Acuan melengkung itu dibentuk dengan menggunakan lengkungan tempat memandikan jenazah. Mereka silih berganti mengetuk acuan tersebut sehingga ia tanggal daripada tempat mandian jenazah itu. Acuan tersebut terdiri daripada empat lapisan gentian kaca. Daripada acuan itu terhasillah tempat membasuh pinggan mangkuk untuk kegunaan sewaktu kenduri. Acuan tersebut juga boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk lain seperti bot kecil gentian kaca.

“Proses membuat acuan ini memakan masa selama tiga hari. Walaupun berdepan masalah bahasa, penduduk pelbagai peringkat umur tetap memberi sokongan dan menerima ilmu yang saya sampaikan dengan semangat tinggi.

“Saya dapat melihat wajah kepuasan dalam kalangan penduduk yang hadir kerana mereka mendapat ilmu baharu. Dalam kalangan mereka ada yang pernah menghasilkan bot kayu disalut gentian kaca, tetapi ia dilakukan ikut pengalaman sendiri dan bukannya kaedah yang betul,” kata Nurul Ika Fatihah Ahmad Zakhir, 20, kepada K2 baru-baru ini.

Pelajar Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur itu merupakan salah seorang daripada 27 peserta yang mengikuti Program Libatsama Komuniti UTM@Aceh 2019 pada 20 hingga 27 April lalu yang membantu mendedahkan masyarakat Aceh dengan pelbagai pengetahuan misalnya ilmu teknologi pembuatan berasaskan gentian kaca dan perkebunan menerusi bengkel-bengkel serta perkongsian ilmu menerusi aktiviti keluarga angkat.

Program berkenaan turut melibatkan para pelajar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu seramai lima orang, dua pelajar Universiti Malaya (UM) dan seorang Universiti Putra Malaysia (UPM). Turut terbabit, 10 orang pegawai pengiring.

Matlamat utama program berkenaan adalah untuk membantu mempercepat proses pembangunan komuniti berilmu dalam kalangan penduduk kawasan luar bandar di Aceh.

Ia juga mendapat kerjasama daripada Sekolah Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSpace) Kuala Lumpur.

Program itu secara asasnya memberi pendedahan berimpak kepada pelajar universiti terlibat mengenai sosial, budaya dan ekonomi komuniti di kawasan berkenaan, sekali gus ‘bebas jurang’ antara warga universiti awam dan komuniti dapat direalisasikan.

Menyingkap sejarah program berkaitan kemasyarakatan anjuran UTM itu, ia mulanya dikenali sebagai Tanggungjawab Sosial Universiti dan ditukar kepada Program Khidmat Masyarakat. Kini, ia dikenali sebagai Program Libatsama Komuniti UTM. Selain penganjuran di peringkat dalam negara, ia turut dianjurkan di luar negara terutamanya di Indonesia.

Temu duga

Ketua Pengarah program berkenaan, Muhammad Zaim Akhyak, 20, berkata, pemilihan Aceh diputuskan setelah pihak di negara berkenaan beberapa kali menjemput pihak UTM untuk menganjurkan aktiviti di situ.

“Setelah itu, kami membentuk jawatankuasa yang terdiri daripada lima orang pensyarah, penasihat program dan 19 pelajar. Perancangan aktiviti ini mengambil masa kira-kira enam bulan iaitu bermula pada November tahun lalu.

“Kami juga melakukan temu duga dalam kalangan ahli Kelab Kelana Siswa bagi memilih para peserta. Kriteria yang dilihat dalam pemilihan para peserta adalah berdasarkan komitmen dan kelebihan-kelebihan mereka.

“Para pelajar UKM, UPM dan UM dijemput melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) masing-masing bertujuan untuk meluaskan rangkaian kenalan antara pelajar Malaysia sendiri selain memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman mengikuti program seumpama itu di peringkat antarabangsa,” katanya yang merupakan pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal, UTM.

Bagi memantapkan lagi Program Libatsama Komuniti UTM@Aceh 2019 itu, UTM turut mengadakan kolaborasi dengan beberapa pihak di Aceh seperti Dunia Melayu Dunia Islam, Yayasan Darud Donya, Universitas Syiah Kuala dan Walikota Banda Aceh.

Ia bukan satu tugas mudah. Justeru, bagi memastikan kelancaran program, pada bulan Disember lalu, pihak UTM telah mengadakan lawatan tapak bagi mengenal pasti projek atau aktiviti yang boleh dibuat di Aceh yang dapat membantu menambah pendapatan penduduk.

Menurut Muhammad Zaim, selepas lawatan tapak dilakukan, kedua-dua pihak iaitu di Malaysia dan Aceh saling berhubungan bagi memastikan pelaksanaan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Begitupun, ia bukan mudah kerana menganjurkan program di luar negara, masalah bahasa merupakan satu cabaran besar. Ini kerana, bahasa Indonesia agak berbeza dengan bahasa Melayu. Terdapat perkara yang kita nyatakan tidak difahami oleh mereka. Jarak antara Malaysia dan Aceh juga menyukarkan lagi proses perbincangan,” katanya yang pertama kali mengendalikan program yang bertaraf antarabangsa.

Antara program yang dilakukan ialah bengkel gentian kaca, bengkel penanaman fertigasi, pembersihan kubur lama Aceh, penanaman pokok paya bakau dan pembersihan pantai. Beberapa peserta juga terlibat dalam program keluarga angkat.

Tambah pendapatan

Sementara itu, Poovan Muthaliar Poobalen, 20, turut mendapat pengalaman bermakna apabila berjaya mengendalikan bengkel penanaman fertigasi yang disertai penduduk Aceh.

Fertigasi adalah kaedah pemberian baja terhadap tanaman melalui sistem pengairan titis. Dalam sistem ini, cecair baja disalurkan di dalam pengairan. Ketersediaan nutrien yang tinggi di dalam sistem ini membolehkan baja diambil oleh tanaman dengan efisien. Dalam kaedah ini, baja cecair dan baja larut air digunakan. Tahap efisien baja meningkat 80 hingga 90 peratus dengan mempraktikkan sistem ini.

Menurutnya, persediaan yang rapi sejak empat bulan sebelum program membuahkan hasil yang membanggakan apabila penduduk tempatan hadir mendengar penerangan berkaitan tanaman fertigasi.

“Bengkel ini dikendalikan oleh dua pensyarah UTM yang pakar dalam bidang tersebut dan saya yang menguruskan program. Justeru, penduduk mendapat ilmu yang berguna daripada kedua-dua mereka bermula daripada penyediaan tapak, peralatan, penyemaian anak benih dan penjagaan. Diharapkan, ilmu tersebut dapat digunakan oleh penduduk untuk menambah pendapatan. Ini kerana, kaedah ini lebih mudah dari segi penjagaan terutamanya penyiraman yang dilakukan secara automatik menggunakan mesin masa.

“Penduduk di Gampong Lamdingin ini kebanyakan bekerja sebagai nelayan, kerja kampung dan kehidupan mereka adalah sederhana. Justeru, mereka amat menghargai ilmu fertigasi ini yang boleh dijadikan sumber pendapatan baharu bagi mereka,” katanya yang merupakan pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik), UTM.

Poovan menyifatkan Aceh sebuah lokasi yang sesuai dan menarik untuk mereka menabur bakti.

Jelasnya, walaupun penduduk Aceh majoriti beragama Islam, namun dia tidak menghadapi sebarang masalah, malah menerima layanan yang sangat baik.

“Penduduk Aceh juga kembali bangkit selepas kejadian tsunami pada tahun 2004. Mereka tabah dan gigih menjalani kehidupan harian. Hasilnya, Aceh pada hari ini semakin maju dengan pelbagai kemudahan dibangunkan,” katanya.

Program Libatsama Komuniti UTM@Aceh pada 20 hingga 27 April lalu bukan sahaja memberi pendedahan berimpak kepada para peserta, malah membantu mempercepatkan pembangunan komuniti berilmu di kawasan luar bandar Aceh.