Tindakan itu merupakan satu keperluan kepada tentera untuk melindungi nyawa, makanan dan peralatan perang daripada pihak musuh.

Baru-baru ini, penduduk di sekitar bandar raya Ipoh, Perak gempar apabila sebuah kubu perlindungan bawah tanah British yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua ditemui oleh sekumpulan penyelidik di kawasan penyelenggaraan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Kubu tersebut dipercayai digunakan oleh tentera British untuk berlindung ketika tentera Jepun melancarkan serangan udara dengan bom mortar.

Berdasarkan struktur kubu bawah tanah itu, ia digunakan oleh ahli keluarga dan tentera British untuk berlindung semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1941.

“Kubu ini dianggarkan seluas 9 meter x 9 meter dengan ketinggian dari lantai ke siling ialah 2.5 meter. Berdasarkan kajian saya, ia mampu memuatkan seramai 30 hingga 40 orang pada satu-satu masa.

“Kubu perlindungan British di bawah tanah ini merupakan penemuan pertama seumpamanya di negara ini. Kajian terdahulu hanya menemui kubu pertahanan British yang berada di atas tanah,” kata Ketua Penyelidik Malaya Historical Group, Shaharom Ahmad.

Menurut Shaharom, beliau yakin bahawa ia merupakan kubu perlindungan ahli keluarga atau tentera British berikutan struktur binaannya sama seperti kubu lama di Singapura dan beberapa buah negara Eropah.

Ujarnya, struktur binaan kubu perlindungan bawah itu masih utuh meskipun ia berusia lebih 75 tahun.

“Berdasarkan binaannya, jika kubu ini terkena serangan bom, ia tidak menjejaskan kubu tersebut sekali gus menjadi tempat berlindung mereka yang berlindung di dalamnya,” katanya.

Pada bahagian dinding kubu bawah tanah itu, pihaknya menemui tulisan kapur dalam bahasa Mandarin yang tertulis ‘makanan cukup untuk 2,100 orang’ yang dipercayai ditulis oleh kontraktor dari China.

Penemuan baharu

Perang Dunia Kedua yang berlaku pada tahun 1939 sehingga 1945 merupakan peperangan yang mengakibatkan paling banyak kerosakan dalam sejarah dunia moden.

Perang ini membabitkan Kuasa Bersekutu (perikatan negara-negara pembesar berempat: Komanwel, Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, dan China) serta Kuasa Paksi (perikatan negara-negara Jerman Nazi , Itali, dan Jepun).

Perang Dunia Kedua dipercayai mengorbankan ramai orang awam berbanding peperangan sebelumnya disebabkan sebahagiannya pengeboman udara secara besar-besaran. Pada Perang Dunia Kedua, British membawa masuk kontraktor dari China untuk membuat bangunan. Beliau berpendapat, tidak mustahil tulisan itu ditulis semasa kubu tersebut digunakan sewaktu serangan.

Pihaknya juga sedang mengkaji sama ada terdapat kubu perlindungan bawah tanah lain di kawasan tersebut. “Kebiasaannya, ia akan dibina lebih banyak di kawasan berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus LTSAS, Mohd. Ali Osman berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi untuk menjalankan kajian lain di kawasan tersebut.

Persediaan rapi

Kubu pelindungan itu terletak di kawasan lapangan terbang yang tidak aktif dan pihaknya memberi kebenaran kepada Malaya Historical Group untuk melakukan kajian.

“Ini merupakan penemuan terbaharu, jadi kita menyokong sekiranya kawasan tersebut dijadikan kawasan sejarah ketenteraan dalam usaha untuk menarik pelancong ke negeri Perak,” katanya yang menemui tiga kubu pertahanan tentera di lapangan terbang sebelum ini.

Sementara itu, bekas Panglima Latihan dan Dokrin Tentera Darat, Mejar Jeneral (B) Datuk Amir Baharudin berkata, binaan tersebut merupakan kubu perlindungan bom atau serangan udara yang mula digunakan ketika Perang Dunia Kedua khususnya di London bagi melindungi orang awam daripada serangan udara oleh pesawat pengebom udara Jerman.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Amir Guntur Kamparputra berkata, berbeza dengan kubu yang digunakan pihak tentera, kubu perlindungan serangan udara lebih dikenali sebagai bunkers hanya mampu memberi perlindungan kepada mereka yang berlindung di dalamnya.

Bunkers juga digunakan sebagai pertahanan serangan bom artileri dan mortar selain turut digunakan sebagai pos pemerintahan pasukan.

“Kubu perlindungan seperti ini masih digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga sekarang,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurutnya, kubu perlindungan bom seumpama itu masih boleh digunakan memandangkan ia masih kukuh.

Beliau yang juga merupakan veteran pasukan tempur ATM menjelaskan, kubu pertahanan yang sering digunakan pasukan tempur pula biasanya hanya boleh memuatkan dua atau tiga orang pada satu-satu masa.

“Jika benar kubu perlindungan tersebut dibina untuk kegunaan tentera British, ia memberi gambaran bahawa persiapan mereka melakukan persediaan rapi bagi mengekang asakan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.

“Walaupun tidak dicatatkan dalam sejarah peperangan secara besar-besaran berlaku di Ipoh, namun tentera British ketika itu telah melakukan persiapan awal dengan membina kubu perlindungan berhampiran lapangan terbang.

“Selain untuk berlindung, kubu tersebut juga boleh digunakan untuk menyimpan keperluan lain termasuk kelengkapan senjata dan makanan,” kata Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim.

Menurut beliau, suasana perang yang tercetus antara British dan Jepun ketika itu turut mendorong orang awam membina kubu perlindungan bagi menyelamatkan diri daripada terkena serangan udara oleh tentera.

“Di pekarangan Muzium Darul Ridzuan misalnya, terdapat dua kubu perlindungan dibina oleh pemilik lombong bijih timah untuk kegunaan ahli keluarga, pekerja dan orang awam.

“Kedua-duanya dibina pada tahun 1941 menggunakan batu-bata dan simen konkrit yang tebal sebagai persiapan menghadapi serangan udara tentera Jepun menjelang Perang Dunia Kedua,” katanya.

Salah satu daripada kubu tersebut terletak di bahagian belakang bangunan yang mempunyai terowong kira-kira 15 meter panjang dan enam meter di bawah tanah serta boleh memuatkan sehingga 30 orang dalam satu-satu masa.

“Dari terowong itu, sesiapa yang berlindung di dalam kubu tersebut boleh melarikan diri ke sungai berhampiran iaitu Sungai Kinta,” jelasnya.

Kubu bawah tanah pertama di Malaysia berhampiran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak yang ditemui oleh Malaya Historical Group merupakan satu penemuan baharu.