Sekali-sekala, dia berhenti melakukan aktiviti memangkas sambil menyeka peluh yang mengalir di wajahnya.

Sejak 19 tahun yang lalu, itu merupakan aktiviti yang dilakukan oleh Ma Sanxio, 70, bagi mengisi waktu lapang.

Hakikatnya, pesara tentera itu kudung di kedua-dua belah kaki dan telah menjadi tular selepas dia berjaya menanam sebanyak 17,000 batang pokok dalam tempoh 19 tahun dengan kudrat sebegitu.

Lebih membanggakan apabila aktiviti yang dilakukan oleh warga emas dari Jingxing, wilayah Hebei, China ini berjaya membuatkan ribuan pokok tersebut hidup subur, sekali gus mengubah kawasan tandus bukit itu menjadi sebuah pemandangan indah.

“Selepas bersara, saya mengalami masalah jangkitan kuman dalam darah sehingga kedua-dua kaki terpaksa dipotong.

“Kehidupan di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti sungguh membosankan. Pada waktu itu, saya berhadapan dengan masalah kewangan apabila duit pencen yang diperoleh habis digunakan untuk tujuan perubatan.

“Pada satu hari, saya menonton sebuah rancangan televisyen mengenai kaedah penanaman pokok. Bermula daripada situ, saya terpanggil untuk melibatkan diri dalam aktiviti perkebunan,” jelasnya.

Menurut Sanxio lagi, pada mulanya dia mendakwa aktiviti tersebut dilakukan untuk menampung kos kehidupan harian dan perubatannya.

Guna tongkat

“Niat saya pada mulanya untuk menanam dan menjualnya sebaik ia hidup subur.

“Bagaimanapun, apabila melihatkan pokok-pokok tersebut mula kembang subur dan mengubah pemandangan sekeliling, hasrat tersebut terbatal serta-merta.

“Hati saya mula terdetik untuk membiarkan sahaja pokok-pokok tersebut. Sekurang-kurangnya ia memberi manfaat kepada jiran-jiran sekeliling,” jelasnya.

Memulakan rutin seawal pukul 5 pagi setiap hari, menurut Sanxio dia akan memakai pakaian bersesuaian dan mendaki bukit kecil berkenaan dalam keadaan merangkak sebelum mula bercucuk tanam.

Dengan peralatan yang terhad, pesara askar ini menggunakan sarung tangan untuk menggali lubang-lubang kecil sebelum menanam anak-anak pokok yang diambil di kawasan kejiranan lain.

Pokok-pokok tersebut kemudian disiram mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Ia bukan kerja mudah bagi lelaki yang sudah tua dan tidak mempunyai kaki untuk berjalan. Sepanjang 19 tahun menanam pokok, saya telah beratus kali jatuh tergolek dari bukit tersebut.

“Kesukaran ini bagaimanapun tidak menghalang saya untuk terus berbudi kepada tanah kerana status saya sebagai pesara askar,” jelasnya.

Biarpun sepanjang merealisasikan projek tersebut Sanxio sering berhadapan dengan masalah kekurangan wang, namun dia berbangga apabila kerajaan China kini mula mengiktiraf sumbangannya kepada masyarakat dan menawarkan bantuan kewangan kepadanya.

Tentera

“Menanam membuatkan kehidupan saya lebih bahagia dan terlupa akan kemiskinan. Disebabkan itu saya akan terus bercucuk tanam sehingga ke akhir usia.

“Bagi saya, mereka bukan pokok. Sebaliknya ia diumpamakan sebagai tentera yang siap menerima arahan.

“Mereka membuat kehidupan saya berasa sangat lengkap. Saya akan menanam pokok selagi kudrat,” jelasnya.

Selain Sanxio, beberapa individu lain juga sebelum ini pernah tular apabila mendedikasikan hayat mereka kepada alam semula jadi.

Sebagai contoh, kisah pasangan suami isteri dari India iaitu Anil dan Pamela Malhotra yang berjaya mengubah tanah berkeluasan 550 hektar menjadi habitat haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Kejayaan tersebut menyebabkan mereka digelar sebagai Manusia Hutan.

Tidak lupa juga kisah Orang Hutan Bangladesh, Abdul Samad Sheikh yang menanam sekurang-kurangnya satu pokok setiap hari sepanjang hidupnya.

Pesara askar berjaya menukarkan sebuah bukit gersang menjadi habitat flora sejak 19 tahun lalu apabila tanaman yang diusahakan hidup subur.