Pasar Chowrasta yang terletak di Jalan Penang, George Town, Pulau Pinang cukup sinonim dengan kepelbagaian jeruk dan biskut tambun berinti kacang, pandan dan sambal udang. Tidak lengkap rasanya kunjungan ke Pulau Mutiara tanpa menjejak kaki ke pasar tertua di negeri ini.

Beroperasi kira-kira 127 tahun lalu, pasar yang menempatkan lebih 214 gerai termasuk pasar basah di bangunan dua tingkat itu mempunyai identiti dan budaya tersendiri dalam memasarkan produk-produk tempatan dari Pulau Pinang.

Selain berpeluang menikmati rasa asli jeruk, majoriti peniaga di pasar itu merupakan pewaris kepada peniaga-peniaga asal.

Pasar Chowrasta menjadi saksi kepada lebih lima generasi peniaga yang berpengalaman lebih enam dekad lalu.

Kepada seorang peniaga jeruk, Ong Ah Boon, 71, pasar berkenaan dianggap sebagai sebahagian daripada nadi kehidupan keluarganya sejak zaman remajanya.

“Dahulu, biarpun ruang perniagaan di pasar ini (Pasar Chowrasta) dikatakan terlalu sempit namun tetap dianggap sebagai pasar raya utama bagi kalangan penduduk tempatan.

“Kedai ini asalnya telah dibuka oleh bapa saya sejak 60 tahun lalu. Dahulu, kami hanya menjual kurang daripada lapan jenis jeruk termasuk satu jenis biskut tambun buatan sendiri. Orang dahulu tidak ramai gemar makan asam dan ia hanya popular dalam kalangan pelanggan Cina sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Cerita warga emas itu lagi, dia mula mengambil alih perniagaan keluarganya itu selepas kematian ibu bapanya. Dia turut dibantu oleh seorang anak lelakinya.

“Perniagaan warisan keluarga ini kini mula mendapat tempat di hati pelanggan pelbagai kaum termasuk pelancong di dalam dan luar negara terutama Jerman, Amerika serta Australia berbanding pada awal pembukaan dahulu.

“Kehadiran penggemar jeruk dilihat semakin bertambah sejak bangunan Pasar Chowrasta diubah suai pada penghujung tahun 2016,” katanya.

Bacaan ilmiah

Seorang peniaga buku terpakai, Gulam Mohamed Mohd. Haniffa, 62, telah menjalankan perniagaan secara turun-temurun sejak 35 tahun lalu selepas bapa saudaranya yang juga pemilik asal kedai berkenaan meninggal dunia.

Sejak itu, dia yang dibantu anaknya, Muhammad Assalam, 30-an, akan mencari naskhah lama pelbagai bahasa di serata negeri bagi memenuhi kehendak pelanggan sama ada dari dalam ataupun luar negara.

“Keputusan untuk meneruskan bisnes bapa saudaranya adalah kerana minat yang mendalam terhadap bahan bacaan ilmiah sejak usia remaja selain mempunyai hobi mengumpul buku lama yang diperoleh daripada rakan, saudara-mara serta pencinta buku,” katanya.

Persaingan sihat

Berkongsi pengalamannya berniaga di pasar tersebut, banyak pembaharuan boleh dilihat di Pasar Chowrasta hari ini berbanding tiga dekad lalu terutama dari sudut reka bentuk bangunan dan sumber ekonomi.

“Dahulu, ruang dalaman gerai di sini terlalu sempit dan buku-buku pula hanya diletakkan di atas lantai premis. Bukan setakat itu, jumlah pelanggan pada masa itu boleh dikira dengan jari iaitu tidak kurang dua pelanggan sehari. Semasa itu, hendak memperoleh RM10 dalam seminggu pun payah.

“Boleh dikatakan pasar ini pernah ‘mati’ seketika disebabkan kurang mendapat sambutan daripada pengunjung selain tiada promosi yang diketengahkan daripada pihak berkaitan,” ujarnya buku-buku terpakai dijual pada harga antara 20 hingga 50 sen sahaja dua dekad lalu.

Bagaimanapun menurut anak jati Pulau Pinang itu, perniagaan yang diusahakannya itu pada hari ini semakin mendapat tempat di hati para pencinta buku dari luar negara seperti Amerika, Sweden dan Kanada selepas pasar berkenaan dinaik taraf.

“Kini, saya mengumpul lebih 600,000 buah buku lama termasuklah buku rujukan universiti, komik, novel sastera, buku cerita kanak-kanak dan majalah,” katanya harga bagi setiap buku dijual antara 50 sen hingga RM25.

Sementara itu, bagi peniaga pakaian, Sim Chew Keong, 58, pada awalnya membantu ibu menguruskan perniagaan sebelum mengendalikan sendiri bisnes itu pada tahun 1988 mengakui pasar itu melalui banyak transformasi.

Antaranya dari segi keluasan, kebersihan serta sistem pengudaraannya yang jauh lebih baik.

“Sebetulnya, saya lebih suka perniagaan yang terdahulu kerana semasa itu pasar ini boleh diibaratkan sebagai sebuah kompleks beli-belah popular dalam kalangan penduduk tempatan selain adanya Komplek Tun Abdul Razak (Komtar).

“Semua jenis pakaian dan kasut ada dijual di sini pada harga yang murah. Dahulu, setiap kali menjelangnya perayaan Aidilfitri dan Tahun Baru Cina, ramai pelanggan dari Kulim, Kedah, Taiping, Perak dan Balik Pulau akan datang ke sini tetapi hari ini tidak,” jelasnya.

Bagaimanapun, bagi seorang pengunjung, Liakat H. Ali, Pasar Chowrasta tetap menjadikan pilihan keluarganya untuk membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri meskipun tidak banyak pilihan.

Tambah Liakat, anak-anak dan isterinya juga sudah terbiasa membeli-belah di situ sebelum ini dan mereka juga saling mengenali dengan sebahagian besar peniaga di situ.

“Harga pakaian di sini boleh dikatakan lebih murah berbanding di tempat lain dan boleh tawar-menawar sehingga mencecah harga yang paling rendah daripada biasa,” ujarnya.