Hal ini kerana wanita gemar mengenakan solekan dan merakam gambar-gambar mereka untuk dimuat naik di laman perkongsian gambar Instagram.

Begitu pun, lain halnya dengan seorang jejaka kacak dari Peterborough, United Kingdom (UK) apabila dia mengakui ketagih mengambil swafotonya setiap hari.

Junaid Ahmed, 22, cukup gemar menghabiskan masa sehingga tiga jam setiap hari untuk menyolek wajahnya dan bersiap hanya untuk merakamkan swafoto.

“Setiap hari, saya akan mengambil lebih 200 keping swafoto dan memilih satu atau dua untuk dimuat naik di Instagram.

“Saya sukakan perhatian dan pujian yang diberikan setiap kali pengikut di Instagram melihat gambar saya,” tuturnya jujur.

Junaid yang juga merupakan seorang model itu mempunyai lebih 50,000 orang pengikut di laman sosial Instagramnya, @junaidahmedx.

Dedah Junaid lagi, kegilaannya merakam swafoto itu kerana dia cukup sukakan struktur wajahnya yang dirasakan menarik.

Selain mengambil masa yang lama untuk menyolek wajahnya, Junaid juga mengakui bahawa dia sudah menjalani pelbagai pembedahan plastik untuk mengubah struktur wajahnya.

Suntik wajah

Antaranya termasuklah menyuntik pipi, bibir, dagu, rahang dan juga memutihkan serta mengilatkan giginya.

“Saya juga membuat suntikan botoks pada wajah dan mencacah tatu pada kening.

“Ya, untuk seseorang yang baru berusia 22 tahun, kos prosedur tersebut sememangnya amat banyak, namun saya akan melakukan apa sahaja bagi mendapatkan perhatian yang dimahukan di laman sosial,” tuturnya seperti dipetik portal berita pelik Oddity Central.

Dagu runcing, kening yang kemas terbentuk dan juga bibir mongel milik Junaid sememangnya melayakkan dia menjadi perhatian pengguna Instagram.

Junaid berkata, kegilaannya untuk merakam swafoto bermula apabila menyedari dia jadi teruja setiap kali swafotonya mendapat jumlah like yang tinggi.

“Setiap kali memuat naik sekeping swafoto, dalam tempoh satu minit sahaja, saya sudah menerima jumlah like yang sangat tinggi.

“Ia kadang-kadang menyebabkan telefon bimbit saya menjadi lambat, namun saya sukakannya,” ujar Junaid.

Jumlah like yang banyak kemudian membuatkan Junaid mahu ‘menaik taraf’ wajahnya melalui pembedahan plastik.

Menurut lelaki berambut hitam itu, dia tidak pernah menyangka wajahnya akan sesempurna ini.

“Beberapa tahun dahulu, wajah saya biasa sahaja dan saya tidak mengenakan mekap kerana mahu kelihatan asli.

“Begitu pun, semua itu berubah selepas saya mula menjalani pembedahan plastik pada wajah dan saya obses dengan wajah ini,” tuturnya.

Obses

Menurut Junaid, dia juga tidak terlepas daripada menerima komen-komen negatif daripada netizen yang muak melihat foto-fotonya.

Dedah Junaid lagi, dahulu dia cukup terkesan dengan komen-komen tersebut dan ia menjadikannya sedih.

Begitu pun, bekas penuntut jurusan fesyen di sebuah universiti di UK itu berkata, komen-komen tersebut kini tidak lagi memberi kesan kepada dirinya.

“Saya hanya fokus kepada komen-komen positif serta puji-pujian yang diberikan oleh pengikut yang sukakan swafoto saya,” jelasnya.

Selain gemar memuat naik swafoto, Junaid juga mempunyai satu lagi kegilaan iaitu memadam foto-fotonya yang mendapat jumlah like yang rendah.

“Sekiranya foto yang dimuat naik mendapat jumlah like lebih rendah daripada 500, saya akan memadamnya.

“Hal ini kerana, saya hanya mahukan swafoto atau wajah saya yang popular sahaja untuk kekal di Instagram,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Junaid turut mengakui dia akan merancang waktu yang paling sesuai untuk memuat naik fotonya supaya ia mendapat jumlah like paling tinggi.