LAM THYE
LAM THYE

Tingkah laku buli sebenarnya tidak terhad kepada buli secara fizikal seperti memukul individu, tetapi turut meliputi buli secara lisan seperti memalukan individu dengan kata-kata serta buli secara psikologi seperti mendiskriminasikan individu.

Kejadian membabitkan Zufarhan Osman Zulkarnain dan T. Nhaveen yang maut di tangan pembuli masing-masing di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan George Town, Pulau Pinang tahun lalu adalah sebahagian lakaran gejala buli yang semakin parah melibatkan golongan remaja.

Tidak berakhir di situ, baru-baru ini tular di media sosial dua remaja lelaki membuli seorang pemuda berstatus orang kelainan upaya (OKU) selain bertindak melarikan telefon bimbit Samsung J2, wang tunai RM20 dan beg sandang milik mangsa.

Medium sosial menjadi wadah manifestasi kemarahan masyarakat terhadap kes-kes buli yang berlaku dan mendesak usaha yang lebih komprehensif diambil untuk menangani isu tersebut.

Pengalaman

MARIANI
MARIANI

Pengarah Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, kes-kes buli yang berlaku kebanyakannya didorong oleh faktor tidak puas hati atau berdendam disebabkan pengalaman lalu.

“Suspek mungkin pernah menjadi mangsa buli sehingga menyebabkan timbulnya perasaan untuk membalas dendam dan membuktikan bahawa dia tidak lemah seperti yang disangkakan.

“Justeru, suspek akan bertindak secara agresif kepada mangsa yang lemah apabila mempunyai peluang semata-mata untuk membalas dendam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Malah, kata beliau, insiden buli turut berlaku hanya untuk meraih perhatian disebabkan faktor kurangnya kasih sayang.

“Impaknya, mangsa buli bukan sahaja akan terganggu emosinya malah akan menjadi murung, pendiam dan penakut seterusnya membentuk tingkah laku yang lebih ganas pada masa depan,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lim Lam Thye berkata, kegagalan membendung isu buli yang berlaku adalah disebabkan tiada penyelesaian bagi punca-punca utamanya iaitu pengaruh negatif rakan sebaya, bimbingan ibu bapa yang tidak mencukupi, pengaruh buruk internet dan gangsterisme.

Disebabkan itu, Lam Thye berkata, budaya ganas dan buli perlu ditangani menggunakan pendekatan holistik dengan sokongan daripada semua pihak termasuk ibu bapa, guru, ahli psikologi dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Kementerian Pendidikan perlu memberi keutamaan kepada usaha menyemai sikap saling menghormati dalam kalangan pelajar agar mereka menjadi sahabat yang baik, menghargai satu sama lain dan tidak terlibat dalam aktiviti membuli dan keganasan.

“Dalam konteks ini, subjek Pendidikan Moral harus diperkukuhkan dengan memberi penekanan terhadap kepentingan mempelajari dan mengamalkan 36 nilai murni di sekolah,” katanya.

Terang Lam Thye, tindakan memaksa pelajar menghafal 36 nilai murni semata-mata untuk lulus subjek Pendidikan Moral bukanlah keputusan yang bijak, sebaliknya perlu disusuli dengan mengamalkan nilai-nilai tersebut.

Selain itu, Lam Thye berkata, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mempunyai keseimbangan yang sempurna dari aspek fizikal, mental dan emosi.

“Hal ini boleh dilakukan dengan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak dan sentiasa mengambil berat tentang masalah, keperluan dan aspirasi mereka,” katanya lagi.

Di samping itu, Lam Thye berkata, pihak kerajaan perlu membuat kajian mendalam untuk meminda Akta Pendidikan 1996 sedia ada ataupun mewujudkan sebuah akta khusus untuk mengawal serta mengekang kejadian buli di sekolah, seperti yang diamalkan di negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat.

“Melalui akta berkenaan, setiap kes buli di sekolah dapat disiasat dengan lebih terperinci serta bersesuaian dengan prosedur yang sepatutnya bagi menyiasat kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pihak sekolah juga perlu diwajibkan untuk mempamerkan polisi khusus mengenai buli. Polisi itu akan dapat memberi kesedaran kepada semua pihak di sekolah terutamanya pembuli untuk menjauhkan diri daripada terlibat dalam kes buli,” katanya.