Walaupun pada waktu itu telefon bimbitnya tidak berhenti-henti berdering, namun pemuda yang berasal dari Utara tanah air ini langsung tidak mengendahkan bunyi tersebut.

Mukanya kelihatan begitu kusut. Mana tidaknya, tarikh pernikahan antara dia dan Ain tinggal lagi dua minggu, namun anak sulung daripada tiga adik-beradik itu masih lagi gagal mengumpul wang hantaran yang diminta oleh pihak pengantin perempuan.

Jika diikutkan rasa, mahu sahaja graduan perakaunan daripada sebuah universiti awam sekitar Kuala Lumpur itu membatalkan ikatan pertunangan tersebut.

Bagaimanapun, apabila mengenangkan Ain, 25, pernah hampir membunuh diri kerana dia berhasrat untuk memutuskan tali pertunangan, Naim terpaksa membatalkan hasrat tersebut.

“Hampir gila saya jadinya. Setiap hari, saya terpaksa mencatu perbelanjaan bagi memastikan duit yang disimpan mencukupi.

“Sebenarnya, wang tersebut sudah lebih daripada mencukupi, tetapi keluarga Ain tiba-tiba memaksa saya melunaskan sekali bayaran majlis di pihaknya,” keluh Naim.

Curang

Menurut Naim, Ain merupakan rakan karibnya ketika melanjutkan pengajian di menara gading suatu ketika dahulu. Biarpun begitu, dia tidak menyangka persahabatan yang dibina boleh bertukar menjadi sayang.

“Walaupun rapat, namun saya akui perangai Ain yang terlalu cerewet dan mengada-gada menyebabkan saya tidak selesa.

“Bagaimanapun, tiada siapa yang dapat melawan ketentuan takdir. Entah bagaimana, kami berdua mula terpaut dan akhirnya bersepakat untuk menjalin hubungan kasih,” jelasnya.

Cerita Naim lagi, tiga tahun selepas melayari tempoh pertunangan yang penuh dengan dugaan itu, mereka berdua mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan.

“Rakan-rakan saya yang sedari awal mengikuti perhubungan kami melarang keras keputusan untuk bertunang.

“Tambahan pula sebelum ini Ain telah beberapa kali didapati curang dengan lelaki lain. Malah, mereka melabelkan Ain sebagai pengikis dan mata duitan kerana sentiasa meminta barangan berjenama daripada saya.

“Biarpun begitu, saya sendiri tidak tahu bagaimana boleh menjadi begitu lembut hati dan sentiasa memaafkan Ain atas setiap kesilapan yang telah dilakukan,” jelasnya.

Seperti yang dirancang, Naim menghantar rombongan meminang ke rumah Ain.

Bermula dari saat itu, hubungan Naim dan Ain menjadi semakin rumit.

“Ibu dan ayah saya tidak berkenan dengan Ain sekeluarga.

“Ibu mula tawar hati dengan mereka apabila ibu dan ayah Ain meminta wang hantaran sebanyak RM20,000. Kata mereka, wang hantaran itu setimpal dengan kelulusan Ain yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dan statusnya sebagai anak tunggal keluarga,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, disebabkan mahu menghormati pilihan Naim, ibu dan bapanya memberi ruang buat jejaka tersebut berfikir dan membuat pilihan.

Ditangkap khalwat

Cerita Naim, dugaan mereka semakin menjadi-jadi ketika tempoh pertunangan memasuki lima bulan apabila Ain ditangkap berkhalwat di sebuah hotel bersama rakan sekerjanya.

“Hancur hati saya apabila seorang rakan memberitahu terlihat kelibat Ain dan seorang lelaki memasuki hotel.

“Selepas menyiasat, kami menyerbu bilik hotel tersebut. Biarpun pada waktu itu Ain mengakui mereka tidak sempat berbuat apa-apa, namun hati saya sudah terlalu sakit dan tawar untuk meneruskan hubungan yang dibina,” ceritanya lagi.

Naim kemudian memutuskan tali pertunangan. Sangka Naim, keputusan tersebut akan membuatkan fikirannya lebih tenang.

Sebaliknya, semakin kusut apabila Ain mengugut untuk membunuh diri.

“Rakan Ain menelefon saya memberitahu Ain berada di bumbung pejabat dan ingin terjun ke bawah kerana kecewa tali pertunangan putus.

“Disebabkan tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku, saya terpaksa memujuknya dan menyambung semula ikatan pertunangan yang telah diputuskan,” jelasnya.

Tahap kesabaran Naim sekali lagi diuji apabila keluarga Ain memintanya melunaskan semua perbelanjaan majlis resepsi sebelah pengantin perempuan.

“Saya benar-benar tertekan, Sudahlah hantaran tinggi, disuruhnya pula membayar wang sewa premis perkahwinan bertemakan taman yang bernilai lebih RM50,000.

“Sehingga ke saat ini, wang simpanan yang dicampur dengan pinjaman peribadi hanyalah RM40,000 sahaja. Itu pun untuk digunakan untuk majlis keluarga saya selepas sebahagian daripadanya dijadikan sebagai wang hantaran,” jelasnya.

Menurut Naim lagi, dia begitu menyesal mengenali seorang gadis yang bernama Ain.

“Saya berharap Ain boleh berubah selepas kami sah disatukan beberapa minggu lagi,” jelasnya.

Akauntan muda yang berasal dari Utara tanah air tawar hati apabila terpaksa mengahwini wanita curang dan mata duitan.