Sejak hampir enam dekad lalu, itu merupakan rutin bulanan James Harrison, 81, sebagai seorang penderma darah.

Biarpun pesara kerajaan yang berasal dari Australia itu mengakui takut kepada jarum, namun itu tidak menghalangnya daripada terus menderma darah kepada insan-insan yang memerlukan.

Paling membanggakan apabila sumbangannya itu berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta nyawa bayi di Australia.

Menurut Harrison, pengalaman berhadapan dengan kekurangan darah suatu ketika dahulu menjadi salah satu sebab untuk dia menjadi penderma darah tegar.

Penyakit hemolitik

“Ketika berusia 14 tahun, saya pernah ditimpa kecelakaan dan kehilangan banyak darah.

“Ketika itu, doktor telah memasukkan darah daripada beberapa orang penderma ke dalam badan saya. Sejak itu, saya nekad untuk menjadi salah seorang penderma walaupun hakikatnya saya takut terhadap jarum.

“Saya sedar dengan menderma darah, banyak nyawa yang dapat diselamatkan,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai sumbangannya menyelamatkan 2.4 juta bayi di Australia, menurut Harrison, ketika dia baru berjinak-jinak dalam kerja-kerja murni itu, doktor mengesahkan bahawa darah yang disumbangkan itu mampu menghalang penyakit kematian sistem imunisasi dalam kalangan bayi baru lahir.

“Pada tahun 1960-an, satu penyakit dikenali hemolitik dikesan di negara ini. Ia menyebabkan darah wanita hamil menyerang sel darah bayi dan mengakibatkan kematian mengejut dalam kandungan.

“Kajian dibuat oleh Perkhidmatan Darah Palang Merah Australia mendapati, darah yang mengalir dalam tubuh saya menghasilkan kombinasi unik iaitu RhD-negatif dan Rh+ yang boleh diberikan kepada wanita hamil untuk mencegah gangguan darah dan seterusnya menyelamatkan nyawa bayi dalam kandungan.

“Darah yang didermakan ini diberikan khas kepada bakal ibu penghidap hemolitik,” jelasnya.

Darah Anti-D

Sepanjang menjadi penderma darah, Harrison berjaya menyumbangkan sebanyak 1,117 kantung darah yang digunakan untuk menyelamatkan nyawa 2.4 juta bayi termasuk cucunya sendiri.

Disebabkan itu juga, tidak hairanlah jika lelaki itu diberi jolokan lelaki lengan emas dalam kalangan masyarakat setempat.

“Sebaik diberitahu darah saya mempunyai Anti-D yang mampu merawat masalah imun bayi, saya rasa seperti seorang hero.

“Mengikut apa yang diberitahu oleh doktor, plasma darah yang didermakan oleh saya boleh menyelamatkan nyawa 18 bayi. Jadi, dalam masa 40 minit proses derma darah dilakukan, saya sebenarnya telah berjaya menyelamatkan ratusan nyawa,” jelasnya.

Menurut Harrison lagi, biarpun takut jarum, namun dia langsung tidak pernah mengambil keputusan untuk berhenti daripada menderma darah.

“Derma darah bukanlah satu perkara menyakitkan,” tegasnya.

Harrison yang dianugerahkan Medal Order of Australia pada tahun 1999, bagaimanapun telah dinasihatkan oleh Perkhidmatan Darah untuk menghentikan kerja-kerja menderma darah yang dilakukannya selepas mendapati dia telah melepasi had umur sebagai seorang penderma baru-baru ini.

“Saya sedih dengan keadaan itu. Jika boleh, saya mahu menyelamatkan banyak nyawa tetapi tidak mampu.

“Saya berharap lebih ramai individu yang mempunyai kesedaran untuk menderma darah,” jelasnya.