluasan 72.8 hektar itu terletak kira-kira 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai dan lapan kilometer dari Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Mengikut cerita lisan penduduk tempatan, Pulau Aman mula diterokai oleh keturunan raja Kedah pada tahun 1783 dan menjadi tempat perlindungan selepas tercetusnya peperangan antara Kedah dan Siam.

Kuih tradisional



Mahani menyambung legasi perusahaan kuih tradisional daripada ibunya sejak tahun 1992.

Pulau tersebut boleh diakses secara berjalan kaki, berbasikal atau menaiki motosikal.

Tambah Sanusi, Pulau Aman juga mempunyai tinggalan sejarah penjajah British. Buktinya, terdapat gedung simpanan peluru di Pulau Gedung dan Telaga Emas yang pernah digali pihak penjajah itu.

"Pada tahun 1990-an, terdapat sebilangan nelayan yang mengusahakan bot untuk membawa pelancong melawat gedung peluru, Gua Lanun dan taman paya bakau di Pulau Gedung.

"Bagaimanapun, akibat kekurangan dana, perkhidmatan itu terpaksa dihentikan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mahani Abdul, 68, yang menjual kuih tradisional seperti kuih kapit, kuih karas, kuih loyang dan kuih bangkit turut gembira apabila perniagaannya itu mendapat sambutan baik daripada para pelanggan terutamanya pelancong.

"Proses penghasilan kuih dijalankan secara tradisional sepenuhnya dan menggunakan resipi asal tinggalan ibu. Saya gembira apabila pelanggan terutama golongan muda dapat menikmati serta menghargai rasa asli kuih tradisional masyarakat Melayu ini," akui ibu kepada tiga orang anak dan nenek kepada sembilan orang cucu itu.

Dia yang juga Pengerusi Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) Pulau Aman mengusahakan perniagaan yang dikenali sebagai Warisan Bonda itu dengan dibantu beberapa orang anaknya.

Aktiviti



AKTIVITI memancing antara tarikan yang terdapat di Pulau Aman. - Gambar hiasan

Selain itu, Mahani yang turut menyandang jawatan penyelaras projek inap desa dan kampungstay di Pulau Aman memberitahu, Pulau Aman sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara dek tarikan makanan laut segar, lokasi memancing dan percutian santai bagi mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman bermalam di kampung nelayan.

Pelancong boleh memilih untuk bermalam di salah satu daripada 15 buah inap desa atau 10 kampungstay yang diusahakan penduduk kampung.

Menurut salah seorang pengusaha inap desa, Saayah Ismail, 58, pelbagai aktiviti masyarakat setempat boleh dicuba oleh pelancong antaranya keenakan mi udang, barbeku pada waktu malam atau memancing.

"Terdapat beberapa inap desa yang membolehkan pelancong memancing dari beranda rumah.

"Selain itu, mereka juga boleh menyewa bot berharga lingkungan RM400 milik penduduk kampung yang lengkap dengan pakej umpan dan seorang tekong," jelasnya yang mula mengusahakan projek inap desa sejak tahun 2002.

Antara kemudahan fasiliti yang terdapat di Pulau Aman ialah tandas awam, masjid, sekolah rendah, restoran, kedai runcit dan dewan serba guna untuk kemudahan pengunjung.

Terdapat juga produk hasil laut seperti belacan dan keropok serta kerepek sukun yang diproses daripada pokok sukun milik penduduk kampung di sekitar pulau.