Tindakan yang dilakukan oleh anak jati negeri Perak ini ke atas isterinya, Nadia (bukan nama sebenar) ternyata memakan dirinya sendiri apabila dia kini hidup seperti orang yang gila talak.

Biarpun peristiwa tersebut sudah tiga tahun berlalu, namun lelaki yang bekerja sebagai seorang guru ini mengakui, dia masih lagi tidak dapat menerima perpisahan tersebut.

“Setiap hari, saya hanya terbayang-bayangkan wajah Nadia hampir setiap masa.

“Dia merupakan wanita pertama yang saya cintai. Tidak sangka perhubungan yang bermula sejak di menara gading berakhir begini.

“Hati saya terasa seperti disiat-siat tatkala melihat kebahagiaan yang dikecapi Nadia bersama suaminya, Ahmad (bukan nama sebanar) dan puterinya pada masa kini,” jelasnya.

Mengimbau kembali detik-detik yang membawa kepada perpisahan itu, menurut Hussin, dia menjatuhkan talak tiga terhadap Nadia bahana sifat cemburu buta yang ada pada dirinya.

“Nadia bekerja sebagai ejen insurans. Pekerjaan tersebut menyebabkan dia selalu keluar kerana berjumpa dengan pelanggan.

“Rata-rata pelanggan Nadia merupakan lelaki. Kecantikan yang dimiliki merupakan bonus untuk dia dan memudahkannya mencari pelanggan.

“Walaupun hanya menjadi ejen insurans, namun kami suami isteri boleh dikatakan mampu hidup mewah. Ini disebabkan wang hasil komisen yang diperolehnya,” jelasnya.

Akui Hussin, sejak berkawan dengan Nadia di menara gading, dia akui sifat cemburunya semakin menjadi-jadi.

Gelang kaki

“Siapa tidak sayang teman wanita. Jangan kata beramah mesra, mengerling ke arah Nadia pun sudah cukup membuatkan darah saya mendidih.

“Selain cemburu, saya juga merupakan seorang yang panas baran dan mudah naik tangan jika berselisih faham. Sifat buruk ini menyebabkan kami sering bergaduh.

“Bagaimanapun, jodoh kami kuat dan kemudian disatukan ke jenjang pelamin. Saya sendiri tidak tahu bagaimana Nadia boleh bertahan dan menerima saya yang serba kekurangan,” jelasnya.

Menurut Hussin lagi, sepanjang enam bulan berkahwin, mereka suami isteri hidup dengan aman damai.

“Saya rasa bahagia. Tidak seperti ketika berkawan dahulu, hampir setiap hari kami bergaduh. Tetapi, kedamaian yang dikecapi tidak bertahan lama.

“Pada hari talak dilafazkan, saya terlihat Nadia bersama seorang lelaki menikmati makan tengah hari. Mereka bertepuk tampar dan bergelak ketawa tanpa segan silu.

“Paling membuatkan saya tercabar apabila melihat lelaki tersebut tunduk memakaikan Nadia gelang kaki. Kelelakian saya diuji. Tanpa berlengah saya terus menyergah mereka dan mengheret Nadia pulang ke rumah,” jelasnya lagi.

Dalam perjalanan pulang, Hussin mengakui telah menampar Nadia dan melafazkan talak tiga tanpa mendengar penjelasan daripada isterinya.

“Selepas talak dilafazkan, saya seperti tersedar daripada mimpi. Nadia menangis semahunya. Mukanya merah dan rambutnya kusut masai dikerjakan saya.

“Pada malam itu juga, Nadia keluar dari rumah kami menuju ke rumah orang tuanya. Alangkah malunya diri ini apabila adik ipar saya memberitahu lelaki itu sepupu rapat mereka yang baru pulang dari Amerika Syarikat.

“Gelang kaki itu adalah hadiah perkahwinan dan tanda maaf kerana tidak dapat pulang sewaktu majlis perkahwinan,” jelasnya.

Cina buta

Selepas hampir dua bulan tidak berhubung, Hussin dan Nadia akhirnya bersua muka bagi menyelesaikan kemelut itu.

Disebabkan perasaan sayang yang masih menebal dalam diri masing-masing, Hussin nekad untuk melakukan cina buta.

Nadia pula bersetuju untuk berkahwin dengan rakan bekas suaminya, Ahmad supaya mereka boleh bersatu selepas diceraikan.

Bagaimanapun, rancangan Hussin gagal. Perkahwinan yang dibina oleh Ahmad dan Nadia atas dasar cina buta berbunga mekar.

“Menurut kontrak, Nadia dan Ahmad hanya akan menjadi suami isteri selama tiga bulan. Tetapi, selepas lapan bulan berkahwin, mereka masih belum berpisah dan mengelak untuk bertemu dengan saya.

“Saya menjadi semakin bimbang apabila melihat gambar mesra mereka mula dimuat naik di laman sosial,” jelasnya.

Teka-teki yang bermain di benak Hussin akhirnya terjawab selepas melihat gambar Nadia yang sedang sarat hamil beberapa bulan kemudian.

“Hancur hati saya membaca komen-komen pada gambar tersebut.

“Saya sedar kekhilafan saya. Ahmad berjaya mencuri cinta Nadia. Walaupun reda, namun saya masih terbayangkan Nadia,” jelasnya.