Pemuda berkulit sedikit gelap yang seolah-olah terbakar dan tiada rambut itu menghadiri latihan orkestra setiap dua kali seminggu selama dua jam bersama kira-kira 60 ahli pasukan Alam Shah Wind Orchestra (ASWO).

Ia sebagai persediaan untuk menghadapi Festival 10th Winter Band di Hong Kong pada hujung November ini.

Sejurus Dr. Muhamad Noor Alfarizal Kamarudin, 32, selaku Ketua Konduktor ASWO memasuki Studio Orkestra SAS itu, beliau segera mengambil posisi di hadapan anak-anak didiknya yang sudah bersedia dengan alat muzik masing-masing.

Meskipun tugas hakikinya sebagai Pegawai Penyelidik di Brain Research Institute Monash Sunway (BRIMS), Universiti Monash, anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang itu sanggup mengorbankan masa dan tenaganya menjadi tenaga pengajar ASWO demi minat yang mendalam terhadap muzik orkestra.

“Jiwa saya sentiasa hidup dengan muzik. Saya berfikir dalam muzik dan memandang setiap sudut kehidupan umpama rentak muzik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di SAS, Putrajaya baru-baru ini.

Luar biasa

Minat anak kepada Kamarudin Kichut, 61, dan Noor Azizah Ahmad, 57, itu mula dipupuk setelah beliau menyertai ASWO ketika berusia 13 tahun dengan bermain trompet.

Ketika itu, beliau berasa amat tenang dengan bunyi yang dihasilkan menerusi tiupan trompet tersebut menyebabkan dia bertekad untuk terus mendalami bidang berkenaan.

Sehinggalah beliau menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya dalam jurusan Biokimia, minatnya terhadap muzik orkestra tidak sesekali padam.

Di menara ilmu itu, beliau menyertai pasukan Big Band Universiti Malaya dan Universiti Malaya Simfoni Orkestra (UMSO) bagi mengutip seberapa banyak pengalaman dalam persembahan pentas orkestra.

Bagi mendalami lagi bidang muzik, Muhamad Noor Alfarizal atau lebih dikenali sebagai Alfa turut mendapatkan Diploma Pengajaran Muzik dari Lembaga Peperiksaan Muzik Antarabangsa (IMEB) Australia semasa masih menjadi penuntut pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang Biokimia di Universiti Malaya.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang muzik orkestra selama 19 tahun, saintis yang memiliki bakat luar biasa itu berjaya meraih pelbagai anugerah dan kemenangan yang tidak disangka-sangka.

Selain pernah menerima Anugerah Konduktor Terbaik pada Pertandingan Wind Orchestra Kolej Pendeta Za’ba, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2015 dan 2016 serta Festival Pertandingan Wind Orchestra Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh 2016, anak kedua daripada empat adik-beradik itu berjaya merangkul anugerah Favourite Band pada Festival Summer Band Music di Jeju, Korea Selatan dan anugerah Emas Kepujian serta Markah Tertinggi di Malaysia International Music and Arts Festival 2015 hingga 2017.

Malah, bakatnya turut diiktiraf apabila mengiringi persembahan tokoh muzik terkemuka negara seperti Datuk Mokhzani, Datin Alyah, Datuk Khatijah Ibrahim, Jaclyn Victor, Sarah Raisuddin, Ning Baizura dan Mus May bersama UMSO, Big Band serta ASWO.

Didiagnosis

Rasa cintanya terhadap muzik orkestra tidak pernah pudar bahkan sehingga beliau disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Januari lalu, perkara pertama yang bermain dalam fikirannya adalah muzik orkestra dan masa depan ASWO.

Oleh kerana itu, beliau sanggup menaiki kapal terbang dari Pulau Pinang ke Putrajaya setelah menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang semata-mata mahu menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Kanser mungkin cuba menguasai diri, namun ia tidak akan sesekali memisahkan saya dengan muzik dan merampas kecintaan terhadap minat serta usaha saya selama ini,” katanya.

Anak tunggal lelaki daripada empat beradik itu mengakui, antara cabaran yang dihadapi dalam membimbing ASWO adalah berdepan dengan pelbagai kerenah ahli-ahli.

Bagaimanapun, beliau bertindak secara profesional dengan menggunakan pendekatan psikologi terbalik bagi memberi motivasi kepada mereka.

Alfa mula didiagnosis menghidap kanser limfoma setelah menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, Selangor apabila mengalami pembengkakan kelenjar pada bahagian tengkuk kirinya.

Alfa seolah-olah sudah menjangka akan nasib yang bakal diterimanya apabila beliau sering mengalami demam, hilang berat badan secara mendadak sehingga tujuh kilogram dan berpeluh dengan kerap pada waktu malam.

Selepas disahkan menghidap penyakit itu, Alfa terus menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam sesi selama hampir lima bulan di Hospital Pulau Pinang.

“Tiga sesi rawatan kemoterapi yang pertama agak mencabar. Sama seperti pesakit lain, saya juga mengalami demam, ulser pada mulut, kehilangan tenaga, keguguran rambut, muntah, sakit kepala serta urat.

“Kadang-kadang berjalan lima minit pun tidak mampu sehingga terpaksa duduk di atas kerusi roda. Masuk sahaja sesi rawatan kemoterapi keempat, tubuh mula memberi tindak balas positif dan kesannya semakin berkurang walaupun doktor menaikkan dos ubat,” katanya.

Beliau berkata, keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa bersama semasa menjalani rawatan adalah pendorong utamanya untuk terus kuat menjalani kehidupan seharian.

Malah, Alfa memberitahu, pelbagai impian yang masih belum dicapainya dalam hidup menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang bermati-matian berperang dengan kanser.

“Saya mahu membahagiakan keluarga sebelum masa yang sedikit ini berakhir. Seperti orang lain, saya juga mahu mendapatkan kebahagiaan sendiri.

“Saya tidak pernah berfikir kekangan apabila berdepan dengan kanser tetapi apa yang boleh dilakukan untuk mengisi masa yang masih bersisa dengan muzik orkestra,” ujarnya.

Dr. Muhamad Noor Alfarizal Kamarudin menjadikan muzik sebagai terapi untuk menenangkan jiwa, sekali gus melupakan seketika penderitaan yang sedang ditanggung.