Biarpun pada waktu itu peluh jantan dilihat berjurai-jurai keluar daripada permukaan kulit mukanya, namun dia langsung tidak mempedulikan keadaan tersebut.

Sebaliknya, bebola mata lelaki yang dikenali sebagai Quan Peng, 29, itu tekun merenung tajam ke arah sekeping peta yang dipegang. Riak wajahnya seakan sedang memikirkan sesuatu.

Sambil tersenyum, dia meletakkan kembali peta negara China itu ke dalam beg galas yang tergantung pada kiri kerusi tersebut sebelum meneguk sebotol air minuman.

Dua tahun

Walaupun pemuda yang berasal dari wilayah Gansu, sebuah kawasan yang terletak di barat China itu merupakan orang kelainan upaya (OKU), namun siapa sangka, dia berjaya mengembara ke beberapa buah bandar sekitar China dengan hanya berkerusi roda.

Percaya atau tidak, Quan Peng berjaya mengembara sejauh 5,670 kilometer merentasi 43 buah bandar raya di negara tersebut dalam tempoh dua tahun.

“Sejak kecil saya memang gemar mengembara. Bagaimanapun, kekurangan fizikal sedikit sebanyak membantutkan pergerakan saya.

“Ketika dewasa, saya berazam untuk memenuhi impian yang sekian lama terpendam. Disebabkan itu, pada tahun 2014, saya mengambil keputusan nekad untuk mengembara mengelilingi China dengan kudrat yang ada,” jelasnya.

Menurut Quan Peng lagi, keluarga pada mulanya menghalang hasratnya untuk melakukan misi pengembaraan secara solo disebabkan oleh kekurangan fizikal yang dialami.

Bagaimanapun, Quan Peng tetap berkeras dan meyakinkan keluarganya bahawa dia mampu menjaga diri dengan baik.

“Sudah lapan tahun saya duduk terperuk di rumah tanpa ke mana-mana. Jadi, apa salahnya saya manfaatkan kerusi roda yang dimiliki ini untuk sesuatu yang sudah lama saya ingin lakukan.

“Saya bersyukur sepanjang pengembaraan ini, semua urusan saya dipermudahkan. Bukan itu sahaja, saya juga dikelilingi oleh individu-individu yang baik hati dan sentiasa menghulurkan pertolongan,” jelasnya.

Biarpun begitu menurut Quan Peng, kekurangan fizikal yang dialaminya menyebabkan dia tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Gunung Taishan

Disebabkan itu, beliau yang pada mulanya menjangkakan pengembaraan tersebut hanya akan mengambil masa selama sembilan bulan terpaksa memanjangkan tempoh perjalanan tersebut sehingga dua tahun.

“Pergerakan saya terbatas kerana menggunakan kerusi roda. Tempoh perjalanan juga lebih panjang memandangkan saya menggunakan tenaga hanya daripada dua belah tangan untuk menyorong kerusi roda tersebut.

“Bagaimanapun, setakat ini cabaran terbesar sepanjang pengembaraan tersebut ialah ketika berada di Taishan iaitu salah sebuah gunung suci di Shandong.

“Disebabkan terlalu malu untuk meminta pertolongan, saya turun dari kerusi roda dan merangkak ke puncak gunung. Percaya atau tidak, saya berjaya tiba ke puncak gunung dan turun meneruskan semula pengembaraan dengan selamat,” ceritanya lagi.

Selain misi pengembaraan berkerusi roda secara solo, Quan Peng juga mahu mengkaji kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh golongan OKU sepertinya di bandar-bandar sekitar China.

“Menurut angka terkini daripada Persekutuan Orang Kelainan Upaya China, sebanyak 85 juta penduduk di negara ini adalah OKU.

“Negara ini telah berusaha meningkatkan kemudahan untuk golongan OKU dengan memasang tanjakan kerusi roda selain membina ratusan tandas kurang upaya di bandar-bandar besar seperti Beijing dan Shanghai.

“Disebabkan itu, saya mahu melihat sendiri kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU supaya mereka dapat bergerak seperti manusia normal yang lain,” jelasnya.

Pemuda orang kelainan upaya cabar diri mengembara sejauh 5,670 kilometer merentasi 43 bandar raya dalam tempoh dua tahun.