Sifat ingin tahu terpancar pada wajah Muhammad Arif Muhammad Yusuf ketika menyentuh tekstur yang berbeza-beza pada dinding tersebut. Ada yang berbulu, bermanik, kasar, lembut dan tajam.

Biarpun terdapat sesetengah daripada tekstur itu tidak disukai kanak-kanak itu, namun dia seronok bermain dengan dinding deria tersebut.

Menurut ibu kepada Muhammad Arif, Putri Nadeeya Wan Mohd. Zahari, 35, anak tunggalnya yang merupakan penghidap autisme itu gemar datang dan bermain di pusat beli-belah berkenaan untuk melakukan aktiviti yang digemari.

Tuturnya, boleh dikatakan hampir setiap minggu dia akan ke kompleks mesra autisme itu bagi memberi ruang serta peluang kepada anaknya bermain dan meneroka aktiviti yang disukai.

“Apabila sampai sahaja, kami akan ke Taman Permainan C-A-T kerana dia suka melihat kucing-kucing di situ. Kadang-kala dia akan membawa buku dan pensel warna bersama-sama.

“Selepas itu kami akan ke taman permainan dalaman, The Parenthood pula untuk dia bermain gelungsur. Selepas penat dia sendiri akan mengajak saya balik ke rumah,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Apa yang membuatkan Putri Nadeeya tertarik dengan Sunway Putra adalah kerana kemudahan yang disediakan amat mudah digunakan dan sesuai dengan penghidap autisme.

Sunway Putra yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur muncul sebagai pusat beli-belah pertama di Malaysia yang mengetengahkan konsep mesra autisme.

Bertenang

Kata Putri, pernah anaknya yang mempunyai autisme kategori sederhana itu berasa rimas atau penat dan memerlukan sebuah tempat sunyi untuk berehat, lalu dia disarankan oleh kakitangan pusat beli-belah itu untuk ke ‘bilik bertenang’ yang terletak di tingkat LG kompleks itu.

“Orang ramai mungkin tidak tahu betapa sukar membawa anak penghidap autisme keluar ke pusat beli-belah tetapi dengan adanya kemudahan seperti ini ia amat membantu kami.

“Ditambah pula, kakitangan di kompleks ini semuanya sudah terlatih. Mereka tidak kekok untuk menghulurkan bantuan walaupun tanpa diminta,” ujarnya yang mempunyai sebuah pusat kecergasan di Putrajaya.

Golongan autisme atau Gangguan Spektrum Autisme (ASD) adalah golongan yang tidak mempunyai kemampuan sama seperti orang normal. Oleh itu, mereka diklasifikasikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Menurut kamus Oxford Advance Leaner, autisme merupakan gangguan psikologi terhadap perkembangan komunikasi, sikap, emosi, gerakan tubuh badan, sosial dan sentuhan seseorang.

Mereka mempunyai perasaan sama seperti manusia normal tetapi mempunyai kesukaran dalam meluahkan emosi.

Ketua Pemasaran Sunway Putra, Ng Huay-Pin berkata, statistik daripada Pusat Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) mencatatkan 300,000 komuniti autisme berdaftar direkodkan di negara ini. Itu tidak termasuk yang belum berdaftar.

“Angka itu semakin meningkat setiap hari disebabkan terdapatnya kesedaran dalam kalangan orang awam. Walaupun kesedaran ada tetapi kemudahan untuk golongan ini kurang.

“Jadi kami yang juga mempunyai ahli keluarga daripada golongan autisme faham akan kekurangan itu lalu mengambil langkah menyediakan kemudahan untuk golongan ini di Sunway Putra,” ujarnya.

Sejak 8 Januari lalu, Sunway Putra telah memperkenalkan program Autsome dan menetapkan hari Selasa (kecuali cuti umum) sebagai Hari Membeli-Belah Mesra Autisme untuk golongan tersebut.

Program Autsome yang diambil daripada singkatan perkataan autisme dan awesome diperkenalkan untuk mendidik, menyokong dan meraikan golongan tersebut.

Latihan

“Kami sengaja memilih hari Selasa kerana pada hari biasa kurang sikit pengunjung berbanding pada hujung minggu. Apa yang kami lakukan pada hari Selasa, Sunway Putra akan memperlahankan muzik dan memalapkan lampu bagi keselesaan pengunjung autisme.

“Selain itu, kami turut menyediakan tempat letak kereta khas kepada mereka yang mempunyai pelekat kereta Autsome. Ada 10 tempat parkir istimewa disediakan berhampiran pintu masuk kepada mereka,” terangnya.

Malah, Sunway Putra turut menempatkan pegawai keselamatan kerana bagi mereka yang pertama kali datang pasti tidak ada pelekat kereta, jadi pegawai keselamatan akan dapat membantu.

Tambah Huay-Pin, latihan juga diberikan kepada semua kakitangan termasuklah kakitangan khidmat pelanggan, pegawai bantuan keselamatan, kakitangan bahagian operasi dan penyewa kedai agar mesra autisme.

“Mereka semua ini adalah individu yang sentiasa berada pada barisan hadapan pusat beli-belah ini. Kami bekerjasama dengan Nasom dan pusat terapi, Autism Behavioral Center (ABC) dalam memberikan latihan tersebut.

“Latihan yang diberikan merangkumi cara untuk mengenal pasti golongan autisme kerana tidak semua autisme boleh dilihat dari fizikal luaran semata-mata,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Perkhidmatan Pelanggan Sunway Putra, Saiffulzalizzan Sulong berkata, selepas inisiatif itu dilancarkan, pihaknya mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai dan sehingga ke hari ini hampir 700 golongan autisme sudah berdaftar.

“Angka ini semakin meningkat daripada hari ke hari menerusi pendaftaran yang boleh dibuat secara dalam talian.

“Apabila pendaftaran secara online, jadi seluruh rakyat Malaysia boleh menyertainya tetapi bagi mereka yang berkesempatan datang ke sini, mereka boleh membuat pendaftaran di kaunter khidmat pelanggan,” tuturnya.

Jelas Saiffulzalizzan lagi, usai pendaftaran, mereka perlu ke kaunter khidmat pelanggan untuk mendapatkan Autsome Kit.

Tambahnya, apa yang ada pada kit tersebut adalah gelang getah tangan untuk tujuan mengenal pasti, pelekat parkir dan maklumat berkaitan kaedah menikmati kemudahan mesra autisme.

Lorong keutamaan

“Antara kelebihan yang bakal diperoleh adalah tempat masuk percuma ke taman permainan kanak-kanak The Parenthood di tingkat dua dan bermain di Taman Permainan C-A-T serta diskaun di kedai-kedai terpilih.

“Malah, penyewa-penyewa kedai turut memberikan lorong keutamaan kepada mereka. Jadi mereka akan didulukan dan tidak perlu beratur kerana kanak-kanak ini tidak ada sifat sabar dalam apa juga keadaan,” terangnya.

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Sunway Putra, Melissa Hashim berkata, apabila pihaknya sudah mula melakukan inisiatif tersebut, mereka berharap ia akan menjadi tanda aras yang baik bagi pusat beli-belah dan syarikat yang lain.

“Banyak program yang telah diatur khusus untuk golongan ini seperti bazar khusus untuk golongan autisme mempamerkan bakat serta menjual hasil karya mereka.

“Kami juga buat pertama kali mengadakan Autsome Unicorn Run pada April baru-baru ini khusus untuk golongan autisme dan siapa sangka ia telah disertai lebih 2,000 orang,” jelasnya.

Malah, dalam perancangan seterusnya, Sunway Putra mahu mengadakan sebuah karnival pendidikan dan kerjaya penghidap autisme.

“Pihak kami juga merancang untuk membuka sebuah kafe khusus bagi memberi peluang kepada mereka bekerja dan memperoleh duit sendiri.

“Ini kerana ada dalam kalangan autisme ini mampu membuat kerja dengan pantauan yang minimum, kita harus beri peluang kepada mereka,” katanya.

Pusat Beli-Belah Sunway Putra, Kuala Lumpur yang menjadi pusat beli-belah pertama di Malaysia mengetengahkan konsep mesra autisme bukan sahaja menyediakan pelbagai kemudahan untuk komuniti itu bahkan seluruh kakitangannya dilatih berkaitan autistik.