Namun, mereka tiada pilihan demi menyelamatkan nyawa masing-masing daripada menjadi mangsa pembunuhan kejam dipercayai dilakukan oleh hantu yang telah menyerang kampung tersebut sejak kira-kira tiga minggu lalu dengan menyasarkan lelaki muda sebagai mangsa.

Oleh hal demikian, para pemuda di kampung tersebut telah mengecat kuku jari dengan pewarna kuku bagi mengelak menjadi mangsa pembunuhan hantu yang dipercayai jelmaan seorang wanita janda.

Tindakan pemuda yang tinggal di Kampung Pu Hong mewarna kuku jari mereka dengan warna-warna terang seperti merah dilakukan selepas terdapat kejadian lima orang lelaki mati secara tiba-tiba dalam masa selang hanya beberapa hari.

Menurut dakwaan penduduk kampung tersebut, kes kematian pertama dilaporkan berlaku membabitkan dua orang lelaki yang dikatakan jatuh pengsan dan meninggal dunia secara tiba-tiba tidak lama kemudian.

Makan organ

Seorang lagi mangsa pula dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan kejadian itu dikatakan mempunyai kaitan akibat gangguan hantu janda tersebut.

Kematian demi kematian yang berlaku ke atas penduduk Kampung Pu Hong membuatkan mereka resah terutamanya bagi kaum lelaki muda apabila mendapati hantu janda itu menjadikan golongan lelaki muda sebagai sasaran.

Seorang penduduk kampung, Bussadee Malasee, 60, memberitahu Amarin TV, kejadian kematian beberapa orang pemuda di kampungnya dipercayai ada kaitan dengan gangguan hantu janda yang akan mencari mangsa dalam kalangan lelaki muda dan memakan organ dalaman mereka.

“Hantu janda itu hanya akan memakan organ dalaman lelaki muda sahaja,” ujar Malasee.

Oleh kerana bimbang akan keselamatan masing-masing, para pemuda di Kampung Pu Hong akhirnya memikirkan cara untuk menghindari gangguan hantu janda tersebut iaitu dengan mewarnakan kuku mereka untuk mengelirukan hantu tersebut.

Berlindung di kuil

Tindakan para pemuda di kampung tersebut mewarnakan kuku mereka adalah bertujuan untuk memperbodohkan hantu janda itu selain mereka turut memasang papan tanda ‘tiada lelaki di sini’ bagi mengelak menjadi mangsa.

Pada masa yang sama, penduduk kampung juga menetapkan peraturan ketat dengan tidak membiarkan sesiapa pun keluar pada waktu malam terutamanya lelaki selain terdapat beberapa orang penduduk kampung mengambil keputusan tinggal di kuil-kuil berhampiran buat sementara waktu untuk mendapatkan perlindungan.

Negara Thailand sememangnya terkenal dengan beberapa kisah rakyat berkaitan dengan kepercayaan hantu-hantu tertentu dalam masyarakat mereka sejak dahulu.

Pada tahun lalu, beberapa orang lelaki di perkampungan Na Cheuak Yai di timur laut Thailand telah didapati meninggal dunia secara tiba-tiba sama seperti yang berlaku di Kampung Pu Hong dan dipercayai akibat dibunuh oleh hantu.

Kerana bimbang keselamatan suami masing-masing, para isteri di kampung tersebut telah bertindak memaksa suami mereka berpakaian seperti seorang wanita ketika tidur untuk menyamar bagi mengelirukan hantu tersebut.

Ternyata, tindakan tersebut didapati berjaya selepas tidak berlaku lagi kematian para lelaki di kampung itu selepas mereka menggunakan kaedah tersebut.