Bagaimanapun, pautan hati si gadis mungkin berkecai jika melihat lelaki ini mula bertutur.

Lebih-lebih lagi apabila terpandang lidahnya yang bercabang dua menyerupai lidah seekor ular.

Apa yang mengerikan, lidah tersebut bukan diwarisi oleh James Reeve-Shillito, 28, secara semula jadi.

Sebaliknya, lelaki yang berasal dari Peterborough, England ini sanggup melalui satu siri pembedahan yang menyakitkan semata-mata kerana ingin memiliki lidah yang pelik itu.

“Saya sangat gembira dengan hasilnya, ramai yang tidak tahu saya memiliki lidah bercabang melainkan jika saya menunjukkan sendiri kepada mereka.

“Walaupun ramai yang melahirkan rasa ngeri, namun ada juga individu yang memuji dan mendakwa lidah baharu ini sangat menarik,” jelasnya.

Luar biasa

Menurut lelaki yang bekerja sebagai pembantu veterinar di sebuah klinik haiwan di Britain itu lagi, biarpun sering berhadapan dengan cemuhan masyarakat sekeliling, namun dia berbangga kerana memiliki lidah yang unik.

“Sejak berumur 14 tahun lagi saya begitu mengimpikan untuk memiliki lidah yang bercabang seperti ular.

“Bagaimanapun, disebabkan masih di bawah tanggungan ibu bapa dan merasakan tindakan itu terlalu ekstrem bagi kanak-kanak belasan tahun, saya terpaksa membatalkan sahaja hasrat tersebut.

“Disebabkan itu, saya hanya mampu menindik lidah dengan aksesori subang sahaja,” jelasnya.

Selain menindik lidah dengan subang, Reeve-Shillito turut menindik beberapa bahagian tubuh yang lain selain melukis tatu.

Jelas Reeve-Shillito lagi, kesemua itu dilakukannya hanya kerana ingin tampil luar biasa berbanding rakan-rakannya yang lain.

Menurut lelaki itu, ilham untuk mengubah lidahnya mula tercetus kembali awal tahun lalu selepas membantu seorang pakar veterinar di kliniknya mengeluarkan bisa pada seekor ular.

Sebulan kemudian, dia mula menjalani pembedahan pengubahsuaian lidah.

“Saya menjalani pembedahan di sebuah hospital di London.

“Melalui pembedahan yang mengambil masa hanya selama 20 minit itu, saya berjaya mendapatkan lidah yang diidam-idamkan sejak remaja lagi,” jelasnya.

Tahan lapar

Ternyata, Reeve-Shillito tidak terkecuali daripada menerima kesakitan dan komplikasi selepas pembedahan selesai dijalankan.

“Saya berhadapan dengan kesakitan yang amat dahsyat.

“Bahagian lidah mengalami pendarahan yang sangat teruk. Disebabkan masalah itu, saya terpaksa membelanjakan sebanyak £500 (RM1,985) untuk menjalani satu lagi pembedahan bagi memulihkan kecederaan tersebut,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai kesakitan yang ditanggungnya itu lagi, menurut Reeve-Shillito, dia terpaksa menahan lapar selama lima hari kerana lidahnya yang membengkak teruk.

“Belahan dan jahitan yang membengkak pada lidah menyebabkan saya tidak boleh makan makanan pejal. Sepanjang tempoh tersebut, saya hanya mampu minum air dan makan bubur yang dimasak cair sahaja.

“Kesakitan yang dialami juga menyebabkan saya sering menendang apa sahaja objek yang dilihat pada waktu itu. Walaupun pada waktu itu saya telah menelan ubat tahan sakit, namun ia hanya mampu menahan kesakitan kurang daripada empat jam sahaja,” jelasnya.

Kesakitan yang dialaminya itu bagaimanapun mula berkurangan sebaik sahaja benang jahitan mula tanggal.

Cerita Reeve-Shillito, biarpun terpaksa menanggung kesakitan yang amat dahsyat, namun dia berbangga dengan hasil yang dimilikinya.

“Sekarang saya berasa sangat unik dan lain daripada orang lain.

“Saya berani mengesyorkan mana-mana individu yang ingin mencuba melalui pembedahan lidah bercabang ini,” jelasnya.

Menurut Reeve-Shillito lagi, dia kini berbangga kerana mampu menjilat bahagian dalam kiri dan kanan pipinya secara serentak.

“Ini adalah salah satu pencapaian membanggakan yang pernah dilakukan,” jelasnya.