Seorang pereka cipta dari Belanda, Henk Hanskamp mencetuskan idea inovasi luar biasa baru-baru ini apabila memba­ngunkan satu bekas tadahan air kencing lembu bagi melatih haiwan tersebut membuang air kecil pada tempatnya.

Ia berfungsi tidak ubah seperti tandas bagi haiwan tenusu itu membuang air kencing secara rutin setiap hari.

Ujarnya, usaha itu disifatkan sebagai membantu mengurangkan emisi daripada ammonia yang menyebabkan kerosakan alam sekitar selama ini.

“Selama ini, jutaan euro telah dilaburkan dalam sistem cucian udara, kandungan pemakanan dan lantai kandang khas demi mengurangkan kadar pelepasan ammonia.

“Menerusi tandas ini, kami sedang menyelesaikan masalah ini daripada punca­nya dengan menghalang air kencing dan najis daripada bercampur seterusnya menghasilkan ammonia.

“Seekor lembu tidak pernah bersih sepenuhnya, namun kamu mampu mengajarnya untuk ke tandas,” katanya yang merupakan pencipta dan ahli perniagaan projek Tandas Lembu kepada AFP baru-baru ini.

Tambah Hanskamp, lembu-lembu itu dengan sendirinya akan masuk ke kawasan kandang dan menggunakan tandas tersebut.

Hal ini kerana lembu merupakan haiwan yang boleh diajar dan ia perlahan-lahan mempelajari inovasi agrikultur yang dibangunkan oleh syarikat dari Doetinchem itu.

Bekas tadahan air kencing itu ditempatkan di bahagian belakang lembu dengan palung makanan diletakkan di hadapannya.

Selepas selesai makan, satu lengan robotik akan me­rangsang saraf berdekatan puting dan menyebabkan haiwan itu kencing serta-merta.

Ujian itu sudah dilakukan di salah sebuah ladang ternakan di pekan Doe­tinchem, timur Belanda dan ia mampu mengumpul secara purata 15 hingga 20 liter air kencing dalam tempoh sehari.

Sehingga kini, tujuh daripada 58 ekor lembu milik Hanskamp sudah pandai menggunakan tandas tersebut tanpa perlu bantuan rangsangan.

Jelas Hanskamp, sekiranya air kencing itu dapat dikumpulkan dengan efektif, ia dapat menyelesaikan antara masalah terbesar yang berlaku dalam industri penternakan selama ini.

Kaedah terbaharu

Hal ini kerana urea iaitu sebatian berhablur terkandung di dalam air kencing.

Sekiranya ia berinteraksi secara kimia dengan bakteria di dalam najis, ammonia akan terbentuk.

Ia seterusnya akan bertukar menjadi nitrogen lantas menjejaskan ekosistem alam semula jadi, menyebabkan hakisan tanah, pencemaran udara serta air.

Ammonia menjadi antara isu utama di Britain dan Ireland.

Malah, beberapa projek infrastruktur ladang-ladang utama di Utara Ireland telah dihentikan seketika waktu sehinggalah bahagian penyelidikan ladang tersebut mendapatkan kaedah terbaharu dalam mengurangkan pelepasan ammonia.

Bahkan, data daripada Wageningen University dan Research in The Netherlands mendedahkan, 90 peratus pelepasan ammonia di Eropah datangnya daripada industri agrikultur.

Rentetan itu, pemain utama dalam industri pertanian dikehendaki untuk membayar fi yang tinggi bagi memenuhi kriteria pelepasan ammonia dan pelupusan najis Eropah.

Inovasi

Pengurus Hanskamp Britain dan Ireland, Lars van Gaalen berkata, pengenalan inovasi tandas lembu dalam industri penternakan bukanlah satu gurauan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Walaupun ia mengambil masa yang lama untuk direalisasikan sejak usaha penyelidikan dan pembangunan dilakukan sejak dua tahun lalu, van Gaalen yakin model pertama tandas lembu itu dapat diperkenalkan di ladang-ladang sekitar Belanda seawal 2020.

“Kami masih lagi dalam peringkat penyelidikan kerana masih terdapat banyak soalan yang belum dijawab.

“Model tersebut telah siap sebanyak 90 peratus dari segi rekaan dan matlamat yang ingin dicapai tetapi kami sedar bahawa 10 peratus lagi akan mengambil 90 peratus masa kami,” jelasnya.

Tambah van Gaalen, usaha yang dilakukan oleh pihaknya tidak lain tidak bukan iaitu membantu menyelesaikan masalah dalam industri penternakan.

Selain itu, apabila model pertama tandas lembu itu berjaya dikomersialkan, ia pasti menjadikan tugas-tugas dalam sektor penternakan menjadi lebih mudah.

Bagaimanapun, pihaknya masih belum dapat mendedahkan harga bagi sistem tandas lembu yang diperkenalkan itu.

Maka tidak hairanlah, kejayaan pembangunan tandas lembu itu dalam menyelesaikan isu berkaitan industri penternakan baru-baru ini berjaya merangkul Anugerah Inovasi Terbuka Achterhoek, Belanda.

Bagi ahli veterinar, Jan Velema yang terlibat secara langsung dalam ujian itu berkata, inovasi tandas lembu tersebut tidak memudaratkan kebajikan haiwan berkenaan.

Sebaliknya, ia membuka lembaran baharu kepada sektor perladangan dengan memelihara aspek kebersihan serta kesihatan haiwan herbivor itu untuk jangka masa panjang.

Efektif

“Kawasan kandang menjadi bersih dan tanah lebih kering kerana air kencing itu dapat dikumpulkan dengan efektif.

“Tanah yang kurang lembab baik untuk kesihatan tapak kaki lembu,” katanya yang dipetik sebagai berkata oleh akhbar tempatan, de Volkskrant.

Sementara itu, penyelidik dari Wageningen Livestock Research, Paul Galama teruja melihat penciptaan tandas lembu itu.

Walaupun tidak terlibat secara langsung dengan pembangunan tandas tersebut, beliau menyambut baik usaha pengenalan inovasi itu ke dalam industri penternakan.

Katanya, ia amat sesuai untuk diaplikasikan dalam suasana semula jadi dan tidak memberikan tekanan terhadap haiwan tersebut.

Bahkan, inovasi tersebut sedikit sebanyak dilihat berupaya mendorong ke arah kitar semula agrikultur di Belanda.

“Urin mengandungi nitrogen dan kalium manakala najis yang dijadikan baja asli pula kaya fosfat serta bahan organik.

“Justeru itu, tandas lembu berupaya memisahkan kedua-dua bahan buangan itu sekali gus memberi manfaat terhadap peladang dan pertanian tanaman.

“Hal ini kerana, bahan buangan itu yang kemudiannya dijadikan baja asli dapat dipisahkan secara spesifik serta baik untuk alam sekitar,” ujarnya.