Dalam kejadian di Dublin, letupan itu berlaku pada hari Jumaat ketika bandar tersebut agak sibuk berbanding hari biasa ekoran tindakan mogok yang dilakukan para pekerja perkhidmatan bas sehingga menyebabkan jalan raya penuh dengan orang ramai yang terpaksa berjalan kaki.

Salah seorang mangsa, Derek Byrne yang berusia 14 tahun ketika kejadian berkata, dia yang bekerja sebagai pam atendan di sebuah stesen minyak sedang mengisi petrol pada sebuah kereta sebelum satu letupan kuat berlaku di Parnell Street.

Disangka mati

Ketika itu, Byrne mengalami kecederaan parah sehingga petugas kecemasan menyangka dia telah meninggal dunia, bagaimanapun dia terjaga daripada pengsan di bilik mayat hospital.

“Saya masih ingat ketika menarik kain yang menutup saya dan seorang wanita di situ terkejut dan melarikan diri.

“Seseorang kemudian masuk dan meletakkan saya di atas troli sebelum menolak saya ke dewan bedah. Saya kemudian berada selama 18 jam di dewan bedah sebelum koma selama 12 minggu selepas itu,” katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini, parut akibat kejadian itu masih jelas kelihatan pada badannya, malah terdapat serpihan besi di dalam hatinya selepas lebih 40 tahun kejadian itu berlaku.

Tidak jauh dari situ, seorang gadis berusia 16 tahun, Bernie McNally yang bekerja di sebuah kedai kasut di Talbot Street berkata, dia mendengar bunyi letupan pertama sejurus disusuli letupan kedua yang lebih kuat di luar kedai tersebut.

“Saya terselamat, namun rakan saya, May McKenna dan seorang pelanggan yang sedang mencuba kasut terbunuh.

“Akibat letupan itu, mata saya mengalami kecederaan parah dan kehilangan pendengaran pada telinga kanan,” ceritanya.

Pada masa sama, lebih ramai mangsa yang terkorban dalam letupan ketiga dan keempat di Monaghan, kira-kira 129 kilometer utara dari Dublin.

Sehingga kini, tiada pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap kekejaman itu.

Mangsa yang terselamat dan keluarga mereka bagaimanapun tidak pernah berputus asa untuk mencari keadilan terhadap apa yang berlaku.

Kebanyakan mangsa menuduh keganasan itu berpunca daripada pakatan sulit antara kumpulan separa tentera pro-Britain terbesar di Ireland Utara iaitu Pasukan Sukarelawan Ulster (UVF) dengan pihak keselamatan dan perkhidmatan rahsia negara itu.

Balas dendam

Sebuah monumen di Talbot Street, Dublin menyenaraikan nama semua 44 mangsa yang terkorban termasuk seorang wanita mengandung.

Walaupun Ireland Utara telah dilanda keganasan sejak 1969, namun serangan oleh pasukan pro-British di selatan negara itu di kawasan Tentera Republikan Ireland (IRA) sangat jarang berlaku.

Letupan bom berkenaan didakwa dilakukan oleh UVF, namun ia tidak diketahui sehingga kumpulan itu mengaku bertanggungjawab pada tahun 1993 dan memberitahu serangan itu dilakukan sendirian tanpa pertolongan mana-mana pihak.

Kenyataan kumpulan itu bagaimanapun tidak memberi motif mengapa serangan itu dilakukan, namun bekas anggota kanan UVF kemudian mengatakan bahawa serangan itu adalah untuk membalas dendam ke atas keganasan IRA di Ireland Utara.

Tuduhan berterusan mengenai pakatan sulit terhadap mereka yang melakukan serangan itu dengan pihak keselamatan dan risikan Britain sebenarnya telah berlarutan sejak sekian lama.

Bekas pegawai perisikan tentera British, Colin Wallace yang berkhidmat di Ireland Utara pada masa itu berkata, adalah sesuatu yang tidak masuk akal perbuatan UVF berkenaan tidak diketahui oleh pihak keselamatan dan perkhidmatan rahsia Britain.

Kerajaan Britain pada masa itu juga enggan menjawab dakwaan itu atas alasan ia membabitkan isu keselamatan negara dan untuk melindungi pemberi maklumat.

Bekas Perdana Menteri Ireland, Bertie Ahern menubuhkan dua badan untuk menyiasat pengeboman itu. Salah satunya diketuai oleh Hakim Henry Barron, namun permintaan hakim itu untuk mendapat akses kepada fail perisikan British ditolak dengan alasan keselamatan negara.

“Kami telah mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan kebenaran daripada Tony Blair (bekas Perdana Menteri Britain) untuk membenarkan pihak berkuasa melepaskan fail tersebut,” kata Ahern kepada BBC.

Seramai 44 orang terkorban termasuk seorang wanita mengandung selepas empat buah bom yang diletakkan oleh UVF di dalam kereta meletup di Dublin dan Monaghan.