Bagaimanapun, keesokan malamnya penulis berpeluang untuk bertemu sendiri dengan jurugambar prolifik dari Thailand, Tavepong Pratoomwong. Berjalan kaki dari penginapan penulis di Khao San, Bangkok, Thailand untuk ke lokasi temu bual di restoran At Smile House mengambil masa kira-kira 10 minit.

Ketika kaki melangkah masuk ke restoran itu, kelihatan Pratoomwong sedang rancak berbual dengan seorang lelaki dari Amerika Syarikat (AS) sambil menunjukkan sesuatu pada paparan komputer ribanya. Wajahnya tersenyum ceria menyambut kedatangan penulis. Setelah dijemput duduk, barulah diketahui bahawa lelaki yang menemuinya itu adalah salah seorang peserta bengkel fotografi anjuran Pratoomwong.

Bagi peminat fotografi khususnya genre fotografi jalanan, Pratoomwong, 38, adalah nama yang tidak asing lagi di peringkat antarabangsa.

Pepatah Inggeris yang menyatakan sekeping gambar tersimpan seribu kata seolah-olah tercermin dalam gambar-gambar yang dibidiknya. Sesiapa yang melihat sekali imbas hasil karyanya tidak dapat tidak akan terdorong untuk menumpukan perhatian bagi merungkai komposisi gambar-gambar tersebut.

Seakan-akan tidak puas sekadar selayang pandang, malah ada antara gambar-gambar itu apabila dilihat menjentik rasa geli hati.

Bukan hanya di Thailand, Pratoomwong turut merakamkan gambar di pelbagai negara seperti Jerman, Britain, Jepun dan India.

Jurufoto yang disenaraikan antara 20 jurugambar jalanan paling berpengaruh di dunia oleh laman streethunters.net itu turut mempamerkan hasil karyanya di sekitar Asia, Amerika Utara dan Eropah.

Pengaruh majalah

Katanya, penglibatannya dalam dunia fotografi bermula semasa di bangku sekolah 20 tahun lalu.

“Pada hujung minggu, saya diminta memilih sama ada menyertai aktiviti berenang atau belajar di perpustakaan. Saya sering menghabiskan masa di perpustakaan dan ketika itu saya sering membelek majalah National Geographic,” tututnya sambil ketawa ketika ditemui K2 di Bangkok baru-baru ini.

Tambah Pratoomwong, dia mendapat inspirasi daripada gambar-gambar yang diterbitkan dalam majalah berprestij itu.

“Selepas menamatkan persekolahan, saya cuba mengadakan kolaborasi dengan majalah National Geographic Thailand.

“Mereka mempunyai satu kolum kecil mengenai orang tempatan dan saya memulakan projek fotografi mengenai Little India di ibu negara,” jelasnya.

Fotografi pada masa itu masih lagi berada dalam era penggunaan filem dan Pratoomwong sedar hobi berkamera agak mahal kerana harus mengeluarkan wang untuk mencuci filem.

Namun demikian, minatnya hanya kekal sebagai hobi. Anak kelahiran Chanthaburi itu memulakan sebuah syarikat pengiklanan untuk menampung kehidupan selepas menamatkan pengajian di Rangsit University, Thailand.

Dia hampir berhenti merakam gambar pada 2013, namun mendapat satu kejutan yang tidak disangka-sangka. Isterinya menghadiahkan satu tiket ke Varanasi, India pada tahun itu sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka.

“Isteri saya, May Pratoomwong meminta saya pergi ke India untuk mengembalikan tumpuan saya pada fotografi kerana dia melihat saya terlalu asyik mengumpul peralatan dan aksesori kamera sahaja,” tambahnya.

Cabaran 365 hari

Usai pulang ke tanah air, dia mula bergiat aktif di laman Flickr.com dengan menyertai kumpulan-kumpulan fotografi jalanan antarabangsa di laman tersebut.

“Dalam kumpulan tersebut, ada pengelola yang akan memberi maklum balas terhadap gambar-gambar yang dimuat naik. Dari situ saya belajar mengenai perkara yang membuatkan sesuatu gambar jalanan itu baik atau tidak,” tuturnya.

Komuniti tersebut turut menganjurkan pertandingan fotografi dengan mengundi gambar-gambar yang dirasakan terbaik.

Namun, yang paling bermakna adalah apabila kumpulan Street Photography Thailand memulakan satu cabaran yang dipanggil 365 days in 2014. Mana-mana jurugambar yang menyertai cabaran itu dikehendaki untuk keluar merakam gambar dan memuat naik gambar-gambar terpilih ke laman itu setiap hari tanpa gagal.

“Banyak jurugambar yang menyertai cabaran itu pada peringkat awal, namun ramai yang beransur-ansur menyerah kalah dan berhenti mengambil gambar. Pada penghujung tahun, hanya saya dan seorang lagi jurugambar berjaya menghabiskan cabaran itu,” tambahnya.

Baginya, cabaran berkenaan merupakan satu proses pembelajaran yang banyak mengasah kemahirannya. Dia juga sanggup keluar pada malam hari jika tidak mempunyai kesempatan untuk mengambil gambar pada waktu siang.

Penyertaan Pratoomwong dalam cabaran 365 hari itu ternyata tidak sia-sia apabila salah satu daripada gambar bidikannya itu dicalonkan dan berjaya memenangi tempat pertama Festival Fotografi Jalanan Miami, AS dan salah seorang pemenang Anugerah EyeEm untuk kategori jurugambar jalanan pada 2014.

Menjadikan jalanan sebagai persada untuk beraksi dengan kameranya, Pratoomwong berkata, memotret keadaan sekeliling bukanlah mudah, apatah lagi elemen penting seperti juxtaposition dan momen sempurna penting dalam penghasilan karya fotografi jalanan yang sangat bernilai.

“Tentunya ada antara orang ramai yang tidak selesa apabila saya menghalakan kamera ke arah mereka, malah ada yang akan bertanya mengapa saya mengambil gambar mereka.

“Namun, nasib baik kerana saya kelihatan seperti orang Jepun. Jadi saya menyamar sebagai pelancong Jepun dan berpura-pura tidak memahami pertanyaan mereka kepada saya,” jelasnya.

Bagi menghilang rasa curiga orang di sekeliling, Pratoomwong menggunakan kamera bersaiz kecil seperti siri Sony a7 dan Leica Tri-Elmar-M.

Kesabaran

Ditanya mengenai apakah rahsianya merakam gambar yang unik, katanya, kesabaran amat diperlukan ketika ‘membingkaikan’ gambar dan menunggu momen yang sempurna.

“Saya melihat contact sheet jurugambar profesional agensi Magnum Photo dan mendapati mereka akan membidik sebanyak mana gambar yang boleh di satu-satu tempat atau momen.

“Malah, ketika mengambil gambar seekor anjing di India, saya menunggu sehingga lima hari berturut-turut di lokasi yang sama bagi mendapatkan komposisi yang diingini,” tuturnya.

Dia juga akan mencuba merakam gambar dengan berbagai komposisi dan perspektif untuk satu ‘babak’ sama sebelum memilih yang terbaik selepas tamat sesi fotografi.

“Pilih lokasi yang selesa dan mudah untuk membidik gambar. Saya lebih suka merakam gambar jalanan berhampiran rumah sahaja kerana kebarangkalian untuk dapat gambar yang cantik lebih tinggi di satu-satu tempat jika kita selalu berkunjung ke situ,” nasihatnya yang cuba untuk mengurangkan berkunjung ke lokasi-lokasi pelancongan sebaliknya ke tempat yang luar kelaziman untuk mendapatkan momen yang lebih estetik.

Tavepong Pratoomwong yang merupakan antara jurugambar jalanan berpengaruh dunia memotret gambar dari perspektif yang unik 
dan kreatif.