Tanpa disedari, mereka seolah-olah berada dalam zon selesa meskipun hidup bersendirian kerana tidak perlu bergantung terhadap orang lain dan mempunyai lebih masa untuk diri sendiri.

Tidak hairanlah jika dilihat di kebanyakan negara maju dan membangun, trend penduduk lambat berkahwin atau kekal bujang sangat tinggi sekali gus menyebabkan kadar kelahiran semakin berkurangan.

Mengikut statistik Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia kelima (KPKM-5) pada tahun 2014 yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat, umur purata rakyat Malaysia mendirikan rumah tangga ialah pada usia 31 tahun.

Dalam kajian yang sama, 86.8 peratus daripada responden bujang berusia di antara 25 hingga 49 tahun mengakui mereka mempunyai keinginan untuk berkahwin, namun hasrat tersebut terbatas disebabkan beberapa faktor antaranya ketidakstabilan kewangan, sukar mendapat pasangan sesuai dan pengembangan kerjaya.

Golongan lelaki menyenaraikan ketidakstabilan kewangan sebagai punca utama dengan 56 peratus, diikuti sukar mendapat pasangan sesuai (18.4 peratus) dan pengembangan kerjaya (9.4 peratus).

Sebanyak 35.7 peratus wanita pula menyifatkan halangan utama untuk berkahwin ialah sukar mendapat pasangan sesuai manakala ketidakstabilan kewangan di tempat kedua dengan 26 peratus diikuti pengembangan kerjaya (18.1 peratus).

Mengulas keputusan statistik tersebut daripada prospek wanita, Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud memberitahu, kebanyakan wanita sukar mendapat pasangan sesuai mungkin disebabkan mereka terlalu berhati-hati memilih calon suami.

Tanda aras

“Seseorang itu cenderung untuk meletakkan tanda aras tertentu dalam diri bakal pasangan hidup. Sekiranya tidak mencapai spesifikasi yang ditetapkan, dia dianggap tidak setaraf sekali gus menutup peluang untuk menjalinkan hubungan dengan lebih serius, apatah lagi berkahwin.

“Hakikatnya, dalam kesibukan mencari jodoh yang sesuai, mereka telah melepasi waktu perdana iaitu umur ideal untuk mendirikan rumah tangga, sebaik-baiknya sebelum mencapai 30 tahun,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, ramai wanita terlalu selesa dengan status diri yang berkerjaya hebat, berdikari dan mempunyai teman-teman untuk mengisi masa senggang menyebabkan mereka tidak merasakan keperluan untuk mencari pasangan hidup.

Bagi Penganalisis Sosial, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib, beliau melihat kemodenan yang dicapai sesebuah negara menyebabkan masyarakatnya memiliki jiwa muda dan belum bersedia untuk membina keluarga, lantas mengakhiri zaman bujang lebih lambat.

“Kita perlu melihat pelbagai faktor misalnya komitmen hidup dan inisiatif seseorang untuk mencari pasangan.

“Ada juga kes wanita yang sudah berkahwin tetapi tidak mahu beranak, namun kini pelbagai alternatif kecergasan dan pola pemakanan sihat tersedia agar mereka dapat kekal langsing walaupun setelah melahirkan anak,” ulasnya.

Tambah Kartini, masyarakat di Malaysia juga masih tebal dengan adat menyebabkan sukar untuk menukar paradigma ‘perigi mencari timba’ iaitu golongan wanita melamar lelaki pilihan mereka, lantas wanita itu akhirnya memilih untuk bersendiri.

“Jika dahulu, berkahwin merupakan salah satu cara untuk memenuhi keperluan seksual. Bagaimana pun, penyakit sosial yang membimbangkan dalam masyarakat hari ini membuatkan matlamat itu tidak lagi menjadi keutamaan kerana keperluan tersebut masih terisi walaupun tanpa ikatan perkahwinan, termasuk hubungan sejenis.

Kesihatan

“Jika dilihat kesan jangka panjang, apabila sesebuah negara itu tidak mempunyai ramai generasi muda, maka ia secara tidak langsung mengundang kepada kemasukan imigran bagi menampung keperluan industri dan sektor pekerjaan seperti yang berlaku di negara maju lain misalnya London, Britain,” terang Kartini.

Melihat fenomena lambat atau tidak berkahwin sehingga menjejaskan kadar kelahiran daripada jendela kesihatan, Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Kanan, Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin menjelaskan, setiap individu baik lelaki atau wanita akan mula bersedia untuk melakukan persenyawaan sebaik mencapai akil baligh.

“Tiada istilah kurang subur selepas mencapai peringkat umur tertentu kerana selagi seseorang itu masih belum menopaus, dia masih boleh menghasilkan telur untuk persenyawaan walaupun semakin meningkat usia, bilangan telur juga sedikit berkurangan.

“Namun begitu, bagi pasangan yang telah berkahwin, sebaiknya merujuk kepada pegawai perubatan sekiranya selepas setahun berkahwin masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk hamil kerana ia mungkin disebabkan masalah lain misalnya peranakan atau kilang telur tidak normal,” kongsinya.